PUPUR beras asam jawa. FOTO NSTP
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua wanita berpeluang menjalani rawatan wajah atau tubuh di pusat kecantikan. Atas pelbagai faktor antaranya kekangan masa dan kewangan menyebabkan ada segelintir wanita terpaksa mengehadkan masanya untuk berkunjung ke spa atau ada juga yang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke lokasi itu.

Kalau ditanya siapa mahu cantik dan membiarkan badan dibelai manja bagi menghilangkan kelesuan, tiada wanita yang tidak mahu. Malah kalau boleh, semuanya mahu tubuh dibelai setiap minggu. Namun begitu, masih ramai yang teragak-agak untuk ke pusat rawatan kecantikan atau spa lantaran tidak biasa.

Hakikatnya, rawatan wajah atau badan tidak semestinya dilakukan di spa. Jika kena caranya, ia boleh dilakukan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan yang dihasilkan mengikut keperluan dan bajet masing-masing.

Pupur badan antara jenis rawatan penting yang digalakkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Selain untuk melembutkan kulit, ia mempunyai pelbagai kebaikan antaranya membantu menghilangkan kesan rekahan di perut dan mengurangkan bau badan.

Cara penyediaan pupur juga mudah. Ada banyak panduan tutorial yang boleh anda ikuti melalui YouTube atau kaedah membuat pupur badan sendiri di kebanyakan laman web berkaitan kecantikan.

Sebagai permulaan, apa kata anda gunakan bahan yang ada di dapur iaitu beras dan asam jawa. Hanya dengan dua bahan ini, anda boleh menghasilkan skrub beras asam jawa dalam tempoh singkat dan cara penyediaannya juga sangat mudah.

Selain ringkas, menyediakan pupur sendiri ini terbukti selamat disebabkan tiada sebarang bahan campuran terlarang digunakan dan ia boleh disediakan sesiapa sahaja dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

Harian Metro berkongsi langkah demi langkah menyediakan pupur beras asam jawa yang mempunyai pelbagai kebaikan dan keistimewaan tersendiri ini. Selamat mencuba!

1. BAHAN diperlukan adalah beras dan asam jawa bersama biji. FOTO NSTP

2. SANGAI beras tanpa minyak sehingga warna bertukar keperangan. FOTO NSTP

3. LETAKKAN beras yang sudah siap disangai†ke dalam lesung batu atau papan yang sesuai dan tumbuk. Diingatkan tidak perlu terlalu lumat, tekstur hendaklah sederhana iaitu sesuai dijadikan skrub selain tidak mendatangkan rasa sakit apabila digosok pada badan. Boleh juga dikisar jika mahu cepat. FOTO NSTP

4. BERAS yang sudah siap ditumbuk atau dikisar hendaklah dalam tekstur seperti ini. FOTO NSTP

5. MASUKKAN asam jawa ke dalam periuk dan campurkan sedikit air. Kacau supaya ia sebati. Diingatkan supaya tidak perlu terlalu cair dan air hanya perlu diletakkan sedikit. FOTO NSTP

6. CAMPURKAN asam jawa yang sudah dimasak dengan beras yang siap ditumbuk atau dikisar. FOTO NSTP

7. GAUL kedua-dua bahan tadi supaya sebati. Pupur beras dan asam jawa boleh digunakan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:31 PM