WANITA bersenam dalam gerakan dan pakaian sopan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Visi dan matlamatnya jelas. Dia berusaha untuk me­ngangkat martabat budaya tempatan melalui rutin senaman menyeronokkan bagi memastikan setiap golongan terutama wanita dapat bersenam dalam gerakan dan busana yang sopan.

Sudah sekian lama kita dihidangkan dengan pelbagai gerakan senaman dari negara Barat sama ada yang berbentuk lincah dan kadang kala membuatkan seluruh badan ‘bergegar’, apatah lagi jika dilakukan si manis yang bertubuh besar.

Pergerakan senaman dari Timur pula biasanya bersifat lebih lembut dan perlahan, tetapi tetap memberikan kesan. Namun kebanyakan pengamalnya mengenakan pakaian senaman yang melekat di badan sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan sesetengah orang baik wanita atau lelaki.

Tidakkah Malaysia mempunyai teknik senaman tersendiri? Bukankah kita ada pelbagai budaya yang boleh dijadikan landasan atau asas senaman bersifat tempatan dan mempunyai unsur tradisional tanpa perlu mengorbankan aspek kesopanan?

Senario ini mencetuskan ilham kepada Presiden Persatuan Sukan Rekreasi Zafina Malaysia Yazid Abdul Rani untuk mengumpul idea dan menghasilkan modul senaman tradisional yang mampu menarik minat ramai.

Penat lelah dan usahanya sejak 2004 berbaloi apabila dia akhirnya berjaya menghasilkan modul latihan senaman yang mempunyai elemen zapin dipanggil Zafina Fitness pada Oktober 2015 yang menggunakan samping sebagai pakaian rasmi ketika bersenam.

Berkongsi kisah suka dukanya dalam memartabatkan budaya tempatan melalui senaman, Yazid berkata, semuanya bermula sejak 2004 ketika dia aktif menjadi jurulatih kecergasan bertauliah.

Menurutnya, ketika itu tidak ada rutin senaman yang menggunakan gerakan dan irama tradisional tempatan yang menyebabkan dia sentiasa berfikir untuk menghasilkan sesuatu.

“Jika pergi bersenam, pasti kita akan melakukan rutin senaman yang berasal dari negara luar. Kalau dilihat ada saja teknik senaman terbaru yang muncul dan menjadi ikutan di seluruh dunia. Sebut saja, apa yang tidak pernah kita cuba. Daripada senaman aerobik, taichi, yoga, pocho-pocho, zumba hinggalah ke tarian lagu K-pop, semuanya menarik perhatian.

“Saya akui ia perkembangan yang memberangsangkan untuk meningkatkan kecergasan dan menjaga kesihatan. Saya mengalu-alukannya. Bagaimanapun, saya mahukan bentuk senaman yang diterapkan dengan budaya tempatan termasuk gerakan dan iramanya.

“Negara kita kaya dengan seni muzik tradisional yang mempunyai gerakan tarian tertentu. Mengapa ia tidak dimanfaatkan? Jika dilihat pada pergerakan, tarian tradisional juga memaksa kita untuk menggerakkan sebahagian besar anggota seperti senaman lain.

“Bermula daripada itu, pelbagai kajian dilakukan dalam usaha menghasilkan Zafina terutama dengan mengkaji kesesuaian lagu dan rentak Zapin untuk menghasilkan gerakan senaman yang sempurna,” katanya.


YAZID.

Yazid berkata, walaupun pada mulanya usahanya itu amat sukar dan berdepan pelbagai dugaan namun dia bersyukur kerana berjaya mengumpulkan beberapa sukarelawan termasuk rakan seperjuangannya untuk bersama-sama menghasilkan senaman Zafina.

“Syukur, pada Oktober 2015 terhasilnya Zafina dan hingga kini, rutin senaman ini semakin dikenali ramai dan dijadikan sebagai senaman rutin dalam setiap sesi latihan.

“Kejayaan ini amat menggembirakan saya terutama apabila melihat orang ramai terutama golongan wanita bersenam dalam gerakan tidak keterlaluan dan sopan iaitu melalui gerakan tarian zapin. Ia lembut dan sopan, tetapi tetap memberi kesan positif kepada pembinaan otot, meningkatkan keseimbangan dan memperbaiki tahap kecergasan serta kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

Yazid yang banyak membantu Kementerian Belia dan Sukan dalam menyediakan modul latihan senaman sejak 1993 berkata, kepuasan dapat dirasai apabila melihat masyarakat tempatan bersenam dan menjaga kesihatan namun dalam masa sama masih menjaga adab, kesopanan dan etika.

“Di samping bersenam, masyarakat boleh berseronok dengan menghayati lirik-lirik lagu yang penuh unsur nasihat.

“Antara lagu yang digunakan dalam senaman ini adalah lagu-lagu rakyat seperti Jong-Jong Inai, Ulik Mayang, Endang dan Embun Soksek,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun masih terdapat segelintir masyarakat yang belum mengenali rutin senaman Zafina, dia yakin ia akan semakin dikenali secara meluas dalam tempoh terdekat.

“Pelbagai program saya anjurkan demi menarik minat dan menambah pengetahuan kepada umum mengenai senaman ini terutama kepada wanita dan anak muda.

“Walaupun berdepan cabaran hebat terutama apabila ramai jurulatih kecergasan tempatan yang lebih percaya kepada rentak senaman luar namun saya tidak putus asa malah ia menambah semangat saya untuk lebih memperkenalkan Zafina,” katanya.

Menurut Yazid, selain memperkenalkan senaman ini kepada masyarakat tempatan, dia juga berusaha menjadikan Zafina sebagai senaman rutin di institusi pengajian tinggi (IPT) seterusnya di peringkat antarabangsa.

“Harapan saya besar dan saya lakukan ini semua bukan disebabkan nama atau penghargaan diri sendiri namun lebih kepada memartabatkan budaya sendiri melalui senaman di peringkat antarabangsa.

“Saya juga berhasrat untuk menjadikan senaman ini sebagai antara rutin senaman yang dipraktikkan di luar negara suatu hari nanti,” ujarnya.


YAZID berusaha keras membantu wanita bersenam dalam gerakan yang tidak keterlaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 12:42 PM