PERHATIKAN tingkah laku anak ketika dia sedang bermain.
Siti Nadirah Hafidzin

Mungkin ada di antara ibu bapa sedar anak mereka cenderung untuk menyusun barang mainan dengan teratur. Tidak kiralah sama ada mainan itu disusun berderet panjang atau dalam beberapa barisan, yang pasti ia memuatkan anak anda tersenyum gembira.

Biasanya ia menjadi ‘wilayah peribadi’ yang tidak boleh diusik mahupun oleh ibu bapa sendiri. Jika barang mainan yang disusun itu diusik atau susunan diubah, ia boleh menyebabkan si kecil meradang dan menangis panjang. Kecenderungan anak ini kadang kala membuatkan sesetengah ibu bapa berasa sangsi, adakah situasi itu normal atau tidak?

Daripada perspektif psikologi kanak-kanak atau bayi, menyusun barang permainan dengan teratur adalah salah satu bentuk keseronokan yang dirasai kanak-kanak terbabit untuk meneroka sekeliling.

Mengupas isu ini dengan lebih lanjut Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar Hazhari Ismail berkata, situasi itu boleh terjadi disebabkan dua perkara iaitu keterlaluan dan kebiasaan.

Menurutnya, apabila kanak-kanak sedang bermain seorang diri, kebiasaannya mereka meletakkan ‘syarat’ kepada diri sendiri bagaimana permainan itu perlu dimainkan.

“Sebagai contoh, kanak-kanak akan menyusun kenderaan mini secara berbaris atau patung adiwira kecil mengikut kuasa yang kononnya daripada kuat hingga ke lemah.

“Jika anak anda gemar menyusun barang mainan dengan teratur, biarkan saja. Jangan bimbang kerana ini adalah perkara normal bagi kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, Hazhari berkata, konsep menyusun dan mengenal pasti ‘kelas’ barang mainan (contohnya berdasarkan saiz, kuasa, bentuk atau warna) sebenarnya berkait rapat dengan konsep awal matematik dan ia sangat membantu untuk kanak-kanak terbabit menguasai proses pengiraan.

“Ini adalah kemahiran asas di dalam ilmu awal matematik untuk kanak-kanak. Aktiviti menyusun mendedahkan si kecil kepada nombor, corak dan penyelesaian masalah yang membawa kepada kemahiran menganalisis. Kemahiran menganalisis ini diperlukan dan ia wujud sebagai asas kepada kemahiran berfikir aras tinggi dalam membuat keputusan.

“Begitu juga dengan mengenali, ia memberi pendedahan awal kepada warna, saiz, bentuk dan juga corak. Ia juga membantu dalam pembentukan sikap yang positif dalam kehidupan seharian kanak-kanak,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai contoh, semakin meningkat usia kanak-kanak, mereka akan lebih mudah untuk mengemas katil dan bilik tidur, menyusun permainan yang bersepah dan buku di dalam beg sekolah mengikut jadual harian.

“Tetapi ia tidaklah sampai ke tahap sempurna kerana ia masih lagi dikira sebagai kemahiran asas untuk manusia. Oleh itu, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan apabila kita sering melihat anak yang tampak obses bermain barang permainan dengan cara menyusunnya dalam pelbagai cara.

“Ia adalah normal bahkan ia bakal memberi pengaruh positif dalam proses pembesaran kanak-kanak terbabit. Dalam pada dia gemar menyusun barang permainannya, ibu bapa digalakkan untuk mengajar si anak mengemas semula barang permainan selepas bermain bagi membentuk keperibadian yang lebih baik,” katanya.

Katanya, jangan sesekali menghalang anak yang suka menyusun barang permainannya kerana ia sedikit sebanyak mengganggu proses pemikirannya yang sedang berkembang.

Antara sifat semula jadi kanak-kanak yang lain:

1. Perasaan ingin tahu yang tinggi.

Itulah sebabnya kanak-kanak tidak boleh duduk diam dan meneroka apa yang ada di sekitar mereka. Mereka belajar melalui pengalaman pertama. Ibu bapa perlu membabitkan anak-anak dengan aktiviti pembelajaran tidak langsung secara praktikal.

2. Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi.

Ia bergantung pada umur kanak-kanak dan perlu dipupuk serta digalakkan. Daya kreativiti yang tinggi dapat menggarap potensi kanak-kanak untuk menjadi seorang yang inovatif namun ada kalanya ibu bapa berpendapat anak suka berbohong. Anggapan ini kurang tepat kerana mereka bukan berbohong sebaliknya berimaginasi dan bercakap mengenai apa yang dibayangkan dalam fikiran.

3. Perkembangan bahasa yang cepat.

Berlaku dengan pantas dan mereka mudah menguasai sesuatu bahasa asing jika digunakan setiap hari. Bahasa membantu kanak-kanak menyampaikan keinginan dan perasaan. Tindak balas positif dan cara komunikasi yang betul dapat membantu kanak-kanak menguasai bahasa yang dipelajari.

4. Kecenderungan menyusun dan membongkar barang.

Apabila otot mula berkembang, kanak-kanak akan terdorong untuk mengumpul, menyusun barang-barang dan kemudian menyepahkan semula barang mainan berkenaan.

Usah marah sebaliknya sediakan kotak atau bakul khas untuk menyimpan semua barang mainan mereka. Ajar anak untuk mengemaskan semula barang mainannya setiap kali selepas bermain. Ia penting untuk memperkenalkan konsep disiplin, kekemasan dan kebersihan. Paling penting ia mengajar anak untuk menjadi insan bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 12:28 PM