DAUN kesum tumbuh subur ditanam secara hidroponik.
Siti Zarinah Sahib

Bermula sekadar memenuhi keperluan ayah mencari benih pokok untuk berkebun mendorong Marlina Ismail, 33, turut melakukan perkara sama di rumah.

Ini ditambah keseronokan melihat beraneka tumbuhan dan pokok ketika mencari benih membuatkan minat untuk memiliki tanaman sendiri semakin bercambah.

“Sebelum ini bukan tiada minat, tetapi saya mempunyai pengalaman pokok mati selepas benih disemai. Saya anggap tangan ini 'panas' sebab itu pokok susah hendak tumbuh, tetapi apabila dewasa baru saya tahu teknik yang digunakan itu salah.

“Teknik yang betul rupa-rupanya benih tidak boleh dikambus terlalu dalam, cukup sekadar menutup nipis dengan tanah bagi memudahkan benih bercambah,” katanya.

Menyedari wujudnya minat berkebun membuatkan Marlina mula mencari peralatan seperti pasu, tanah organik dan benih yang dibeli di pusat penjualan benih MARDI yang semua kos berjumlah RM200.

“Dari segi peralatan, saya suka mencari bahan mampu milik terutama di kedai yang menjual barangan berharga RM2. Kadang-kadang, andai barang yang saya perlukan itu tiada saya buat sendiri melalui tunjuk ajar YouTube. Saya juga mencari di kedai barangan terpakai atau menggunakan barangan kitar semula,” katanya.

Namun disebabkan dia dan suami gemar melancong, sebelum mula bercucuk tanam timbul pertanyaan siapa yang akan menyiram pokok ketika berada di luar daerah. Wanita ini berasakan penanaman atas tanah bukan pilihan bijak.

“Saya mencari alternatif lain supaya kami tidak perlu menyiram pokok selalu. Selepas membaca, kami dapati teknik hidropot sangat sesuai. Kosnya pula murah hanya menggunakan set peralatan yang banyak dijual di Internet pada harga RM15 sehingga RM20.

“Saya terfikir daripada beli mahal kenapa tidak menghasilkannya sendiri. Jadi saya beli beberapa barang dan mula menggabungkannya satu persatu dengan kos RM4.50 saja,” katanya.

Menerusi kaedah ini, Marlina hanya perlu meletak baja dua atau tiga minggu sekali. Kaedah ini boleh mengurangkan serangan penyakit atas tanah dan serangga terhadap tanaman. Contohnya pokok kesum pertama menggunakan hidropot hidup subur dan menghijau disebabkan penggunaan air yang banyak.


PENANAMAN menggunakan aquaponik menggunakan baja organik.

“Melalui kaedah ini, saya menggantikan tanah dengan bebola tanah liat hidroton iaitu bahan semula jadi dari tanah liat yang digumpal menjadi bebola kecil pada suhu panas.

“Hidroton memudah dan mempercepatkan penguraian mikro organisma serta membantu mengekalkan tahap keasidan (pH) air. Jadi saya tidak perlu menggantikan air selalu dan ini sangat menjimatkan,” katanya yang turut membuat pendawaian sendiri untuk tanaman hidroponik.

Dari segi penjagaan kaedah hidroponik sangat mudah. Marlina hanya perlu membuat semburan setiap pagi dan malam.

Teknik aquaponik pula menggunakan pam air dari kolam ikan untuk menyedut dan menyiram tanaman. Jadi apabila cukup masa, sayur-sayuran dan ikan boleh dimakan.

Kebaikan menggunakan aquaponik ini ialah bebas nyamuk atau jentik-jentik yang menjadi makanan ikan. Semua pokok sesuai menggunakan teknik aquaponik cuma sama ada relevan atau tidak.

“Tanaman yang berhasil menggunakan kaedah ini adalah ulam-ulaman dan herba antaranya rosemary, oregano, pudina, basil, tarragon dan kesum. Sekarang ini saya dalam misi mencari benih strawberi untuk ditanam di belakang rumah,” katanya yang turut berhadapan masalah lumut pada bekas tanaman namun ia dapat diselesaikan segera menerusi pembacaan di Internet.

Menariknya kedua-dua kaedah ini iaitu aquaponik dan hidroponik tidak menggunakan baja kimia selain baja organik dari najis ikan saja. Ini menyebabkan semua sayur-sayuran bebas racun serangga.

Sehingga kini Marlina mempunyai 20 jenis pokok dan mengumpul modal untuk membesarkan kolam ikan bagi menambah penanaman pokok herba di kawasan perumahan.

Mendapat sokongan 100 peratus daripada suami dan ayah, jelas Marlina dia juga mengajak anak untuk turut serta mengambil bahagian menyiram pokok.


ANTARA herba yang ditanam Marlina di rumah.

“Biasanya saya menyiram sebelum ke tempat kerja atau selepas bekerja menggunakan campuran air dan baja Eco Enzyme pada hari biasa. Hujung minggu pula saya siram menggunakan air ikan dari kolam aquaponik saya,” katanya.

Sejak mula mempunyai kebun sendiri Marlina tidak lagi membeli sayur-sayuran.

“Lebih penting aktiviti ini membantu mengeluarkan peluh dan menjadi acara riadah bersama anak-anak. Mereka juga turut terdedah kepada penjagaan alam sekitar dan memelihara tumbuhan hijau untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:19 PM