PERSEFAHAMAN antara rakan kongsi menjadikan syarikat terus kukuh. FOTO NSTP
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dunia kecantikan seolah-olah sebati dengan dirinya sejak kecil, malah dengan duit hasil jualan produk berasaskan gamat dan barangan kecantikan dibuat sendiri arwah ibunya itulah dia dibesarkan.

Kali pertama bersua muka, pengasas syarikat Intan Azizan Industry Sdn Bhd ini tidak lokek berkongsi pengalaman dunia perniagaan penuh liku yang ditempuhinya.

Setiap butir bicaranya masih ‘pekat’ dengan loghat Kedah malah figura empunya nama Intan Shafinaz Azizan ini juga tidak malu mengakui perjalanan hidupnya yang bermula dari bawah menjadikan dirinya kebal menghadapi persaingan dalam industri.

Namakan saja apa yang tidak pernah dibuat wanita berusia 36 tahun ini, daripada menjual baju di kios jualan, berniaga di pasar malam dan menjual produk kecantikan tradisional buatan arwah ibunya, Puteh Mat hingga kini membina empayar perniagaan bersama suami tercinta, Mohd Zaki Yusof.

Mengimbas perjalanan hidupnya, ibu kepada empat cahaya mata ini menjelaskan jatuh bangun dalam dunia perniagaan banyak mengajarnya erti kesabaran dan sikap tidak berputus asa.

Berbekalkan prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, Intan terus bangkit hingga empat tahun lalu mengasaskan syarikat berkonsepkan pengeluaran barangan asli (OEM) bersama Mohd Zaki dalam usaha membantu melahirkan usahawan produk yang berjaya.

Menurut Intan, idea menjadi pengilang produk itu datang secara tidak sengaja namun ia diperkuatkan dengan latar belakang suaminya dalam bidang kimia hingga membawa kepada penubuhan syarikat.

INTAN (duduk) sentiasa berbincang dengan Nadia (kanan), Mohd Zaki (dua dari kiri) dan Khalid mengenai hala tuju syarikat. FOTO NSTP

“Kami juga bersyukur kerana dipertemukan dengan rakan kongsi, Nadia Khamis, 40, yang juga seorang peguam sanggup menyuntik modal memulakan perniagaan berpusat di Bukit Beruntung, Selangor pada Januari 2016.

“Seorang lagi rakan kongsi kami, Khalid Imran Chaudry bertanggungjawab menguruskan aliran kewangan syarikat yang lebih teratur dan sistematik.

“Selepas setahun, syarikat terus membina jenama kukuh dalam pasaran industri ini di Malaysia terutama bagi penghasilan produk kecantikan dan kesihatan yang menjadi trend masyarakat masa kini,” katanya.

Menurut Intan, antara perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya ialah pendaftaran produk dengan Biro Farmaseutikal Kebangsaan, menguruskan pengeluaran produk separa siap dan produk siap sepenuhnya, menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menguruskan pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan dan membantu dalam aspek pemasaran produk.

“Kami menawarkan produk daripada bahan semula jadi dan bebas bahan terlarang. Kami sama sekali tidak berkompromi dengan penghasilan produk mengandungi bahan berbahaya malah setiap produk adalah hasil penyelidikan dan pembangunan.

“Memang kami sedar stigma sesetengah pengguna terhadap produk kecantikan dihasilkan anak tempatan kerana terdapat segelintir peniaga yang mahu memaksimumkan keuntungan dengan menjual produk ‘timbang kilo’ atau menjenamakan semula produk dari negara jiran yang tidak diketahui sumbernya.

“Kami tidak menghasilkan sesuatu produk semberono, semuanya dilakukan mengikut prosedur ditetapkan agensi berkaitan. Kami pula sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan tidak kisah mempelajari ilmu terkini daripada pakar di luar negara antaranya Australia untuk memastikan produk dihasilkan sentiasa mengikut standard antarabangsa,” katanya.

MOHD Zaki memantau kakitangan di bahagian pengeluaran produk. FOTO NSTP

Menariknya, syarikat itu adalah yang terawal menerima tempahan pengeluaran produk minimum sebanyak 100 unit untuk usahawan menguji keberkesanan produk yang dihasilkan sebelum pengeluaran secara besar-besaran.

Ini katanya, bukan saja mengelak kerugian besar usahawan yang baru mula bertapak malah pasaran ujian untuk pengusaha memperkenalkan jenama mereka di pasaran.

Setakat ini, syarikat itu sudah melahirkan lebih 300 usahawan bagi produk penjagaan kulit, alat solek, serum, makanan dan kesihatan.

Katanya, usahawan yang dibantu kebanyakannya bukan terdiri daripada orang berduit dan hampir semuanya bermula dari bawah, hanya usaha yang jitu serta tidak putus asa sebagai pemicu kejayaan mereka.

“Kami sedar untuk memulakan perniagaan bukan sedikit modal yang diperlukan. Kalau kami fikirkan keuntungan semata-mata lebih baik tawarkan unit pembelian minimum lebih besar, sebaliknya kami beri peluang lebih ramai usahawan untuk memulakan jenama sendiri dengan modal kecil.

“Hasrat kami mahu terus membantu mereka yang mahu mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Insya-Allah, kami merancang menubuhkan akademi untuk melatih usahawan yang berdaya saing dan membawa jenama ke peringkat antarabangsa,” katanya.

MOHD Zaki (dua dari kiri) bersama ahli kimia syarikat melakukan R&D produk. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:21 PM