SUNTIKAN vitamin C membawa lebih mudarat tanpa pengawasan pakar bertauliah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kemunculan pelbagai produk kecantikan di negara ini bak cendawan tumbuh selepas hujan, namun ramai pengguna memandang remeh soal kandungan bahan sesuatu produk.

Apa yang penting bagi kebanyakan mereka ialah hasil pantas terhadap kulit wajah tanpa memikirkan kesan jangka panjang jika tersalah pilih produk yang mengandungi bahan kimia berbahaya seperti merkuri atau hidrokuinon.

Lebih menakutkan apabila melihat trend wanita yang begitu taasub mahu kelihatan cerah tanpa memikirkan kesan buruknya, malah mengharapkan produk yang dipakai memberi kesan pantas seawal tiga hari penggunaan.

Tidak cukup dengan itu, ramai yang mencuba suntikan vitamin C walaupun Kementerian Kesihatan sudah memberi amaran mengenai kesan negatifnya.

Namun, cakap-cakap orang yang mendakwa melihat kesan seperti diharapkan lebih berkuasa mempengaruhi minda wanita khususnya yang taasub mahu cantik. Ada yang mendakwa amalan itu boleh mencerahkan kulit, tidak kurang juga yang memberi sebab untuk menyihatkan badan kerana kesan mencucuk vitamin C lebih cepat berbanding makan buah-buahan mengandungi vitamin itu.

Bagaimanapun, menurut Pakar Estetika Dr Harith Amirizal Hariff, tiada satu kajian saintifik pun membuktikan suntikan vitamin C dapat mencerahkan kulit malah paling membimbangkan apabila suntikan itu kini boleh didapati dengan begitu mudah di pasaran.

Katanya, kebanyakan orang membeli suntikan ini daripada ejen dan secara dalam talian menyebabkan urusan itu tidak dapat dipantau pihak berkuasa.

Kesan sampingan suntikan ini katanya bukan saja akan membawa keburukan kepada badan selain pesakit juga tidak dapat mengenal pasti kandungan suntikan benar-benar asli dan selamat kerana tidak diperiksa dan diluluskan.

“Sesiapa saja yang mahukan suntikan ini perlu mendapatkan rawatan di klinik yang diiktiraf untuk mengelakkan kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kecantikan.

“Obsesi untuk mencerahkan warna kulit badan begitu sinonim dengan masyarakat di negara ini. Ada yang berani menyuntik sendiri cecair yang didakwa vitamin C ke dalam badan tanpa memikirkan kesan sampingannya.

“Kaedah ini (mencerahkan kulit) mungkin menjadi untuk sesetengah orang hingga ramai terpedaya melihat kesan selepas suntikan dibuat. Bagaimanapun, ia sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat untuk kesihatan bagi jangka masa panjang.

“Lebih-lebih lagi jika suntikan dilakukan tanpa pengawasan. Bagaimana jika suntikan tidak masuk ke saluran darah, tentu ia menimbulkan kesakitan dan mudarat pada badan,” katanya.

Penjagaan menyeluruh

Dr Harith berkata, pengambilan vitamin C memang penting untuk kecantikan kulit, namun berbanding suntikan, adalah lebih baik dan selamat jika diambil daripada sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya vitamin itu.

Malah katanya, pengambilan vitamin C melalui makanan asli (buah-buahan dan sayur-sayuran) adalah terbaik kerana seseorang akan mendapat khasiat lain seperti serat, polifenol, flavonoid dan vitamin E yang penting untuk kesihatan menyeluruh.

Jelasnya, vitamin C juga mudah rosak, maka suntikan vitamin C yang dilakukan individu tidak bertauliah amat tidak digalakkan. Ini dikhuatiri kemungkinan berlaku jangkitan kuman pada tempat suntikan. Kita juga tidak pasti sama ada bahan yang disuntik benar-benar vitamin C tulen dan kebersihan jarum suntikan.

“Ramai yang lupa, asas penjagaan kulit bermula daripada pemakanan. Selain itu penjagaan luaran juga penting namun kita harus pastikan produk yang digunakan bebas bahan terlarang untuk mengelakkan mudarat.

“Sebaik-baiknya dapatkan dulu nasihat pakar sekiranya berdepan masalah kulit apatah lagi membabitkan prosedur invasif. Jangan sesekali mudah percaya dengan kata-kata orang kerana keadaan kulit, tahap kesihatan dan daya ketahanan badan setiap orang tidak sama,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ramai dalam kalangan kita menganggap kegunaan krim tabir suria hanyalah untuk pergi ke pantai malah ada sesetengahnya merasakan tiada keperluan memakainya.

Krim ini sebenarnya melindungi kulit daripada sinaran cahaya matahari keterlaluan yang boleh memudaratkan sel kulit dan tidak terhad pada penggunaan ketika di pantai saja.

Pendedahan berpanjangan kepada pancaran sinaran ultra lembayung (UV) yang terik adalah faktor persekitaran paling penting dalam menyebabkan kanser kulit dan bibir.

“Kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada UV dalam kehidupan seharian. Malah duduk di pejabat juga kita terdedah dengan sinar UV menerusi lampu yang dipasang.

“Krim tabir suria yang mengandungi SPF 30 dan ke atas penting untuk mengurangkan kesan sinar UV terhadap kulit yang perlu dititikberatkan setiap orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 2:09 PM