PELBAGAI pilihan beg untuk musim panas

Himpunan beg tangan wanita yang menawan, ceria dan menggambarkan personaliti si pemakai ditampilkan dalam koleksi musim panas 2018 dibawa khas daripada O Bag.

Banyak bermain dengan warna terang dan menonjol selain corak menarik, koleksi terbaru itu tetap fokus kepada reka bentuk inovatif, serba boleh, ceria dan berwarna-warni yang menjadi identiti jenama dari Itali itu.

Semua produk direka agar mudah disuai padan dengan aksesori yang boleh ditukar, sekali gus memberi peluang setiap individu mengekspresikan keperibadian mereka.

Ia menawarkan pelbagai pilihan untuk diselaraskan dan disuai padan bagi mewujudkan gaya dan gabungan unik.

Jenama ini sentiasa menampilkan tema dalam setiap acara. Jadi terpulang kepada setiap orang untuk menggayakannya mengikut selera peribadi dan kreativiti masing-masing.

UNIK dan menawan hati bagi penampilan santai

Bagi koleksi musim panas, beberapa tema diketengahkan jenama itu antaranya Manila. Diinspirasikan daripada ciri eksotik ketimuran, Manila menawarkan rekaan beg bermotif daun, bunga tropika dan hutan yang didatangkan dalam rona merah jambu dengan sentuhan hijau dan kelabu.

Buat si penggemar pantai, tema Flash Beach mungkin pilihan tepat untuk anda. Padanan warna ceria seperti kuning menonjolkan fabrik dan perincian yang dilukis daripada1,000 inspirasi. Kombinasi etnik dan moden koleksi ini tampil sempurna untuk dibawa bersantai di tepi pantai mahupun ke parti musim panas.

Mahu tampil lebih sofistikated, beralihlah ke tema Urban - sempurna untuk wanita kosmopolitan yang ‘chic’.

Motif dan tekstur bunga dengan warna pastel seperti merah jambu dan kelabu menawarkan perincian yang romantis dan sofistikated. Koleksi Urban juga didatangkan dalam warna putih susu, hitam, biru laut, pasir, kuning dan merah.

Sekali sekala anda juga boleh tampil dengan gaya chic kasual menerusi koleksi bertema Cote D’Azur yang tepat untuk penampilan musim panas santai. Koleksi ini menampilkan motif petak dalam garis merah atau biru dan jalur nautikal lengkap sulaman bunga dan perincian jerami yang mungkin menarik perhatian yang anda perlukan pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 2:22 PM