MAHATHIR bersama koleksi telekung rekaannya.
MAHATHIR bersama koleksi telekung rekaannya.
Siti Zarinah Sahib

Ketika mula memilih material untuk telekung yang akan dihasilkan, pasangan suami isteri, Mahathir Md Saad dan Haslina Haron sepakat mencari fabrik berkualiti dan unik namun memberikan keselesaan kepada pemakai.

Berdasarkan pemerhatian kebiasaannya telekung hadir dalam warna polos iaitu hitam atau putih. Cuba memberikan kelainan, pasangan ini mula memperkenalkan Telekung Zuleykha pada November 2017.

“Alhamdulillah sebaik melancarkan telekung ini dengan inovasi menerusi poket sorok pada bahagian depan dan sisi sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Ramai pelanggan sukakan rekaan ditampilkan selain selesa, tidak panas dan tidak mudah berkedut,” kata Mahathir yang berkunjung ke studio Balai Berita NSTP, baru-baru ini.

Menurut Mahathir, ketika mula memilih fabrik jersi dia juga turut bimbang seandainya kurang diminati ramai. Memang benar menerusi penjualan dalam talian ramai tidak yakin terhadap material ini.

Kebanyakan pelanggan bertanya berkali-kali bagaimana bentuk kain jersi itu dan kemudian menukar fikiran untuk mendapatkan telekung kapas.

“Mungkin kerana terbiasa telekung fabrik kapas ramai yang tidak berani mencuba. Namun bagi yang pernah memakainya pasti jatuh cinta kerana keselesaan dan akan membeli untuk keluaran seterusnya. Saya juga menggunakan fabrik bercetak floral dengan rona pastel.

“Coraknya juga eksklusif didatangkan untuk jenama ini saja. Fabrik ini juga tidak panas, lembut dan tidak berkedut. Pendek kata mereka tidak perlu bimbang mengenai cara penjagaan kerana ia tahan lasak,” katanya.

MENGGUNAKAN kain jersi yang mempunyai banyak keistimewaan.
MENGGUNAKAN kain jersi yang mempunyai banyak keistimewaan.

Didatangkan dalam lapan koleksi, putih, hitam, berwarna seperti ungu lembut, biru dan kelabu serta bercorak, setiap rekaan sesuai dipakai ketika mengerjakan haji dan umrah. Inovasi berpoket ini memudahkan Muslimah menyimpan pasport, kunci dan telefon bimbit ketika melakukan ibadat di Tanah Suci.

“Inspirasi berpoket ini datangnya daripada isteri yang berkaca mata. Jadi apabila solat ia mencetuskan masalah apabila kaca mata sering dipijak jemaah lain. Jadi poket ini dapat menyimpan barangan penting ketika bersolat,” ujarnya lagi.

Mendapat permintaan tinggi untuk telekung kapas putih dan hitam terutama pada musim haji dan umrah, namun koleksi bercetak turut mempunyai peminatnya tersendiri. Telekung kapas ada dijual dalam ukuran mini telekung tanpa kain dan sepasang.

“Setiap helaian diberikan sentuhan segar menerusi jahitan renda selebar lima inci pada bahagian bawah telekung dan juga sedikit pada kain. Ia tentunya menambah kemanisan kala bersolat apabila bahagian muka mengikut bentuk wajah pelanggan. Ia mengelak aurat terbuka ketika menunaikan solat,” katanya.

RONA putih dengan renda pada bahagian telekung dan kain cetus kelainan.
RONA putih dengan renda pada bahagian telekung dan kain cetus kelainan.

Selain mengharapkan telekung rekaannya diminati ramai, Mahathir juga memasang impian mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi sehingga mampu membuka pusat kelengkapan haji dan umrah suatu hari nanti.

“Jenama ini masih baru di pasaran. Namun disebabkan sambutan menggalakkan kami yakin mampu pergi lebih jauh bagi menempatkan Zuleykha sebagai barangan solat yang mampu dimiliki semua.

“Kami juga bercadang membuka butik fizikal di Lembah Klang pada tahun hadapan bagi membolehkan pelanggan mencuba dan merasai sendiri ‘keenakan’ fabrik yang kami tampilkan,“ ujarnya yang dulunya menjual kain pasang secara dropship pada 2013 namun terpaksa bertukar kepada perniagaan lain kerana kurang mendapat sambutan.

Namun selepas menerima idea yang diberi oleh seorang kenalan mengenai perniagaan telekung akhirnya dia dan isteri mula menjalankan operasi mencari material dan tukang jahit.

TELEKUNG mini untuk menunaikan haji dan umrah.
TELEKUNG mini untuk menunaikan haji dan umrah.

“Bermula dengan 10 pasang tidak sangka setiap kali memuat naik gambar, telekung habis dijual sehinggalah kami mengeluarkan sebanyak 100 telekung seminggu. Alhamdulillah setakat ini maklum balas pelanggan sangat positif dan memberangsangkan,” katanya yang menetap di Sungai Petani Kedah.

Semua Telekung Zuleykha boleh didapati menerusi dalam talian pada harga serendah RM49 hingga RM180 bagi set premium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:00 AM