NOR Ainaa Nabilla.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kalau bercakap soal petua cantik, mungkin ramai yang ingin tahu amalan penjagaan diri diamalkan wanita muda ini. Selalu tampil dengan wajah segar berseri, Nor Ainaa Nabilla Nazirun, 23, tidak pernah lokek berkongsi tip bersolek di laman sosial Instagram.

Namun, mempelajari ilmu solekan saja mungkin tidak sempurna tanpa rutin dan petua penjagaan lain. Tambahan dalam keadaan cuaca yang kerap berubah, mungkin ada banyak tip berguna boleh dijadikan panduan ramai wanita seusianya.

Hati mengajak Ainaa berkongsi petua kecantikan diamalkan selepas membelek tutorial mekap terbarunya sempena Deepavali baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini, dia mula memberi perhatian kepada penjagaan diri dan wajah sejak berada di sekolah menengah berikutan aktif dalam sukan merentas desa.

“Kalau sekarang, saya lebih menjaga penampilan dan wajah kerana tanggungjawab sebagai jurumekap serta personaliti media sosial. Saya kerap minum air mineral untuk melancarkan sistem pencernaan dan merawat kulit. Sesekali, saya juga minum teh hijau untuk membuang toksin dalam badan,” katanya.

Jelas Ainaa, sama seperti kebanyakan wanita lain, dia juga tidak pernah lupa untuk memastikan wajahnya dibersihkan selepas penggunaan mekap setiap hari.

“Saya sukakan produk yang mengandungi bahan organik kerana memiliki kulit sensitif. Jika untuk kegunaan harian, saya banyak menggunakan produk sedia ada di pasaran. Dalam masa sama, saya juga amalkan diet seimbang dan petua ringkas untuk kesihatan kulit.

“Contohnya, saya selalu gunakan ais untuk disapu pada wajah. Sensasi sejuknya membantu mengecilkan pori wajah, sekali gus mengelakkan cela pada kulit,” katanya.

Bercerita mengenai setiap pagi, Ainaa berkata, dia wajib mengambil sarapan untuk tenaga sepanjang hari.


NOR Ainaa Nabilla.

“Jika jadual pagi lapang, saya akan ke gimnasium. Tetapi, kalau tidak berkesempatan, saya akan curi sedikit masa untuk melakukan senaman ringkas supaya tubuh tidak mudah lesu dan wajah tampak segar berseri.

“Usai membersihkan diri, barulah saya akan sapu ais ke wajah. Ini umpama rutin biasa untuk mendapatkan solekan yang tahan lama. Kemudian, barulah saya sapu pelembap, bedak asas dan sapuan mekap lain.

“Ketika ini, penting untuk kita pastikan bahawa span dan berus mekap dalam keadaan bersih,” katanya.

Selain asas penjagaan wajah, Ainaa berkata, dia turut mempunyai beberapa petua khusus yang diamalkan pada waktu tertentu.

“Buah tomato umpamanya, saya akan lenyek untuk dijadikan pupur bagi membantu mengecutkan jerawat dan merawat kulit kusam. Perahan lemon pula mampu memudarkan parut jerawat dan mencerahkan kulit.

“Sesekali, saya juga menggunakan lendir aloe vera untuk disapu pada kulit wajah dan lengan. Ia mengurangkan kesan terbakar akibat pancaran matahari dan boleh melebatkan rambut jika disapu pada kulit kepala.

“Ada waktunya, saya juga menggunakan serbuk soda penaik dicampur sedikit ubat gigi untuk memutihkan gigi,” katanya tersenyum.

Tip

1. Banyakkan minum air putih

2. Makan buah-buahan dan sayuran

3. Amalkan pemakanan yang seimbang

4. Bersihkan muka selepas penggunaan mekap

5. Cuci muka sebelum tidur

6. Jangan picit jerawat untuk elak wajah berparut

7. Gunakan pelindung matahari ketika di luar rumah

8. Tidur secukupnya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 1:01 PM