PROGRAM pembersihan di Pantai Pasir Panjang, Port Dickson.
Siti Nadirah Hafidzin

Kebersihan pantai adalah tanggungjawab bersama dan sehubungan itu, The Body Shop Malaysia menyertai Ocean Conservancy ke-33 iaitu program pembersihan pantai antarabangsa untuk membendung kemasukan sampah di laut sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Ia adalah tahun ke-24, jenama penjagaan diri itu mengambil bahagian dalam usaha sukarelawan untuk membersihkan sampah di pantai.

Buat pertama kalinya, The Body Shop Malaysia menganjurkan dua program pembersihan pantai serentak di Pantai Pasir Panjang, Port Dickson dan di Pantai Teluk Mak Nik, Terengganu.

Kerjasama dijalankan dengan Lexis Hibiscus, Port Dickson dan Maxis untuk memastikan laluan pantai di sekitar Port Dickson berada dalam tahap terbaik bersama dengan Pergerakan Lautan Hijau, Art Matrix dan German-Malaysian Institute.

Untuk program di Terengganu, pula Coca-Cola menjalankan kerjasama untuk bersama-sama membersihkan pantai demi manfaat penduduk di sana.

Seramai 620 sukarelawan menyertai program pembersihan itu bagi membantu memastikan laluan air bersih dan selamat untuk kehidupan marin.


DEMI memastikan hidupan marin terpelihara.

Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia Datin Mina Cheah Foong berkata, pihaknya bukan sekadar mengambil sampah untuk menjadikan pantai lebih bersih malah menjadikan hidupan laut hidup lebih selamat.

Dianggarkan 60 hingga 80 peratus sampah yang membanjiri pantai di seluruh dunia terdiri daripada plastik. Setiap tahun sebanyak lapan juta tan sampah plastik dibuang di laut yang menjejaskan kehidupan hampir 700 spesies marin. Bagaimanapun ia bukan sekadar mengancam kehidupan marin tetapi turut memberi kesan kepada semua kehidupan termasuk manusia.

“Kita perlu sedar apa yang akan berlaku kepada sampah jika ia tidak dibuang dengan betul. Matlamat utama adalah untuk mengelakkan sampah memasuki saluran air di samping mendidik komuniti dan menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam acara seperti ini.

“Oleh itu, menjaga laluan air, pantai, tasik dan sungai tempatan bukan hanya untuk sehari dalam setahun namun ia perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.


PEMBERSIHAN di Pantai Teluk Mak Nik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 2:28 PM