DILLA meneliti masalah dialami pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak ada gunanya wajah yang cantik dan bentuk tubuh menawan jika diri menderita menanggung kesakitan, kelesuan atau sering tidak sihat.

Hakikatnya, kecantikan pada diri seseorang itu lebih menyerlah sekiranya ia digabungkan dengan kesihatan menyeluruh.

Tidak dapat disangkal, wanita kini sentiasa sibuk dengan pelbagai tuntutan tugas yang menyebabkan golongan itu sering kepenatan dan lesu.

Bagi menangani kepenatan itu, setiap wanita tanpa mengira usia perlu ada masa untuk diri sendiri dan antara caranya ialah dengan berkunjung ke spa, salun kecantikan, pusat kecergasan atau ke mana saja lokasi digemari.

Ia bukan saja kaedah melegakan tekanan, malah amat diperlukan bagi memastikan badan dan minda mempunyai sedikit ruang untuk berehat.

Bertujuan membantu setiap wanita tampil cantik dan sihat, pusat kecantikan Sari Cantik Ibu di Medan Mara menawarkan kaedah rawatan Ibu Terapi yang mempunyai banyak manfaat untuk kecantikan serta kesihatan termasuk dalam membantu merawat masalah cakera tergelincir.

Dihias indah dan mempunyai susun atur kemas, spa yang diasaskan Dilla Muhamad itu bukan saja memfokuskan untuk kecantikan pelanggan malah turut membantu dari segi kesihatan.

Menurut Dilla, dengan berkonsepkan tradisional Melayu, pihaknya menawarkan teknik memperbetulkan urat saraf melalui titik rangsangan saraf.

"Ia menggabungkan tiga kecergasan utama manusia iaitu emosi, fizikal dan rohani. Rawatan ini istimewa kerana ia bukanlah teknik urutan melegakan keletihan semata-mata namun ia lebih kepada urutan pada bahagian saraf tertentu.

"Seperti yang saya katakan, rawatan ini lebih kepada membantu mendapatkan tahap kesihatan yang baik kerana saya percaya kecantikan akan lebih terserlah sekiranya individu itu sihat," katanya.

Dilla berkata, selain melegakan kelesuan, rawatan itu sesuai dilakukan individu yang mengalami masalah cakera tergelincir, strok, tekanan darah tinggi dan kerap migrain.

MENCARI titik rangsangan bagi melegakan masalah dihadapi pelanggan.

"Tempoh rawatan ini tidak mempunyai had masa kerana ia bergantung kepada jenis masalah seseorang. Atas sebab itu juga, setiap pelanggan yang datang akan diperkenalkan dengan rawatan ini berbanding rawatan lain kerana saya yakin kecantikan luaran yang diinginkan wanita itu tidak akan menyerlah sekiranya mereka tidak sihat secara dalaman," ujarnya.

Katanya, terapi dilakukan bukan secara mengurut seluruh badan namun pada bahagian tertentu saja.

"Ini satu kaedah rawatan yang berbeza dan pelanggan akan diberikan penerangan dengan jelas mengenainya sebelum memulakan rawatan.

"Jangan risau, ia selamat dan tidak menyakitkan. Saya mahu terus membantu semua wanita kekal cantik dan sihat melalui kaedah ini," katanya.

Menurutnya, tidak semua pelanggan perlu mengulangi rawatan kerana ia bergantung kepada keadaan penyakit individu terbabit.

Rawatan berbaloi

Menurut Dilla, walaupun harga rawatan itu agak tinggi namun ia berbaloi dengan kesan selepas rawatan.

"Namun, bagi memberi pilihan kepada pelanggan, mereka boleh memilih untuk melakukan rawatan dengan saya atau dengan juru terapi di sini kerana caj dikenakan adalah berbeza.

"Walaupun melakukan rawatan urutan terapi ini dengan juruterapi saya namun kesannya juga adalah sama kerana saya sudah memberi tunjuk ajar sepenuhnya kepadanya," katanya.

SETIAP saraf diperiksa ketika rawatan dilakukan.

Selain itu, pihaknya turut menawarkan semua rawatan sama seperti spa lain antaranya urutan tradisional, rawatan wajah aura seri, totok wajah, mandi tujuh aura bunga, rawatan kuku, solekan, sental dan bertangas.

"Disebabkan kami berusaha membantu semua wanita tanpa mengira usia dan status, harga ditawarkan bermula RM15 hingga RM650 bergantung kepada jenis rawatan dilakukan.

"Semua rawatan di sini dijamin selamat dan mampu membantu setiap pelanggan yang datang dan mempunyai kemahuan tersendiri," ujarnya.

Menurutnya, dia berharap dapat mewujudkan kelainan konsep spa dengan rawatan Ibu Terapi yang dibawa selain dapat membantu merealisasikan impian setiap wanita untuk tampil cantik dan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 3:09 PM