DR Suwaibah.
DR Suwaibah.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kerap kali mengikuti perkembangan wanita ini menerusi majalah, berita dan perkongsian maklumat di media sosial. Nama Mejar (K) Dr Suwaibah Muhammad Nasir, 45, bukan asing. Beliau wanita kental yang tidak pernah berhenti mengharumkan nama negara dengan usaha luar biasa.

Terbaru, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini dalam misi Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia bagi melakar sejarah buat negara sambil melawat kem pelarian.

Bersemuka dengan pelari solo negara ini minggu lalu, ternyata Dr Suwaibah kian sibuk mempersiapkan diri dan menjalani pelbagai latihan untuk meneruskan kembali misi menawan menara seterusnya di Russia.

“Menara pertama yang sudah ditawan ialah Menara Avala setinggi 250 meter di Belgrade, Serbia pada 31 Ogos 2016. Kini misi menawan masih berbaki 29 menara dan saya akan bermula kembali di Moscow,” katanya.

Jelas Suwaibah, nekad untuk mengerah kudrat dan kekuatan fizikalnya untuk menyempurnakan misi, menyampaikan mesej keamanan, seterusnya mencatat rekod membanggakan dalam Guinness World Book of Records.

 GIGIH berlatih.
GIGIH berlatih.

“Sejak kecil saya memang menaruh minat yang tinggi pada sukan larian. Saya menyimpan impian untuk terus menyinar dalam bidang ini dan mencipta rekod tersendiri.

“Saya pernah pengsan kerana dehidrasi semasa menyertai larian ketika berusia 15 tahun, berdepan banyak kekangan untuk menyambung pengajian, terpaksa mengorbankan kerjaya dan banyak dugaan pahit lain yang datang dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, saya sentiasa melihat cabaran dan ujian dalam perspektif yang positif. Sepanjang berada dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), saya merebut semua peluang yang ada.

“Malah, selepas meninggalkan kerjaya, saya terus aktif berlari, berbekalkan pencapaian yang pernah diraih ketika berada dalam pasukan. Saya percaya, bukan semua yang kita mahukan akan menjadi milik sendiri. Oleh itu, saya memandang ke depan dan terus merencana pelbagai projek untuk membina masa depan,” katanya.

Rekod kemenangan

Mungkin sudah tersurat rezeki buat wanita ini, nama Dr Suwaibah terus menjulang selepas menyempurnakan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Marco Polo) dari Beijing ke Venice lebih 3,000 kilometer (km) pada Jun 2014.

“Sepanjang berkhidmat dalam TUDM, saya pernah mewakili negara dalam maraton di Amerika Syarikat, Itali, Indonesia dan Singapura. Kemudian, saya membuat larian amal dengan berlari sejauh 2,004 kilometer selama 47 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia dan mengumpul RM1.3 juta untuk mengisi tabung Majlis Kanser Nasional yang turut dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2004.

“Saya juga berjaya menamatkan larian ‘Water for Gaza’ merentas Gurun Sahara di Mesir secara solo dengan jarak 1,111 km selama 32 hari pada 2012.

“Lebih manis, saya turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai wanita pertama berlari solo merentasi empat benua dan 12 negara meliputi China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Croatia, Slovenia dan Itali sejauh 3,333 km pada 2014.

“Semua ini saya lakukan untuk menaikkan nama negara dengan perjuangan sukan ke arah kemasyarakatan dan sekarang, saya dalam usaha mencipta rekod dunia sebagai wanita atau rakyat pertama yang menawan 30 menara tertinggi dunia di bawah World Federation of Great Towers (WFGT),” katanya.

KETIKA Majlis Pelancaran Misi Larian Solo ‘Across Reverse of Marco Polo’ di Dewan Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya pada 2014.
KETIKA Majlis Pelancaran Misi Larian Solo ‘Across Reverse of Marco Polo’ di Dewan Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya pada 2014.

Kata Ikon Pembangunan Sukan TUDM ini, beliau berbangga apabila hasil usahanya kian mendapat perhatian sehingga memperoleh pengiktirafan pelbagai pihak termasuk dilantik sebagai Duta Keamanan Dunia 202 Negara, Mac lalu.

“Bayangkan, saya dulu hanya budak kampung yang meminati sukan larian. Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah melarang, malah sentiasa memberi dorongan. Bapa antara orang yang sentiasa berada di belakang. Beliau menyediakan diet yang terbaik, menghantar saya ke sekolah pada setiap hari cuti, membenarkan saya menyertai acara larian, mengatur pemakanan untuk memastikan saya sentiasa bertenaga. Tak ada melarang langsung sehingga ke hari ini.

“Cuma, beliau banyak berpesan supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri jika berada di luar negara. Mereka risau kerana pernah suatu ketika di Mesir, saya berdepan insiden besar.

“Mereka sebut sebagai insiden benzene dunia. Pada masa itu, saya masih dalam jadual larian dan kereta kami bertembung dengan puak yang merusuh. Mereka datang dengan parang dan senjata. Saya sendiri ketakutan yang teramat hingga memikirkan bakal mati di Mesir. Sedangkan koordinator bersama pengawal saya sudah melepasi kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya selamat hari itu selepas dibantu koordinator antarabangsa. Mereka menguruskan situasi sebelum laluan dibuka untuk kami kembali ke hotel. Bagaimanapun, dua hari saya tidak keluar kerana bimbang insiden sama berulang,” katanya ketawa.

BERSAMA buku yang dihasilkan selepas menamatkan Larian Sahara.
BERSAMA buku yang dihasilkan selepas menamatkan Larian Sahara.

Tidak kira berat mana dugaan diterima, Dr Suwaibah berkata, dia selalu mengingatkan dirinya untuk cekal berdepan ujian dan cabaran sehingga misi berakhir dengan sempurna.

“Angin, hujan, ribut pasir, semua itu adalah ujian. Jika perlu berhenti atau berpatah balik, saya sentiasa bersedia. Tetapi apabila berdepan rusuhan, ia memang menakutkan.

“Kalau ditanya soal berputus asa, hebat mana cabaran, kekangan dan masa sukar, memang banyak. Namun, saya reda kerana pengalaman yang terkumpul kini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Bagaimanapun, saya gembira dan sentiasa menikmati setiap perjalanan. Bagi saya, pahit- maung adalah cabaran. Nikmatnya pula diperoleh apabila saya dapat pergi ke seluruh dunia untuk melihat, bergaul, mengenali hati budi, membuka jaringan dan membina silaturahim hanya dengan sukan.

“Nampak jelas sukan ini berupaya menyatukan. Ia memberi kesan kepada diri saya. Setiap kali berjumpa dengan pihak yang berkaitan dan bertemu masyarakat setempat, saya banyak belajar mengenali perbezaan latar belakang, agama, bangsa, budaya dan struktur geografi negara berkenaan.

“Pada saya, semua itu menarik dan saya mahu terus belajar. Secara tidak langsung, pembelajaran sebegini membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih cekal, kuat dan memahami orang lain,” katanya.

BERSAMA peserta KL Tower International Towerthon Challenge 2016 di Menara Kuala Lumpur.
BERSAMA peserta KL Tower International Towerthon Challenge 2016 di Menara Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:55 PM