RONA pastel kekal memikat dan nampak mewah.
RONA pastel kekal memikat dan nampak mewah.
Siti Zarinah Sahib

Setiap wanita pasti ingin kelihatan cantik dan penuh aura pada resepsi pernikahan mereka. Selain solekan, pemilihan busana memainkan peranan penting supaya penampilan mempelai kekal sempurna dan mendapat perhatian ramai. Bagi menampakkan kehadiran raja sehari, gaun dengan rekaan besar dan megah atau dipanggil gaun bola (ball gown) menghiasi trend persandingan sepanjang tahun ini.

Menurut pemilik Seri Andaman 3R by Riffai Couture, Rahimah Husain dia mengakui setiap wanita memiliki impian untuk tampil anggun dengan persalinan seorang puteri pada hari bahagia mereka. Gaun dengan ciri kembang pada bahagian bawah membuatkan pemakai tampil elegan dan dramatik sekali gus laksana seorang puteri.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Rahimah, potongan gaun bola mula diperkenalkan di Barat kemudian menjadi ikutan mempelai disebabkan ia memperlihatkan rekaan mewah dan elegan. Pada bahagian atas, ia direka mengikut bentuk badan sementara skirt diletakkan bahagian dalam (kenken) bagi menutupi bahagian bawah terutama mereka yang memiliki badan pir. Ciri khas skirt kembang dan lebar ini akan menyembunyikan kekurangan badan wanita.

“Namun begitu ia turut sesuai digayakan untuk semua jenis tubuh sama ada kurus, rendah atau comel. Mereka yang berbadan langsing kelihatan lebih sempurna apabila mengenakan busana sebegini. Bagi yang rendah pula ada caranya supaya tubuh kelihatan tinggi iaitu dengan mengurangkan kadar keluasan kain.

“Untuk kenken kebiasaannya saya menggunakan lebih 10 meter kain. Bagi mempelai bertubuh genit saya akan mengurangkan kepanjangan kenken supaya sesuai dengan tubuh mempelai. Walaupun kenken menjadi lebih cantik sekiranya menggunakan kain yang banyak namun ia turut bergantung kepada personaliti seseorang ,” katanya.

Sebagai pereka dan juga perunding perkahwinan Rahimah menekankan pentingnya memilih busana yang betul pada hari bahagia pengantin. Selain warna kulit dan ketinggian, personaliti dan aura mempelai turut memainkan peranan. Misalnya ada mempelai berkulit gelap namun cantik menggayakan busana terang ada pula sebaliknya. Aura ini akan hadir sendiri bergantung kepada perawakan dan ketrampilan mempelai.

MENGGUNAKAN kain melebihi 10 meter untuk kenken gaun bola kini mendapat perhatian mempelai.
MENGGUNAKAN kain melebihi 10 meter untuk kenken gaun bola kini mendapat perhatian mempelai.

“Sebab itu suka saya ingatkan kepada wanita berkenaan pemilihan warna busana yang langsung tiada kena-mengena warna kulit tetapi dipengaruhi faktor solekan. Oleh itu pentingnya memilih jurusolek yang betul supaya dia tahu jenis alat solek seperti bedak asas, pembayang mata dan gincu sesuai dengan kulit mereka,” katanya.

Perkara tidak kurang pentingnya tapi sering diabaikan adalah memilih rekaan pelamin berkonsep sederhana dan tidak terlalu berwarna. Pilih rona lembut satu atau dua warna saja agar keanggunan busana tidak ditenggelami ‘kemeriahan’ singgahsana.

“Memang perkara ini sering saya tekankan kepada pelanggan supaya bersederhana memilih pelamin kerana busana yang cantik digabungkan dengan solekan mampu menaikkan aura raja sehari,” katanya yang gemar menggunakan rona pastel pada busana rekaannya.

Sering memberikan nasihat dan panduan kepada raja sehari dari segi pemilihan baju namun ada juga yang ingin meneruskan keinginan mereka walaupun ia tidak sesuai. Dalam hal ini pilihan memang di tangan pengguna namun sebagai perunding sangat penting memastikan kesempurnaan mempelai supaya tiada cacat-celanya pada hari persandingan mereka.

“Sebagai perunding perkahwinan memang tugas saya memberikan khidmat nasihat supaya mempelai tidak tersalah membuat pilihan. Untuk gaun bola lokasi acara juga memainkan peranan penting. Oleh kerana busana itu sendiri sudah nampak megah jadi acara dalam dewan atau taman dapat meningkatkan lagi aura diri mereka,” katanya yang menyediakan khidmat sewaan serta tempahan untuk semua lapisan masyarakat .

HITAM dengan bunga tiga dimensi pada fabrik sifon menyerlahkan keanggunan raja sehari.
HITAM dengan bunga tiga dimensi pada fabrik sifon menyerlahkan keanggunan raja sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:27 AM