SIMBOLIK kerjasama bersama MAKNA
Intan Mas Ayu Shahimi

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia tahun ini, pengeluar jenama hijab dan pakaian Muslimah, Sofearose buat julung kali mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) The Strongest Pink sebagai tanda sokongan kepada kempen Pinktober.

Program selama sebulan, berakhir 6 November depan itu turut disokong Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebagai rakan NGO yang bergiat aktif dalam memperjuangkan pesakit kanser.

Ketua Pengarah Urusan Sofearose Muhammad Zaki Yusof berkata, inisiatif melancarkan kempen The Strongest Pink timbul selepas melihat statistik penderita barah payudara yang semakin membimbangkan.

“Angka ini meningkat saban tahun dan kami mahu masyarakat sedar mengenai pentingnya langkah pencegahan awal kanser payudara, pemeriksaan berkala dan sokongan masyarakat kepada pesakit.

“Saya sendiri mempunyai kakak yang baru disahkan bebas daripada kanser payudara tahap empat. Saya faham betapa mereka memerlukan sokongan komuniti dan orang di sekeliling untuk terus positif.

“Tahun ini kami menyuarakan sokongan padu kepada pesakit kanser payudara dan berharap kerjasama seperti ini menjadi contoh kepada banyak lagi label tempatan selepas ini,” katanya.


ANTARA aktiviti dijalankan sepanjang program.

Jelas Muhammad Zaki, dia sengaja memilih material satin pusam untuk koleksi hijab eksklusif Clara Luxe sebagai simbolik memperkasa wanita dan menghargai mereka.

Setiap set hadir dengan hijab bertatahkan kristal mewah bersama beg comel Hijab & Heels. Ia ditawarkan pada harga RM120 setiap satu dengan sebahagian hasil jualan disalurkan kepada tabung MAKNA.

Sementara itu, pejuang kanser payudara tahap empat, Wan Musfirah Aimi Wan Supian, 34, berkata, penyakit kanser yang dihadapinya langsung tidak menjadi penghalangnya untuk menjalani rutin serta aktiviti seperti individu lain.

Malah, ia menjadi pembakar semangat untuk wanita ini terus menghadapi hari mendatang dengan penuh optimis dan bersemangat.

“Setiap hari adalah cabaran dan semangat baru buat saya. Saya tidak boleh mengalah. Walaupun sehingga bulan lalu, doktor mengesahkan sel kanser sudah menyerang sehingga ke tulang belakang, tetapi saya nekad untuk terus melawan.

“Syukur, saya satu-satunya pesakit kanser tahap empat yang masih mampu berdiri. Saya tidak mahu ‘pergi’ selagi belum berbaki kepada suami dan anak,” katanya.


WAN Musfirah Aimi sebak menerima kejutan daripada suami tercinta.

Set eksklusif Clara Luxe boleh didapati di Butik Sofearose di Melawati Mall dan Bangi Sentral atau menerusi belian dalam talian.

Pelbagai aktiviti menarik dikongsi sepanjang berlangsungnya The Strongest Pink. Antaranya termasuk perkongsian kisah pejuang kanser, luahan individu yang kehilangan ramai ahli keluarga akibat kanser dan ujian klinikal serta khidmat rundingan percuma MAKNA.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan tip senaman dan kesihatan, tutorial bertudung serta tip penggayaan oleh Duta Sofearose, Sharifah Rose.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 3:01 PM