KULIT mulus wanita Korea daripada rutin penjagaan wajah yang konsisten.
Siti Zarinah Sahib

Bagi individu yang sering berkunjung ke Korea Selatan pasti tertarik dengan kulit wanitanya yang bersih dan bercahaya bak porselin seolah-olah seperti tidak memakai mekap. Sebagaimana mereka sangat berdisiplin dalam bidang pekerjaan begitu juga rutin penjagaan wajah yang bermula sejak awal remaja

Menjelaskan lebih lanjut menurut Pakar Dermatologi dan Astetik Angel Medical Clinic Korean Beauty Aesthetics Dr Noraida Nordin untuk mendapatkan kulit yang cantik dan sihat bermula daripada didikan ibu bapa.

Hal ini didedahkan Dr Noraida selepas siri kunjungan ke Korea bagi menjalinkan kerjasama dengan pengusaha produk kecantikan di sana. Katanya, sepanjang berada di Seoul banyak perkara yang boleh dipelajari terutama mengenai penjagaan kecantikan.

“Mereka sangat mementingkan penjagaan kulit wajah dan penampilan diri. Ini kerana sejak berusia 16 tahun ibu bapa sudah menerapkan mengenai cara penjagaan wajah dengan betul menerusi penggunaan produk kecantikan. Malah setiap anak sudah disediakan bajet untuk pembelian produk dan juga rawatan kecantikan,” ujarnya.

Berbeza dengan wanita Malaysia apabila kesedaran mengenai penjagaan wajah hanya bermula ketika mereka mulai ada pendapatan sendiri. Walaupun wanita Korea tidak mengamalkan apa-apa petua kecantikan tradisional menerusi penggunaan bahan alami, produk mereka mengandungi semua bahan semula jadi terbaik dan dikeluarkan selepas melalui proses kajian yang ketat.

Sebab itu produk asas seperti pencuci muka, penyegar dan pelembap perlu ada bagi setiap individu termasuk remaja lelaki. Kemudian ia ditambah kepada topeng wajah, pupur, krim mata, serum dan krim malam yang dilakukan secara kerap dan konsisten.

“Paling terkesan apabila dalam kunjungan saya ke sebuah kilang pembuatan di sana. Saya dapati mereka kerap membasuh muka hampir tiga hingga lima kali sehari diikuti pemakaian pelembap, krim siang dan pelindung matahari. Mereka juga memberus gigi setiap kali selepas makan.

“Keadaan ini berbeza di Malaysia apabila krim pelindung matahari hanya dipakai ketika berkunjung ke pantai sebaliknya orang Korea menggunakannya setiap hari untuk mengelak daripada kulit kusam, bintik-bintik jeragat, jerawat dan kesan terbakar.

“Bagi orang Korea krim pelindung matahari adalah perkara wajib dan sangat penting diamalkan. Bak kata mereka tidak memakai bedak asas tidak mengapa asalkan memakai krim pelindung matahari,” ujarnya.

Selain itu mereka sangat mementingkan penggunaan topeng wajah yang dipakai setiap hari. Tanpa mengira usia sama ada sebelum memakai alat solek atau selepas mencuci wajah, sekeping topeng wajah akan diletakkan pada muka. Amalan ini sememangnya sudah dipraktikkan sejak berabad lamanya dan diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain.

“Sebab itu topeng wajah dijual di merata tempat pada harga yang sangat murah. Mereka juga tidak kisah keluar dengan masih memakainya kerana menjadi amalan sejak turun temurun,” kata Dr Noraida.

PEMAKAIAN topeng wajah boleh dilakukan setiap hari.

Berpegang kepada kata-kata kulit perlu sihat, wanita Korea sangat mementingkan penjagaan dalaman dan juga luaran. Mereka percaya menerusi pemakanan yang sihat akan menyerlahkan keindahan wajah secara semula jadi.

“Oleh itu mereka tidak mengambil makanan berminyak, kurang gula dan jumlah garam yang minimum. Buktinya lihat saja makanan Korea, sangat jarang menjumpai makanan berminyak dan manis kebanyakan menggunakan kaedah bakar atau rebus saja. Sebab itu kulit mereka terjaga dari dalam dan ini juga rahsia mengapa mereka kurus dan cantik,” katanya.

Mereka juga mengamalkan sayur-sayuran pelbagai warna dalam hidangan harian dan buah-buahan untuk vitamin C. Vitamin C sangat bagus untuk kecantikan dan kesihatan kulit.

Suntikan dan pembedahan plastik

Oleh kerana Korea Selatan satu-satunya negara yang sangat terkehadapan dalam bidang suntikan dan pembedahan plastik jadi menjadi sesuatu yang biasa melihat seawal usia 18 tahun sudah melakukan suntikan vitamin C atau membuat pembedahan plastik untuk membetulkan mata, hidung atau rahang muka.

Jelas Dr Noraida, kepercayaan pengguna mengenai pembedahan plastik ini disebabkan pakar estetika melakukan secara teliti, menggunakan bahan yang diakui selamat dan kaedah yang tidak mengancam nyawa.

“Sebab itu hasil suntikan dan pembedahan sangat cantik sama seperti wajah asal mereka. Mereka seboleh-bolehnya ingin mengekalkan keaslian wajah agar kelihatan lebih menarik,” katanya yang menasihati pengguna supaya memilih doktor bertauliah dan diiktirafkan untuk melakukan rawatan membabitkan suntikan dan pembedahan. Ini kerana tidak semua pusat kecantikan boleh melakukan suntikan kerana mereka tidak berkelayakan atau terlatih.

Selain mendidik masyarakat terutama wanita mengenai kepentingan menjaga kecantikan seawal usia, Dr Noraida juga mempunyai misi membantu wanita berniaga terutama mereka yang terbabit dalam bidang estetika dan juga spa supaya lebih memahami mengenai kecantikan.

Panduan penjagaan wajah wanita Korea:

1. Cuci wajah

Biasanya wanita Korea akan melakukan cucian wajah dua kali. Cucian pertama untuk membuang solekan pada keseluruhan wajah. Cucian kedua pula dengan menggosok perlahan kulit bagi merangsang peredaran darah.

2. Penyegar

Penyegar bertindak mengimbangi pH kulit dan menyediakan kulit untuk menerima manfaat atau khasiat produk penjagaan kulit lain yang digunakan selepas penyegar.

3. Esen

Esen membantu merawat kulit dan meningkatkan keupayaannya menyerap dengan mendapat manfaat produk lain.

4. Serum

Wanita Korea menggunakan tiga jenis serum khusus untuk menangani masalah kulit seperti antipenuaan, merawat tompok hitam dan menghidrat.

5. Topeng perawatan kulit

Gunakan topeng perawatan kulit setiap hari sebaik-baiknya sebelum menggunakan penyegar.

6. Krim mata

Sapukan krim mata dua kali sehari, pagi dan malam. Ratakan secara tekan dengan perlahan menggunakan hujung jari. Jangan sekali-kali digosok kerana ia boleh memberi kesan sampingan kepada kulit di sekitar mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:52 PM