MAKANAN bayi sejuk beku. FOTO E-mel
Yusliza Yakimir Abd Talib


MENYEDIAKAN makanan bayi tidak sama dengan masakan untuk orang dewasa. Anda perlu memikirkan mengenai pilihan makanan yang boleh diberikan kepada si manja.

Makanan untuk bayi biasanya perlu dimasak hingga menjadi lembut dan hancur, dikisar atau dilenyek terlebih dulu hingga menjadi puri.

Meskipun perlu meluangkan lebih banyak masa, berusahalah untuk menyediakan sendiri makanan untuk insan tersayang. Apa yang penting, bayi anda mendapat makanan segar dan berkhasiat.

Menyediakan sendiri makanan bayi bukan saja dapat memastikan ia bersih dan selamat untuk dijamah anak, ia juga menjimatkan perbelanjaan keluarga.

Buat ibu berkerjaya, penyediaan makanan bayi ada kalanya agak membebankan. Jadi, langkah pantas adalah dengan menyejuk beku makanan yang disediakan.

Bagaimanapun, sejauh manakah kita tahu makanan bayi yang disejuk beku itu selamat untuk si manja?

Pakar Pemakanan Hospital KPJ Ampang Puteri Nur Hayati Azmi berkata, bayi adalah individu yang berisiko tinggi terhadap keracunan makanan berbanding kanak-kanak atau orang dewasa yang sihat, jadi adalah penting untuk ibu bapa mengikuti panduan keselamatan makanan dengan betul.

Katanya, jenis makanan sesuai bagi bayi yang sedang melalui proses diet cerai susu (susu ibu) dan yang sesuai disejuk beku antaranya adalah sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Secara umumnya, makanan beku mengekalkan vitamin dan mineral serta tiada perubahan pada kandungan karbohidrat, protein atau lemak. “Dalam sesetengah kes, makanan beku mempunyai lebih banyak vitamin dan mineral berbanding makanan segar kerana makanan segar kehilangan vitamin serta mineral dari semasa ke semasa manakala proses sejuk beku memelihara nutrien.

“Bagaimanapun, ibu perlu memastikan pengendalian makanan sejuk beku bayi pada tahap terbaik, bersih dan selamat untuk mengelakkan makanan daripada tercemar dan mengundang bahaya kepada si manja,” katanya.

Menurutnya, makanan sejuk beku bayi selamat untuk kekal dalam peti sejuk antara tiga hingga enam bulan dan penggunaan makanan sejuk beku dalam masa satu bulan hingga tiga bulan adalah yang terbaik.

Katanya, ini kerana jumlah kristal air yang cenderung untuk terbina pada makanan puri bayi. Nutrien boleh ‘terapung’ atau mengewap apabila dicairkan kerana kristal air, menggunakan makanan sejuk beku secepat mungkin iaitu kurang tiga bulan penyimpanan.

Selain itu, katanya, menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran beku adalah pilihan kedua terbaik bagi pilihan makanan segar. Proses pembekuan (makanan beku pada suhu sangat rendah dan beku sangat cepat) sebenarnya mengekalkan dan membolehkan pengekalan nutrien yang optimum.

“Tempoh penyimpanan buah-buahan atau sayuran dalam peti sejuk (pendingin) adalah sehingga 48 jam manakala bagi daging, ayam, ikan dan telur hanya 24 jam.

“Untuk kualiti yang lebih optimum dan pengekalan nutrien, simpan makanan bayi beku di dalam peti sejuk selama tiga bulan,” katanya.

Dalam pemilihan bekas penyimpanan makanan sejuk beku untuk anak, katanya, adalah digalakkan menggunakan bekas makanan bertutup berbanding plastik.

Katanya, ia bukan saja boleh diguna pakai berulang kali, malah dapat menjimatkan wang serta dapat membantu dalam menyokong usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Namun, katanya, ibu bapa perlu memastikan jenis bekas plastik yang dibeli adalah jenis yang tahan panas (apabila proses pemanasan semula dilakukan) dan perlu dicuci dengan betul untuk mengelakkan sebarang pencemaran.

PANDUAN KESELAMATAN MAKANAN SEJUK BEKU BAYI YANG BETUL

•Paling utama: Buang lebihan makanan yang tidak dimakan oleh anak anda.

•Basuh tangan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan hidangan.

•Gunakan papan pemotong yang berasingan di antara ayam, daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

•Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum dikupas.

•Jika anda menggunakan ketuhar pemanas untuk memanaskan makanan sejuk beku, gaulkan rata untuk mengelakkan hanya satu kawasan yang panas.

•Jangan memanaskan makanan bayi anda lebih dari sekali.

•Jangan nyahbeku makanan sejuk beku pada suhu bilik. Digalakkan nyahbeku pada suhu pendingin (0 hingga 4∫ Celsius)

•Labelkan makanan sejuk beku agar tidak terlepas tarikh tamat

•Jika masak telur, pastikan hingga kuning dan putih telur dimasak sepenuhnya.

•Masak daging hingga tiada lagi warna merah jambu di tengahnya.

•Basuh dan kupas buah dan sayur seperti epal dan lobak merah.

•Jangan beri bayi sebarang makanan laut mentah.

•Simpan makanan mentah seperti daging, ayam, ikan dan produk tenusu di peti sejuk sebaik saja selepas pembelian.

•Untuk menyejukbeku makanan bayi secara selamat, letakkan label dan tarikh pada bekas. Anda boleh bekukan selama sebulan.

LANGKAH YANG BETUL UNTUK IBU BAPA MEMBUAT MAKANAN SEJUK BEKU UNTUK BAYI

Jika anda ingin membuat makanan bayi anda sendiri, ia tidak begitu sukar. Cara membuat makanan bayi dalam enam langkah mudah:

•Basuh dan bilas tangan dan peralatan anda.

•Cuci buah-buahan dan sayur-sayuran.

•Bakar, stim, panggang atau ketuhar gelombang mikro sehingga lembut (pengukus dan ketuhar gelombang mikro paling memelihara nutrien)

•Kisar makanan dalam pemproses makanan dengan sedikit cecair (air, susu ibu, atau formula) atau hancurkan jika bayi anda boleh makan makanan yang lebih banyak tekstur.

•Simpan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku, dalam bekas kedap udara.

•Panaskan semula apabila tiba masanya untuk makan dan biarkan sejuk.

CARA MENGETAHUI SEKIRANYA MAKANAN BEKU SUDAH ROSAK ATAU TERCEMAR

•Makanan sudah melebihi tarikh tamat.

•Apabila dipanaskan semula, akan berlaku perubahan warna, bau dan rasa.

•Apabila terdapat pertumbuhan kulat yang dapat dilihat dengan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 6:46 AM