Intan Mas Ayu Shahimi

Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada wanita mendapat virus hepatitis C (HCV) daripada prosedur pemindahan darah yang kebanyakannya berlaku selepas bersalin. Namun, tahukah kita, maksud di sebalik fakta baru ini?

Secara umumnya, hepatitis C adalah sejenis radang hati yang disebabkan virus HCV. Andai tidak dirawat, ia boleh membawa komplikasi seperti sirosis atau kanser hati.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 380,000 orang menghidap hepatitis C. Malangnya, majoriti daripada penghidap ini tidak sedar mereka sudah dijangkiti dan berisiko menyebarkan virus kepada orang lain.

Melihat daripada pandangan global pula, sekurang-kurangnya 70 juta individu dikesan menghidapi hepatitis C kronik di serata dunia. Malah, 80 peratus kematian akibat kanser hati adalah disebabkan oleh hepatitis B atau C.

Baru-baru ini Hepatitis Free Malaysia (HFM) melancarkan kempen How’s Your Blood? Ia kempen kesedaran hepatitis C untuk mendidik masyarakat, terutama golongan berisiko tinggi, mengenai pentingnya menjalani ujian darah, melalui pengesanan awal dan mendapatkan rawatan.

Presiden HFM yang juga Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Profesor Dr Rosmawati Mohamed berkata, kajian di Malaysia menunjukkan 60 peratus daripada kes yang dikesan berpunca daripada pengambilan dadah dan pemindahan darah (30 peratus). Manakala 10 hingga 12 peratus lagi mengakui tidak tahu dari mana punca penyakit itu diperoleh.

Lebih membimbangkan, jumlah kematian disebabkan hepatitis kini didapati melebihi angka kematian akibat penyakit kronik berjangkit lain seperti HIV dan batuk kering (tuberkulosis).

“Berdasarkan laporan Global Burden of Disease Study tahun lalu, jumlah kes baru kanser hati antara 1990 dan 2015 meningkat sebanyak 75 peratus.

“Kanser hati adalah antara penyebab utama peningkatan kadar kematian kes hepatitis C di seluruh dunia. Ini dipacu oleh epidemik hepatitis C dan juga peningkatan umur mereka yang tidak sedar sudah dijangkiti.

“How’s Your Blood? bukanlah hanya kempen semata-mata, tetapi kami berusaha mencari ribuan pesakit yang tidak sedar mereka sudah dijangkiti virus berbahaya ini,” katanya.

Menjelas lanjut, Dr Rosmawati berkata, pemberian vaksin hepatitis B sebelum ini memang menunjukkan pengurangan ketara dalam angka jangkitan dan kadar kematian akibat virus hepatitis B.

Bagaimanapun, HCV tidak mempunyai sebarang vaksin. Sebab itulah pengesanan awal menjadi langkah kritikal untuk menghalang penularan virus, sekali gus membolehkan pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya.


DR Rosmawati

“Mereka yang dijangkiti HCV tidak akan mengalami sebarang simptom sehingga penyakit mencapai ke tahap lanjut. Ini menyukarkan usaha pengesanan awal dan rawatan segera.

“Melalui kempen ini, kami harap dapat menggesa masyarakat umum, terutama mereka yang dalam golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan ujian darah. Inilah satu-satunya cara untuk mengesahkan jangkitan HCV pada individu,” katanya.

Kata beliau, penekanan kini lebih difokuskan kepada wanita kerana mereka lazimnya kurang peka mengenai kesihatan dengan sering mengambil mudah perubahan berlaku dalam diri.

“Sibuk menguruskan keluarga tidak boleh dijadikan alasan. Kami mahu wanita berisiko tampil menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian darah untuk kesejahteraan seisi keluarga.

“Selain wanita, kami juga menyasarkan tiga kelompok berisiko lain iaitu orang yang menjalani pemindahan darah sebelum 1994, penagih dadah atau individu yang ada membuat tatu pada tubuh serta mereka yang terdedah kepada rawatan hemodialisis dan seumpamanya.

“Perlu diketahui bahawa ada banyak lagi punca jangkitan HCV yang kita kerap terlepas pandang. Antaranya termasuk menggunting rambut di kedai, menjalani rawatan bekam atau apa saja yang membabitkan darah,” katanya.

Kempen How’s Your Blood? turut mendapat kerjasama Sunway Medical Centre, Gribbles Pathology Malaysia, Hepatitis Free Pahang, doktor dan pengamal perubatan umum di seluruh negara.

Semua maklumat penting mengenai hepatitis C dan lokasi untuk jalani ujian darah boleh didapati di laman web www.howsyourblood.com. Lebih menarik, laman itu juga menyediakan maklumat penting untuk pengamal perubatan membuat rundingan dan diagnosis.


PELANCARAN kempen How’s Your Blood?

Ada tiga jenis hepatitis yang utama iaitu hepatitis A, B dan C. Walaupun semuanya disebabkan oleh virus hepatitis tetapi ia jauh berbeza mengikut jenis virus yang menyerang.

Hepatitis A

• Disebabkan virus hepatitis A (HAV)

• Penyebaran melalui kitaran najis ke mulut, daripada najis individu dijangkiti ke makanan dan minuman yang tercemar

• Ia berkait rapat dengan penjagaan kebersihan

• Dalam kebanyakan kes, jangkitan hepatitis A bersifat ringan dan mudah dirawat. Tiada rawatan khusus untuk hepatitis A, jangkitan sembuh sendiri dalam masa satu hingga dua bulan.

• Antara gejala: Letih, mual, muntah, perut tidak selesa, hilang selera makan, air kencing berwarna gelap, lenguh otot, kulit dan mata jadi kuning

• Langkah pencegahan: Cuci tangan menggunakan sabun selepas keluar dari tandas dan sebelum menyediakan makanan.

Hepatitis B

• Disebabkan virus hepatitis B (HBV)

• Penyebaran melalui cecair badan (pemindahan darah, hubungan seks, daripada ibu kepada janin dalam kandungan, perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah, penggunaan jarum atau pisau yang tercemar dengan virus).

• Jangkitan mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan gejala dan boleh menyebabkan sirosis dan kanser hati.

• Tanda dan gejala hampir sama dengan hepatitis A: Sakit perut, demam, lemah sendi, hilang selera makan, mual dan muntah, lesu, kulit dan mata putih menjadi kekuningan (jaundis)

• Belum ada ubat untuk menyembuhkan hepatitis B dan sirosis (pembentukan parut pada hati bersifat kekal) namun ia boleh dicegah melalui vaksin.

Hepatitis C

• Disebabkan virus hepatitis C (HCV)

• Kesan penyakit biasanya lebih teruk berbanding hepatitis A dan B kerana tidak menunjukkan sebarang gejala hinggalah peringkat lewat (parah).

• Jaluran jangkitan sama dengan hepatitis B (pemindahan darah dijangkiti, perkongsian jarum suntikan, penggunaan alatan tercemar yang tidak steril)

• Juga dilabel sebagai hepatitis terselindung kerana tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala pada peringkat awal

• Kebanyakan orang tidak sedar dijangkiti virus ini, cuma dapat dikesan melalui ujian darah

• Gejala umum (jika ada): Lesu, demam, mual, tiada selera makan, lemah otot

• Belum ada vaksin untuk mencegah hepatitis C.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:14 PM