MI calong.
Siti Zarinah Sahib

Asalnya resipi mi calong ini daripada seorang wanita, Rokiah Mohd Amin atau mesra dipanggil Mak Cik Kiah yang membuka warung di hadapan rumahnya di Kuantan, Pahang. Menyediakan pelbagai juadah istimewa seperti pisang goreng, keropok lekor termasuk pelbagai menu asli Pahang.

Sebagai anak tempatan, usaha Rokiah sangat disenangi penduduk kampung sehinggakan warungnya dipenuhi pelanggan setiap hari yang ingin merasai setiap juadah istimewa air tangannya.

Seakan menggamit nostalgia lama, kini mereka yang pernah merasai juadah istimewa Rokiah boleh berbuat demikian apabila anaknya Datuk Syed Isa Syed Alwi membawakan hidangan asli Pahang di restoran miliknya Warung Mak Cik Kiah yang terletak di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Menurut pengurus restoran, Norkhairizal Rusli, resipi mi calong ini 100 peratus berasaskan warisan tradisional seperti yang disediakan di warung Rokiah di Kampung Tengah, Kuantan.

“Memang ia menggunakan 100 peratus bahan asli terutama bebola ikan yang dibuat sendiri daripada isi ikan selayang. Pembuatannya juga amat rumit kerana perlu berhati-hati bagi mengelak isi ikan relai dan tidak terbentuk bulat,” katanya.

Mi calong menggunakan isi ikan segar yang direbus kemudian dilumatkan supaya halus. Selepas itu isi ikan dicampur tepung jagung supaya tidak relai sebelum direbus. Mi calong enak dinikmati bersama sos yang turut dimasak sendiri.

Selain itu Warung Mak Cik Kiah turut menyediakan masakan kampung seperti ikan tilapia goreng dan ayam organik yang dimakan bersama nasi putih, sambal tempoyak budu dan petai jeruk.

Dibuka jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari, Warung Mak Cik Kiah turut menyediakan ruang bagi pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis dan boleh memilih sama ada makan secara hidang atau bufet.

Resipi Mi Calong

• 5 ekor ikan selayang dikisar

• 3 sudu tepung jagung

• 1 bungkus sup bunjut

• 3 tangkai daun sup dan daun bawang

• 3 ulas bawang merah

• 3 ulas bawang putih

• 2 sudu kecil lada hitam

• 2 sudu kecil lada putih

• 1 mangkuk mi

• 2 ketul tauhu digoreng

• Garam dan serbuk perisa secukup rasa


BAHAN-BAHAN.

Bahan sos

• 5 tangkai cili merah besar

• 5 tangkai cili padi

• 2 sudu cuka

* Kisar cili merah dan cili padi. Kemudian campurkan cuka dan masak perlahan. Angkat selepas mendidih.

Langkah-langkah


1. KISAR ikan selayang kemudian campurkan tepung jagung dan bentukkan menjadi bebola ikan.

2. PANASKAN minyak kemudian bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.

3. MASUKKAN bawang goreng tadi ke dalam air rebusan ikan selayang.

4. DALAM periuk sama masukkan sup bunjut, lada hitam dan lada putih, garam dan serbuk perisa.

5. CELUR mi kuning di dalam kuah sup yang sedang mendidih.

6. CELURKAN tauhu bersama kek ikan.

7. MI CALONG enak dimakan bersama sos dan juga cili jeruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:41 PM