PERKHIDMATAN penataan kuku ekspres ditawarkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Tanya kepada mana-mana wanita bertudung pasti kebanyakannya tidak akan terlepas berdepan masalah rambut seperti gugur, kelemumur, kulit kepala gatal dan berbau.

Mungkin ada yang melakukan perawatan sendiri di rumah malah ada yang tidak melepaskan peluang mencuba produk baru di pasaran.

Tidak salah jika sekali-sekala berkunjung ke salun untuk membelai dan memanjakan diri dengan perawatan rambut sesuai. Meskipun bertudung, rambut perlu diberi perhatian seperti menjaga kecantikan wajah.

Menyedari keperluan wanita terutama yang bertudung terhadap batasan aurat yang perlu dijaga di salun, Hairkunst Hijabis tampil menyediakan premis khas buat golongan ini.

Keadaan sekitarnya juga tampak lebih santai dan ceria dengan hasil sentuhan dekorasi sederhana Pengarah Urusannya Datin Yuskiahniza Md Yusof.

Dekorasi minimalis tapi tampak moden begitu disenangi pengunjungnya kerana mereka boleh melakukan aktiviti memanjakan diri tanpa terganggu dengan kehadiran lelaki.


SUASANA selesa untuk pelanggan.

Jika berkunjung ke sini, Muslimah tidak perlu lagi memikirkan mengenai penjagaan aurat ketika melakukan rawatan kerana lelaki termasuk suami tidak dibenarkan masuk dalam ruang salun untuk menemani isteri mereka.

Menurut Yuskiahniza, konsep Muslimah diambil selepas melihat keinginan wanita yang mahu melakukan rawatan kecantikan dalam keadaan selesa tanpa kehadiran jantina lain.

“Malah, jika ada suami yang ingin menemani isteri menjalani rawatan di sini juga tidak dibenarkan masuk. Ia bagi menghormati pengunjung lain kerana kami mahu menjaga aurat wanita yang mendapatkan perkhidmatan di sini,” katanya.

Disebabkan masih banyak salun yang kurang menggunakan konsep Muslimah sepenuhnya, Yuskiahniza mengambil peluang berkenaan untuk membantu wanita menjalani rawatan dalam keadaan menyeronokkan dan bebas membuka tudung.

Ia juga dilakukan kerana memahami ramai wanita Muslimah masa kini yang peka dalam soal penjagaan aurat sekali gus mencari salun sesuai untuk mendapatkan rawatan kecantikan.


RAWATAN rambut di Hairkunst Hijabis.

“Kami menyediakan pelbagai perkhidmatan rawatan rambut dan kecantikan. Ini membolehkan pelanggan yang tinggal berhampiran mengunjungi spa ini pada bila-bila masa saja.

“Kami begitu mengambil berat mengenai aurat dengan tidak membenarkan lelaki masuk dalam salun selain memilih ahli terapi Muslimah saja.

“Ada juga salun profesional menyediakan tempat khas untuk Muslimah lengkap dengan penghadang atau seksyen khas, tapi makin ramai wanita kurang selesa kerana menyedari kehadiran jantina lain yang mendapatkan rawatan di salun sama.

“Pendek kata, salun ini boleh dikatakan sepenuhnya daripada wanita untuk wanita dan insya-Allah memenuhi tuntutan syariah,” katanya.


PELANGGAN mendapatkan khidmat solekan.

Salun di Melawati Mall, Taman Melawati, Kuala Lumpur itu menyediakan empat jenis rawatan rambut antaranya rawatan kulit kepala dan detoks, rawatan ‘powermix’ dengan menggunakan teknologi semburan nano, rawatan mandian krim Bali untuk rambut dan kulit kepala serta rawatan keratin.

Istimewanya, salun kecantikan yang mula beroperasi Mac lalu turut menawarkan khidmat bekam angin selain pembersihan dan penataan kuku ekspres serta khidmat melentikkan bulu mata.

Selain rawatan rambut rosak, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat menggunting, mencuci dan mengeringkan rambut dari penggaya rambut profesional serta solekan.


YUSKIAHNIZA (tengah) bersama kakitangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:35 PM