NARQES bersama kakitangan dan juruterapi kecantikan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Intan Mas Ayu Shahimi


MINAT dalam bidang kecantikan dan pengalaman bekerja dalam bidang farmaseutikal selama lebih 10 tahun meletakkan wanita ini ke tahap berbeza berbanding mereka yang seangkatan dengannya.

Tidak semberono mengejar kekayaan, Narqes Mohd Raimi, 36, lebih selesa menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk membina empayar perniagaan sendiri, sekali gus mencipta jurang dalam kalangan penggerak industri kecantikan tempatan.

Lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berkahwin dan kini mempunyai empat anak, wanita ini memulakan karier dalam hidup bermodalkan Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kata pemilik nama unik ini, selepas tamat pengajian, dia bekerja di Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebagai penilai produk farmaseutikal untuk kelulusan pendaftaran selama enam tahun.

Selepas tempoh itu, dia kemudian beralih arah dan bekerja di beberapa rangkaian farmasi selama empat tahun sebelum memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan kesihatan.

“Kecantikan adalah minat saya sejak kecil. Apabila menyambung pengajian, bekerja dan mendalami bidang farmasi, saya mula melihat dan mengenal bidang ini secara dekat.

“Di situlah saya memperoleh kesempatan berharga untuk mendalami dengan terperinci setiap bahan yang digunakan dalam formula produk farmaseutikal dan kosmetik serta kesannya kepada tubuh manusia.

“Bersandarkan minat dan ilmu yang ada, saya mengambil keputusan menceburi bidang kecantikan dan kesihatan. Saya pilih perniagaan spa kerana ia mempunyai kedua-dua unsur, cantik dan sihat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan awalnya membina jenama sendiri, Narqes berkata, dia memulakan perniagaannya tiga tahun lalu dengan pembukaan cawangan pertama.

“Alhamdulillah, berkat usaha, doa dan sokongan daripada suami, ibu ayah, keluarga, rakan dan pelanggan, kini saya sudah mempunyai beberapa cawangan di Malaysia serta di luar negara.

“Antaranya spa kecantikan yang saya usahakan adalah Skin Valet, Zelez Hair Removal Expert, Narqes Mobile Medispa, klinik kesihatan dan perawatan luka, serta beberapa cawangan Narqes Medispa di Bangladesh. Terbaru, saya juga memperkenalkan produk penjagaan kulit jenama sendiri,” katanya.

Jelas Narqes, sebagai ahli farmasi, dia banyak belajar mengenali bahan kimia yang digunakan dalam bidang pengeluaran produk. Bahkan pengalaman sebagai pegawai penilai produk farmaseutikal juga menjadikan dirinya lebih peka terhadap pemilihan bahan dibenarkan dan terlarang serta memudaratkan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan ilmu dan pengalaman ini banyak membantu ketika saya menjalankan proses konsultasi dengan pelanggan. Dibantu mesin analisis kulit, sekurang-kurangnya saya dapat memperincikan dengan jelas kesan penggunaan produk sekali gus menyedarkan mereka mengenai pentingnya memilih produk yang disahkan selamat oleh pihak berkuasa,” katanya.

USAHA SELAGI MAMPU

Tidak kira bermula di lubuk mana sekalipun, setiap individu pasti berdepan cabaran untuk terus menyinar dalam perniagaan. Kata Narqes, dia sendiri terpaksa melalui banyak dugaan mencabar untuk terus berdiri seperti hari ini.

“Sebagai seorang ibu, pastinya cabaran yang terpaksa saya tempuh cukup besar. Umur anak yang masih kecil menuntut perhatian dan pengorbanan tanpa mengira masa dan ketika.

“Bagaimanapun, menguruskan perniagaan ini bukanlah kerjaya saya yang pertama. Pengalaman banyak mengajar diri supaya memastikan kerjaya dan keluarga dapat bergerak seiring.

“Rezeki buat saya kerana menguruskan perniagaan milik sendiri. Jadi, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan mengurus masa dan jadual. Walaupun perlu ke pejabat hampir setiap hari, saya tetap akan bawa anak bersama supaya tidak terlepas saat melihat mereka membesar,” katanya.

Melihat kembali titik mulanya selepas melepaskan kerjaya, Narqes bersyukur. Katanya, dia gembira dengan dunia baru yang diteroka hari ini. Lebih dari itu, dia puas melihat pelanggannya gembira setiap kali selesai membuat rawatan.

“Saya masih baru dalam dunia perniagaan ini, masih banyak yang perlu dipelajari. Namun, saya bertuah kerana suami dan keluarga tidak pernah berhenti memberi kata-kata semangat.

“Sehingga kini, suami bertindak sebagai tulang belakang dalam perniagaan dan tidak pernah lokek membantu meringankan beban dan tanggungjawab harian. Ibu bapa juga sentiasa memberi cadangan untuk saya mengukuhkan lagi perniagaan yang ada.

“Buat masa ini, saya sedang giat mengusahakan spa bergerak. Sasarannya untuk wanita dan lelaki yang masih mencari peluang perniagaan. Kita juga mahu berikan lebih pilihan kepada orang ramai menikmati rawatan kecantikan yang selamat di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:00 AM