PENGASAS bersama jenama tudung Zaahara, Anas Pawan Chik (kiri) dan Erina Zahara Ellias di pejabat urusan tudung jenama itu. FOTO Supian Ahmad
PENGASAS bersama jenama tudung Zaahara, Anas Pawan Chik (kiri) dan Erina Zahara Ellias di pejabat urusan tudung jenama itu. FOTO Supian Ahmad
Yusliza Yakimir Abd Talib


RAMAI tidak menyedari kepentingan kitar semula terhadap alam sekitar. Sampai hari ini, ramai yang tahu mengenai kitar semula tetapi usaha untuk memahami kepentingannya masih terbatas. Malah ada yang menganggap ia perkara leceh kerana setiap barangan perlu diasingkan mengikut jenisnya.

Kita sudah biasa mendengar usaha mengitar semula semua jenis kertas, tin aluminium dan kaca. Namun mungkin tidak ramai sedar pakaian juga boleh dikitar semula.

Biasanya pakaian lama atau baju terpakai berakhir dalam tong sampah atau setidak-tidaknya dijadikan kain perca atau kain lap selain alas kaki. Bagi yang lebih kreatif, mereka memanfaatkan seluar denim terpakai untuk diberikan hayat baru dengan menjadikannya beraneka jenis beg.

Ya, jika kreatif memang macam-macam boleh dilakukan dengan pakaian lama yang banyak berjasa. Apa yang perlu ada hanyalah sedikit kerajinan supaya jangka hayat fabrik yang masih elok tidak dibuang begitu saja.

Butik telekung Zaahara antara jenama yang menjayakan inisiatif ini untuk menggalakkan dan mengajak lebih ramai memikirkan kepentingan budaya tidak membazir dan memberi kepada lebih memerlukan.

Pengasasnya, Anas Pawan Chik berkata, butik itu bekerjasama dengan syarikat kitar semula untuk inisiatif yang kini menjadi sebahagian daripada usaha murni pelbagai jenama antarabangsa yang menggunakan pendekatan konsep kitar semula dalam promosi mereka.

Katanya, kebiasaannya pakaian yang tidak lagi dimahukan sama ada dibakar, dibuang atau disimpan begitu saja tanpa kita sedari sebenarnya ada pihak memerlukan.

“Bagi menjayakan inisiatif itu, kami akan meletakkan 20 tong kitar semula di 20 masjid utama di sekitar Lembah Klang. Kempen kitar semula itu bukan saja membabitkan telekung, malah pakaian dan tudung juga digalakkan untuk didermakan sepanjang kempen.

“Dinamakan ‘telekung bins’, tong kitar semula ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Selaku penjual telekung, ada kalanya kami berasa seperti tidak kena kerana begitu fokus dengan menjual saja. Memanglah menjual itu lumrah seseorang yang berniaga tapi kami rasakan sesuatu yang kurang dalam mewujudkan perniagaan lebih berkat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, satu hari isteri yang juga pengasas bersama jenama itu, Erina Zahara memberi idea sesiapa yang memberi telekung, tudung atau apa saja pakaian ke dalam tong kitar semula mereka akan diberi kod untuk menebus 10 peratus dari kedai dalam talian jenama itu.

Erina berkata, segalanya bermula apabila ada dalam kalangan pelanggan sanggup mengumpul setiap koleksi terbaru butik itu mahupun yang membeli lima hingga enam telekung setahun, lantas hatinya terdetik apa yang terjadi pada telekung lama mereka.

Walaupun lumrah perniagaan, jualan sebegitulah menjadi bonus buat peniaga, hatinya dirundung rasa bersalah kerana merasakan satu pembaziran terhadap telekung lama yang tidak digunakan lagi.

Lagipun, katanya, dia menyedari ramai wanita tidak tahu cara melupuskan telekung lama. Malah dirinya sendiri pernah buntu kerana menganggap pakaian beribadah itu suci dan tidak tergamak membakar mahupun membuangnya ke tong sampah.

Menurutnya, inisiatif pertama seumpama itu juga adalah proses permulaan dan mereka berharap dapat menjalin kerjasama dengan lebih ramai pihak agar pengguna terutama Muslimah terdidik menjadi insan berhemah.

Selain itu, katanya, inisiatif itu dapat memupuk sikap membeli selepas memberi agar pembaziran dapat dielakkan.

“Telekung dan pakaian yang didermakan ke Telekung Bins ini nanti akan diasingkan dengan mana-mana yang masih elok akan disumbangkan dan dihantar ke negara dunia ketiga.

“Selain itu mana-mana kain yang masih boleh dibaiki kerosakannya akan dijual semula sebagai bundle dan kain sudah rosak atau tidak boleh diguna akan dikitar semula dan diproses menjadi fabrik atau kain baru.

“Di negara Barat, pakaian terpakai biasanya dipilih secara terperinci. Ia diberi kehidupan kedua kerana ada pakaian diserahkan kepada golongan memerlukan dan jika pakaian terpakai itu teruk keadaannya, pakaian itu diproses kembali dijadikan sesuatu yang bermanfaat.

“Usaha ini pun sewajarnya diterapkan di negara ini kerana kita tahu kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan rakyat. Jadi adalah lebih elok jika kita dapat melakukan sedikit amal dengan hanya menyerahkan pakaian yang tidak lagi dimahukan untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Anas berkata, pendekatan projek Telekung Bins ditumpukan di masjid sebagai serampang dua mata bagi menggalakkan semua orang tanpa mengira agama untuk mendekati masjid dan secara tidak langsung sebagai dakwah untuk bukan Islam.

Lagipun katanya, ramai tidak tahu bagaimana mahu memanfaatkan telekung mahupun pakaian lama yang biasanya berakhir di kotak penyimpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 8:03 AM