Siti Nadirah Hafidzin

Cantik dan sihat adalah dua perkara yang saling berkait rapat. Mana tidaknya, untuk tampil cantik, seseorang itu terlebih dulu perlu berada pada tahap kesihatan terbaik.

Dalam keterujaan untuk tampil cantik, ramai yang memberi alasan klise seperti kekurangan masa untuk bersenam walaupun ia boleh dilakukan dalam beberapa sesi pendek. Jika tidak dapat bersenam selama 30 minit dalam satu sesi, senaman boleh dibahagikan kepada dua atau tiga sesi. Walaupun disarankan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, tetapi lebih baik jika dilakukan setiap hari.

Ada pula menyatakan tidak tahu jenis senaman yang boleh dilakukan walhal semua maklumat ini ada di hujung jari sama ada klip video yang dimuat naik di Internet, majalah mahu pun akhbar sejak sekian lama.

Jadi, alasan tiada masa atau tidak tahu sudah tidak boleh diterima. Kalau mahu sihat dan cantik, perlu luangkan sedikit masa selain belajar cara mendapatkan pemakanan seimbang.

Paling mudah ialah berjalan pantas mengikut kemampuan diri. Berjalan antara senaman yang paling mudah dan ringan, boleh dilakukan sesiapa saja dan semua peringkat usia.

Jika tidak mahu keluar rumah, anda masih boleh bersenam di ruang tamu dengan berjalan setempat atau menggoyangkan badan mengikut rentak lagu.

Sekiranya anda tinggal di rumah yang mempunyai tangga, anda boleh menggunakannya sebagai lokasi dan alat senaman terbaik tanpa perlu keluar dari rumah.

Ia ternyata langkah paling mudah dan sesuai dilakukan khususnya pada individu yang sering memberi alasan tidak mempunyai masa atau tidak sempat ke pusat kecergasan.

Berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman di tangga, jurulatih kecergasan bertauliah Nurina Mohamad berkata, senaman di tangga antara jenis senaman alternatif sekiranya tidak mempunyai masa untuk beriadah di luar.

Menurutnya, paling utama perlu berhati-hati dan menitikberatkan soal keselamatan diri terutama kepada individu yang baru ingin mencuba.

“Senaman jenis ini amat baik untuk dijadikan sebagai senaman rutin dan boleh dilakukan dalam tempoh 15 minit. Ia bagus untuk memperbaiki tahap kesihatan jantung dan pada masa sama mampu membantu anda menurunkan berat badan serta menguatkan anggota otot kaki,” katanya.

Nurina berkata, diingatkan senaman jenis ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan perlu mengikut kiraan masa yang betul.

“Setiap kali melakukan squad, perlu berhati-hati supaya tidak terjatuh, tidak dinafikan untuk percubaan kali pertama kebiasaannya akan berasa kekok namun dengan latihan konsisten semuanya dapat diatasi.

“Bagi individu yang mempunyai masalah jantung, tekanan darah tinggi atau rendah dinasihatkan supaya melakukan senaman ini secara perlahan-lahan terlebih dulu,” ujarnya.

Tambahnya, dapatkan nasihat jurulatih kecergasan bertauliah untuk mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan tidak diingini.

Nurina berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman di tangga.


1. NAIK dan turun tangga secara perlahan.

2. DALAM posisi squad, naik tangga secara perlahan-lahan.

3. DALAM posisi sisi, naik tangga menggunakan kedua-dua belah kaki.

4. NAIK tangga menggunakan sebelah kaki seperti menjingkit.

5. NAIK dan turun tangga dalam kelajuan sederhana.

6. MENCANGKUNG dan berdiri sebelum naiki anak tangga satu persatu. Akhiri senaman dengan menaiki dan menuruni tangga mengikut kelajuan yang anda mampu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 12:02 PM