GIGIH mencapai impian.
Siti Nadirah Hafidzin


Perjalanan hidup anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini dalam mengecapi impian hidup wajar dijadikan inspirasi. Mungkin ia dianggap sesuatu yang klise apabila seseorang itu mempunyai minat mendalam untuk bergelar usahawan namun keazaman dan keberanian Ahmad Shahiran Zainal Abidin, 31, adalah sesuatu yang mengagumkan.

Menurut Ahmad Shahiran, sejak kecil dia sudah mula menanam impian bergelar usahawan berjaya.

“Mungkin bagi kanak-kanak lain, mereka menanam cita-cita mahu menjadi doktor, guru, peguam atau polis namun sejak kecil saya sudah mengimpikan untuk bergelar usahawan.

“Bukan soal mahu mengejar kekayaan atau tidak boleh terikat dengan waktu bekerja di pejabat, tetapi saya minat berniaga kerana bagi saya ia antara kerjaya yang mampu mendisiplinkan diri,” katanya.

Ahmad Shahiran berkata, dia kemudian menggunakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki selepas tamat pengajian dalam bidang teknologi maklumat untuk diselaraskan dalam bidang diminati.

“Ketika itu, saya terus berfikir, apakah jenis perniagaan yang tidak terlalu banyak persaingan, modal tidak besar selain selari dengan kebolehan diri sebelum berjaya menemui jawapannya.

“Syukur, pilihan untuk terbabit dalam bidang fotografi adalah satu pilihan tepat memandangkan ia juga antara kebolehan yang saya ada selain mempunyai asas dalam bidang itu ketika belajar di kolej,” ujarnya.


TIDAK kenal erti putus asa.

Menurutnya, berbekalkan semangat dan kemahirannya, dia mula menceburi bidang fotografi pada 2013.

“Ketika itu saingan tidak terlalu banyak seperti sekarang, saya pula masih baru dan atas sebab itu saya tekad menawarkan pakej yang dianggap ‘gila’ kerana terlalu murah iaitu RM500 termasuk kos perjalanan untuk majlis nikah dan bersanding.

“Lebih menyedihkan, saya juga tidak mempunyai kamera sendiri dan berbekalkan kamera yang saya pinjam daripada rakan karib, saya tekad memulakan tugas pertama di Johor,” katanya.

Tekad kembangkan kerjaya

Bermula daripada tugas pertama itu hingga kini, Ahmad Shahiran bersyukur kerana usahanya semakin membuahkan hasil.

“Disebabkan itu saya sentiasa yakin, harga bukanlah menjamin apa-apa kerana yang penting usaha. Dari tahun ke tahun, perniagaan saya dalam bidang fotografi berkembang dengan baik dan lebih membanggakan apabila saya berjaya mengumpul wang perkahwinan dengan menggunakan hasil titik peluk berniaga,” katanya.

Menurutnya, perniagaannya Tri Yo 1 Entertainment kini bukan saja menawarkan pakej untuk majlis pernikahan atau persandingan malah juga untuk majlis hari lahir, majlis korporat atau apa saja yang bersesuaian.

“Kini, jumlah jurugambar terlalu ramai namun bagi saya kelainan dan keikhlasan dalam menjalankan perniagaan mampu membuatkan kita lain daripada yang lain.

“Saya sentiasa berfikiran tidak boleh terlalu tamak dan harga dikenakan perlulah berpatutan. Disebabkan itu, saya sering berbincang dengan pelanggan mengenai bajet yang mereka ada.

“Saya perlu faham tidak semua individu itu mampu dan di samping menjalankan perniagaan saya juga cuba membantu,” ujarnya.

Tambah Ahmad Shahiran, di samping mengejar impian hidup, dia juga amat bersyukur dianugerahkan pasangan hidup, Maziatul Uzzma Ta’zim yang sangat memahami juga berkongsi susah senang bersama.


AHMAD Shahiran bersama isteri dan anak.

“Dia seorang guru, tetapi dalam masa sama dia juga banyak membantu saya menguruskan perniagaan. Saya juga berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya juga ibu bapa mentua kerana sokongan serta bantuan diberikan selama ini.

“Masih segar di ingatan, ibu bapa saya pada mulanya agak berat hati memberi keizinan untuk saya menceburi bidang ini memandangkan bidang perniagaan tidak mempunyai gaji tetap namun syukur lama kelamaan mereka memahami,” katanya.

Ahmad Shahiran berkata, walaupun sudah dianggap stabil namun dia tidak mahu cepat berpuas hati dengan apa yang dikecapi memandangkan perjalanan kerjayanya masih jauh.

“Saya mahu buktikan terutama kepada generasi muda, semua individu mampu mencapai apa yang diinginkan asalkan ada semangat dan usaha. Semuanya perlukan kesungguhan, jangan sesekali memasang impian untuk kaya dengan cepat tanpa ada usaha yang gigih,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 3:13 PM