Intan Mas Ayu Shahimi

Memilih aktiviti untuk merangsang perkembangan anak-anak tidak sukar. Walaupun banyak permainan kreatif yang menawarkan kelebihan ketika bermain, harganya mungkin boleh menjadi isu.

Jadi, pilihan paling mudah dan jimat adalah dengan memberikan anak-anak gajet. Ini dilakukan ramai ibu bapa kononnya untuk membantu menyokong perkembangan anak dalam era teknologi.

Salah. Pilihan ini jelas salah. Gajet bukan pengganti untuk merangsang perkembangan anak kecil. Lebih daripada itu, gajet mendatangkan ketagihan, membantutkan perkembangan motor, mengehadkan anak berfikir secara kreatif dan paling utama meningkatkan risiko rabun serta obesiti.

Ibu bapa tidak perlu berbelanja besar untuk mengadakan permainan kreatif dan sesuai untuk anak. Mungkin kerana dunia hari ini menghamburkan terlalu banyak pilihan bersifat maya, kreativiti ibu bapa juga menjadi kian tumpul.

Menurut penulis buku laris bertajuk 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna, Adlil Rajiah Mohd Nasir, bermain adalah titik permulaan asas proses pembelajaran bagi kanak-kanak.

Apabila bermain, mereka akan memerhati, menyiasat, mencuba, mencipta, berfikir dan berimaginasi mengikut kreativiti sendiri. Ketika ini anak mula mengenali diri, meneroka dunia sekeliling, mempelajari kaedah menyelesaikan masalah, mengawal emosi dan tindakan dalam pelbagai keadaan.

“Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama untuk merangsang fizikal dan minda anak. Tidak perlu yang mahal, asalkan ia memberi manfaat kepada kanak-kanak sepanjang tempoh mereka bermain.

“Sebagai permulaan, ibu bapa boleh menyertai permainan dan menunjukkan cara bermain. Namun selepas anak mula leka, kita perlu menarik diri secara perlahan-lahan untuk memberi ruang meneroka permainan mengikut idea, imaginasi serta kemampuan mereka sendiri,” katanya.

Adlil Rajiah berkongsi antara permainan mudah yang kerap digunakan ibu bapa untuk merangsang daya pemikiran, sentuhan dan kreativiti anak-anak. Paling penting, permainan sama juga kerap digunakan pakar psikiatri kanak-kanak untuk menilai perkembangan si kecil.

1. Blok menara

Sama ada dalam bentuk gegelung, bongkah atau cawan, apa saja aktiviti membina menara adalah bagus. Menerusi aktiviti ini, anak akan mengenali saiz, warna, keseimbangan dan bentuk.


BLOK menara .

2. Pilih warna

Untuk aktiviti ini, ibu bapa boleh menggunakan apa saja benda berwarna asalkan tidak tajam dan berbahaya. Letakkan berhampiran anak dan beri arahan supaya dia mengasingkan warna mengikut bekas.

Walaupun nampak mudah dan ringkas, permainan sebegini menjana minda anak untuk berfikir dengan baik. Anda mungkin boleh gunakan batang aiskrim, bebola span, sudu, mangkuk dan cawan.


PILIH warna.

3. Mengasingkan manik

Kenapa manik? Benda yang kecil boleh merangsang kemahiran motor halus anak dan melatih mereka untuk lebih fokus. Melalui cara ini, pemikiran dan penglihatan menjadi lebih tajam sementara pergerakan tangan pula bertambah lancar.

Begitupun, perlu diingatkan bahawa aktiviti ini agak berbahaya dan wajib ditemani orang dewasa. Hanya campurkan manik pelbagai warna dan jenis, kemudian minta anak asingkan.


MENGASINGKAN manik.

4. Menyusun bentuk

Permainan ini banyak dijual, namun ramai ibu bapa tersalah dalam memilih. Usah membeli berdasarkan bentuk, jenama dan warna saja. Cuba teliti kembali kegunaan alat permainan ini. Ia bertujuan membantu anak-anak membezakan bentuk bongkah dengan lubang yang disediakan.

Jadi, pilihlah blok kayu dengan pilihan bentuk yang berbaloi dengan harga. Setidak-tidaknya anak boleh meneroka lebih banyak kaedah untuk bermain dan tidak cepat bosan. Selain menyusun, anda juga boleh gunakan bongkah sama untuk aktiviti pilih warna!

5. Penyepit baju

Bergantung kepada bajet dan minat anak-anak. Jika mereka sukakan bentuk dan warna menarik, mungkin anda boleh pertimbangkan sepit baju bercorak untuk mereka.

Latih anak-anak menekan sepit baju dan sepitkan pada tepi bekas. Di samping merangsang otak, aktiviti ini juga sangat bagus untuk kemahiran motor, sensori dan melatih anak mengawal tangannya.


PENYEPIT baju .

6. Getah rambut

Ada banyak kedai menjual getah rambut berwarna-warni pada harga murah. Anda sendiri mungkin ada koleksi getah rambut untuk kegunaan harian. Jadi, anda hanya perlu sediakan penapis sayur dan lidi.

Ajar anak untuk tarik getah rambut dan masukkan dalam lidi yang dicucuk pada penapis mengikut warna. Aktiviti ini cukup bagus untuk fizikal dan mental anak. Sama seperti aktiviti sebelumnya, ia merangsang kemahiran motor, sensori dan melatih pergerakan tangan mengikut keperluan.


GETAH rambut.

7. Nat dan bolt

Ini antara aktiviti lazim disediakan pakar psikiatri kanak-kanak untuk menilai perkembangan si kecil. Nat dan bolt ini berbeza mengikut warna, bentuk dan saiz. Jadi, anak anda perlu memadankan ketiga-tiga perbezaan ini untuk berjaya.

Menariknya, aktiviti ini lebih mencabar minda anak saat mereka bermain. Mereka perlu memulas, menekan, menarik dan pada masa sama membezakan yang mana betul dan salah pada setiap percubaan. Ini yang membantu sel otak kanak-kanak berhubung!

8. Melukis

Walaupun melukis nampak remeh, ia memberi banyak manfaat positif buat anak. Lukis apa saja dan minta mereka tiru kembali, Ketika ini ibu bapa boleh melatih anak menggunakan pen, pensel warna, krayon dan sebagainya.

Jadikan aktiviti ini sebagai rutin harian anak bersama ibu bapa. Lukiskan satu bentuk sebagai pemula, kemudian biarkan anak sambung mengikut kreativiti dan imaginasi mereka.


MELUKIS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 3:24 PM