Intan Mas Ayu Shahimi

Menyediakan hidangan sihat dan lengkap selepas sehari suntuk berdepan kesibukan kerja di pejabat mungkin kedengaran agak mustahil. Jalan mudah, ramai yang singgah ke gerai berhampiran kediaman membeli hidangan bergoreng atau menempah terus makanan segera untuk santapan seisi keluarga.

Sesekali mungkin tidak mengapa. Namun jika mengulang rutin sama setiap hari, tubuh mungkin berdepan risiko kegemukan, masalah peningkatan kolesterol atau obesiti dalam kalangan anak-anak.

Sebenarnya tidak susah untuk menyediakan hidangan sihat di rumah sekiranya perancangan dibuat dengan baik. Hanya dapatkan keperluan dapur bersesuaian dengan kemampuan diri mengolah resipi.

Kemudian, pertimbangkan faktor masa yang singkat selepas pulang dari kerja dan paling utama hidangan yang hendak disediakan haruslah berkhasiat serta memenuhi keperluan nutrien buat seisi keluarga.

Kata cef selebriti, Anis Nabilah, dia lebih senang memilih rangkaian produk Eat Well keluaran Marks & Spencer kerana mudah diolah menjadi resipi hidangan lengkap, menepati keperluan diet seimbang serta sihat.

ANIS Nabilah

“Saya seorang yang mementingkan hidangan sihat. Setiap bahan yang digunakan dalam resipi haruslah semula jadi, bebas pewarna, perasa dan pengawet. Namun, untuk mencapai kriteria ketika memilih barangan dapur bukan mudah.

“Paling penting, saya perlu pastikan ramuan yang saya guna menepati kehendak resipi, rasa dan selera keluarga. Di Malaysia, majoriti orang sukakan kepelbagaian rasa dalam masakan.

“Jadi, untuk menghasilkan juadah enak, saya banyak merujuk pada majalah, Internet, buku dan pendapat orang yang lebih arif mengenai masakan. Uniknya, Eat Well menawarkan kepelbagaian yang sukar ditandingi kebanyakan produk lain.

“Saya boleh menghasilkan nasi beriani lengkap dengan hidangan ayam enak. Paling penting, saya tidak perlu memotong bahan atau mengisar bahan asas kerana semuanya siap ditinkan. Hanya tambahkan sedikit herba untuk mempelbagaikan rasa. Dalam masa singkat, anda boleh menikmati hidangan enak berkhasiat!” katanya.

AYAM PANGGANG BEREMPAH

Bahan-bahan

• 2 sudu besar minyak zaitun

• 1 pek sup Butternut, Parsnip & Turmeric

• 1 tin sup campuran lobak dan ketumbar

• 1 sudu teh garam masala

• 1 sudu besar serbuk kari

• 1 sudu besar serbuk cili

• 1 1/2 cawan tomato passata

• 8 ketul paha ayam

• 1/2 cawan santan

• Garam dan lada hitam secukup rasa

• 2 sudu teh madu

Hiasan

• 1/4 cawan yogurt

• 1 biji bawang merah

• 4 biji cili hijau

• Ketumbar segar dicincang

Cara-cara:

1. Panaskan minyak zaitun dalam periuk dan tumis garam masala, serbuk kari dan serbuk cili sehingga wangi.

2. Masukkan sup dan tomato dan reneh selama tiga minit.

3. Tambah santan, ayam dan perasakan dengan madu, garam dan lada hitam.

4. Biarkan mendidih selama 15 minit.

5. Masukkan bawang merah dan cili hijau. Biarkan selama 5 minit lagi.

6. Tuang yogurt sebelum dihidangkan.

NASI SAFRON DENGAN KACANG RANGUP

Bahan-bahan

• 2 cawan beras basmati (dibasuh, direndam dan ditoskan)

• 2 cawan air rebusan ayam

• 1 cawan air mawar

• 1 gram safron

• Garam

Hiasan

• 1 paket Turmeric Crunch

• Kacang segar dicincang

• Bawang dicincang

Cara-cara

1. Masukkan beras, air rebusan ayam, air mawar, garam dan safron dalam periuk periuk nasi. Biarkan ia masak.

2. Taburkan hiasan sebelum dihidang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:19 PM