Yusliza Yakimir Abd Talib

Pernahkah anda mengalami situasi memalukan apabila teman di sebelah mengerutkan muka dan menegur bau kaki yang kurang menyenangkan sebaik kasut anda ditanggalkan?

Situasi berkenaan sering berlaku kerana ramai beranggapan menjaga kebersihan kaki dan kasut adalah perkara remeh, tetapi sebenarnya ia memerlukan tindakan segera untuk diatasi.

Jika memakai kasut bertutup mungkin dapat menyembunyikan keadaan kaki, namun jika memakai sandal atau kasut yang terbuka, rahsia kaki jelas terlihat.

Kaki yang cantik, bersih dengan kulit kaki tidak kering dan kuku dipotong kemas menandakan seseorang itu adalah seorang pembersih.

Melihat seseorang yang kulit kakinya kering atau lebih teruk bersisik, kuku panjang tidak dipotong kemas memberi tanggapan kepada orang yang melihat bahawa anda kurang menitikberatkan kebersihan diri.

Apatah lagi apabila kaki anda mengeluarkan bau menyengat, tentu dibayangi perasaan kurang berkeyakinan dan malu berdepan orang ramai.

Ada banyak faktor penyebab kaki berbau antaranya menggunakan kasut yang sama setiap hari tanpa membersihkan kaki sebelum dan sesudah memakai kasut.

Ramai yang mengabaikan kebersihan anggota itu dan mungkin juga disebabkan perubahan hormon menyebabkan pengeluaran peluh meningkat yang biasanya terjadi pada remaja.

Tekanan berlebihan turut menyebabkan masalah ini selain keadaan khusus iaitu hiperhidrosis iaitu perpeluhan berlebihan berbanding orang normal.

Jika anda menyedari bau kaki mengganggu hubungan dengan orang sekeliling, segeralah mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya supaya anda tidak lagi berasa rendah diri dan orang sekeliling pula tidak lagi terganggu dengan bau kaki anda yang menyengat.

Selain menggunakan produk penjagaan kaki sedia ada di pasaran, banyak cara boleh dilakukan untuk mengatasi masalah kaki berbau iaitu dengan perawatan semula jadi menggunakan pupur.

Selain menjimatkan dan hanya menggunakan bahan dari dapur, anda boleh membuat sendiri pupur dan memanjakan kaki setiap hujung minggu di rumah.

Garam antara bahan utama dalam perawatan pupur kaki kerana kemampuannya untuk menanggalkan sel kulit mati selain meneutralkan bau pada kaki disebabkan bakteria.

Ketahui cara mudah membuat pupur menghilangkan bau kaki menggunakan bahan semula jadi yang boleh dilakukan sendiri di rumah sekali atau dua kali seminggu.

Selepas menggosok pupur pada kaki, bersihkan dan lap kaki anda hingga kering. Sapukan losen atau minyak bayi untuk melembapkan kulit kaki anda dan menjadikannya lebih lembut.

Bahan pupur

• 4 sudu besar garam

• 1 sudu besar madu

• 1 sudu besar serbuk cengkih

• 10 titis minyak dengan kandungan vitamin E


BAHAN pupur.

Cara membuatnya


1. TUANGKAN dua sudu garam dalam bekas.

2. CAMPURKAN dengan serbuk cengkih.

3. GAUL sekata.

4. TAMBAHKAN sesudu madu dalam adunan.

5. TITISKAN minyak vitamin E.

6. KACAU sebati hingga membentuk pes pupur.

7. GOSOK rata pada kaki dan celah jari kaki serta bahagian tumit. Biarkan hingga pupur kering dan bilas bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 12:57 PM