SIKAP tidak berputus asa menjadi asas dalam kehidupan Norazura.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Berpengalaman sebagai pegawai pemasaran kira-kira lapan tahun sebelum membuat keputusan berhenti kerja, wanita ini tidak pernah merancang untuk menyertai dunia perniagaan.

Semuanya terjadi secara kebetulan apabila sekitar 2014, figura ini dipelawa seorang usahawan wanita tempatan untuk mengeluarkan produk suplemen.

Menurut wanita berusia 34 tahun ini, pengalaman sebagai pegawai pemasaran membuatkan dirinya kurang berminat untuk membina perniagaan berkaitan produk.

“Tapi mungkin tertulis rezeki saya di dalam bidang ini. Saya ambil risiko untuk bekerjasama dengan rakan kongsi menubuhkan perniagaan pertama di bawah syarikat VS Beauty Expert Sdn Bhd.

“Produk pertama kami jus kesihatan ekstrak sirih iaitu V-Sireh. Selepas mendapat rentak dan membuat kajian dalam pasaran suplemen tempatan, kami lancarkan produk kedua, OLICandy, suplemen berbentuk tablet,” ujar Norazura Md Posdzi.

Sebenarnya sejak kecil Norazura sudah didedahkan dengan dunia perniagaan. Dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Sungai Siput, Perak, dia mula membantu menjual nasi lemak ketika di bangku sekolah rendah.

Minatnya itu tidak terhenti di situ malah diteruskan dengan menjual pelbagai produk ketika di sekolah menengah. Memasuki alam universiti, dia melakukan kerja sambilan sebagai penjaga tiket kaunter panggung wayang. Waktu lapangnya sentiasa terisi dengan kerja yang boleh memberinya wang saku.

Menyifatkan tuah bisnesnya memang dalam industri produk kosmetik dan suplemen, Norazura turut memiliki beberapa perniagaan kolaborasi lain antaranya Serigroup Global Sdn Bhd yang juga kerjasamanya dengan pengasas jenama Bella Ammara selain NSA Beau Ventures Sdn Bhd yang mengeluarkan produk kosmetik.

“Satu-satunya cabang perniagaan saya yang berbeza adalah Gondola31. Butik vendor pertama di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak ini saya buka bersama rakan kongsi pada 2015.

“Selepas lebih tiga tahun beroperasi, butik ini masih bertahan sebagai satu-satunya butik vendor yang menghimpunkan lebih 60 jenama di bawah satu bumbung di Perak,” katanya.

Bersama suami, Shah Indra Shaari, mereka membangunkan pula agensi pengiklanan dan pemasaran, ZS Empire Sdn Bhd bagi menyediakan khidmat profesional untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan, peniaga yang sedang berdepan masalah atau berhasrat mengembangkan perniagaan.

Ditanya mengenai pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya, Norazura berkata, di situlah kelebihan bekerja sendiri. Dia boleh mengurus waktu sendiri dan lebih penting dia gemar merancang perjalanan kerja dua minggu awal.

Dikurniakan empat anak yang masih kecil, dia perlu bijak membahagikan masa antara kesibukan menguruskan perniagaan. Memandangkan semua anaknya perlu diberi perhatian penuh, ada masa dia lebih gemar bekerja di rumah bagi memastikan anak di depan mata.


NORAZURA (kanan) bersama rakan kongsi, Puteri Intan Zarith Che Rashdi (kiri) pada pelancaran produk baru syarikat mereka.

“Memanglah sukar pada mulanya, tapi saya percaya sebagai ibu, pastinya lebih selesa melihat anak membesar di bawah pemerhatian saya.

“Alhamdulillah dengan pengurusan masa yang baik dan sistematik, semua urusan keluarga dan perniagaan boleh berjalan seiring,” katanya.

Setiap kejayaan pasti tidak lengkap jika tidak berdepan cabaran. Permulaan menubuhkan perniagaan, Norazura dan rakan niaga tidak mempunyai staf sebaliknya segala urusan dilakukan sendiri. Ini termasuklah membungkus barang dan menghantar sendiri pesanan pelanggan ke penyedia perkhidmatan pos.

“Ada masa kami terpaksa hantar sendiri kepada pelanggan. Selepas beberapa bulan barulah kami menggaji staf pertama. Apabila perniagaan semakin stabil kami berpindah ke pejabat lebih selesa dan mampu mengambil lebih ramai pekerja.

“Rentak untuk berniaga sebenarnya sama. Pemilik perniagaan mesti tahu setiap operasi perniagaan secara menyeluruh.

“Pengalaman saya bermula dari bawah, terbabit secara langsung dalam semua aspek kerja membuatkan saya lebih teliti peranan dan skop pekerjaan setiap pekerja.

“Walaupun mempunyai akauntan syarikat, saya sendiri masih meneliti rekod setiap perniagaan pada setiap hujung bulan. Sangat penting untuk kita sebagai pemimpin sesebuah perniagaan untuk peka terhadap rekod kewangan syarikat.

“Untung rugi pula itu normal. Dalam berniaga, untung itu belum tentu, tetapi rugi itu pasti. Jadi setiap kali berdepan kerugian atau kegagalan, saya tidak benarkan diri untuk putus asa atau bersedih secara berlebihan,” katanya.

Menurutnya, dia akan kenal pasti punca kegagalan dan cari solusi bagi mengatasi masalah. Baginya, tidak semua yang diusahakan akan berjaya, ada waktunya memang tidak mendatangkan hasil.

Cara terbaik adalah teruskan kehidupan dan fokus terhadap perkara lain. Jangan biarkan kegagalan menyekat untuk kita berkembang dan jadikan kegagalan itu sebagai pelajaran.

Sebab itu katanya, kegagalan itu adalah guru terbaik untuk berjaya. Orang yang berjaya mesti pernah berdepan kegagalan. Pada masa sama jangan cepat berasa selesa supaya tidak ketinggalan dalam dunia yang serba pantas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 2:58 PM