Coway

SELEPAS kejayaan penganjurannya tahun lalu, Coway Run Beat The Heat tahun ini bakal diadakan pada 7 Oktober ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, Coway Run tahun ini sekali lagi mempromosikan kehidupan sihat terutama remaja yang sememangnya aktif bersukan.

Ia juga menepati objektif menggalakkan kehidupan lebih sihat bagi mengurangkan tekanan hidup serta menggalakkan pelepasan endorphin daripada badan kita.

Menerusi larian ini juga, Coway mahu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan kualiti air minuman serta cara efektif menyumbang kepada gaya hidup lebih sihat dan bahagia.

Direka khas bagi menyejukkan pelari-pelari di sepanjang larian, laluan ini dipasang dengan penyiram air, terowong kabus serta terowong angin yang pasti menambahkan kejutan bagi pelari-pelari dalam cuaca Malaysia yang panas ini.

Peserta boleh memilih larian santai bersama keluarga mahupun rakan sepanjang 5 atau 10 kilometer yang terbahagi kepada kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita atau Lelaki Veteran dan Wanita Veteran serta Lelaki dan Wanita Antarabangsa (bukan warganegara Malaysia). Turut diadakan, larian halangan khusus untuk kanak-kanak.

Larian bermula di Pintu Dua MAEPS dan tamat di kampung buatan ala Korea yang dipenuhi dengan aktiviti menyeronokkan.

Pemenang larian ini akan membawa pulang hadiah utama RM1,000 manakala tempat kedua RM800, tempat ketiga RM600, tempat keempat RM400 dan kelima RM200 serta baucar bagi kategori antarabangsa.

Setiap peserta yang berjaya tiba di garisan penamat mendapat pingat Coway sebagai tanda kejayaan.

Pendaftaran bermula pada 11 Jun lalu hingga 21 September ini. Harga tiket dan maklumat lanjut mengenai larian ini boleh didapati di https://bit.ly/2MjQmFQ .

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah istimewa apabila dapat meneka dengan betul masa diambil untuk kiub ais cair menerusi Pertandingan Bongkah Ais di mana pelbagai saiz kiub ais akan diletakkan di sekitar kawasan panas seperti di taman.

Sementara itu, RM10 dari setiap wang pendaftaran akan disumbangkan kepada Happy Water Project, iaitu satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Coway.

Dalam projek ini, Coway membekalkan air bersih untuk perkampungan Orang Asli (OA) yang tidak mendapat sistem perpaipan secara terus dan bekalan air bersih dari bukit tidak mencukupi untuk keperluan harian.

Projek berkenaan turut menggalakkan gaya hidup lebih sihat dengan memilih Coway untuk menikmati air yang lebih baik, di samping meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan air bersih dalam kalangan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 5:26 PM