PENGARAH Urusan Anggun Dinamik Holdings Sdn Bhd, Mimie Azura Mohamad di MITEC. FOTO Aziah Azmee
Siti Zarinah Sahib


MENJALANKAN perniagaan berasaskan makanan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi sekiranya konsep diketengahkan menjanjikan kelainan kepada pelanggan. Ini terbukti apabila Mimie Azura Mohamad menerusi kafe Anggun Fusion yang dibuka di premis Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) menghidangkan pelbagai jenis makanan gabungan Barat dan Timur namun disesuaikan mengikut cita rasa tempatan.

Dia yang menceburi perniagaan makanan pada 2012 dengan membuka restoran pertama Anggun Fusion di Plaza Damas, Damansara mengakui ketika mula beroperasi kebanyakan pelanggan belum menerima konsep diperkenalkan apabila menghidangkan menu gabungan Barat dan tempatan.

“Apabila memperkenalkan sesuatu yang baru iaitu inovasi dalam makanan, saya menerima pelbagai pendapat dan penolakan terutama daripada orang Melayu sendiri. Jadi perkara pertama yang saya lakukan adalah mendidik mereka mengenai makanan fusion terlebih dulu sebelum ia diperluaskan,” katanya.

Katanya, makanan tempatan sememangnya sedap namun bagi membolehkan ia diterima semua kaum juga pelancong asing, Mimie mengambil inisiatif melakukan pengubahsuaian sama ada dari segi bentuk dan bahan digunakan.

Namun selepas dua tahun, wanita kelahiran Kelantan ini terpaksa menutup operasi restorannya disebabkan persaingan dan sukar menembusi pasaran. Namun dia tidak mahu duduk diam dan pada masa sama berjaya menghasilkan pes segera selepas setahun menjalankan kajian.

Menurut Mimie, idea menghasilkan pes makanan segera tercetus selepas berkunjung ke banyak negara apabila dia mendapati ramai individu semakin menyukai makanan fusion

“Saya terfikir alangkah baiknya sekiranya makanan ini dapat dibotolkan bagi membantu wanita terutama golongan berkerjaya agar lebih rancak dan pantas di dapur. Lalu saya tampilkan makanan Barat dan Timur yang dibotolkan,” cerita Pengarah Urusan Anggun Dinamik Holdings Sdn Bhd ini.

Menggunakan jenama Anggun Fusion maka terhasillah rendang mentega kacang, asam pedas dan makanan laut yang dijual di dalam pakej kecil 200 gram. Ada juga yang dibotolkan termasuk enam jenis perisa iaitu sos ketam cili, sos pedas dan masam, sos rendang, sos kari hijau vegetarian, sos sate dan sos sambal cicah.

BUKA KAFE DI MITEC

PERJALANAN perniagaan wanita manis ini semakin dipermudahkan apabila permohonannya membuka kafe kecil di MITEC diterima pihak pengurusan walaupun terpaksa bersaing dengan usahawan lain.

“Oleh kerana hanya memuatkan ruang kecil, saya memperkenalkan konsep membawa pulang makanan walaupun turut menyediakan beberapa meja untuk pelanggan yang ingin menikmati hidangan di situ,” katanya.

Mimie menjelaskan konsep sebegini sangat popular dalam kalangan pelancong Eropah yang sibuk bekerja. Jadi mereka memulakan hari dengan bersarapan sambil menghirup secawan kopi panas. Kafe itu menyediakan makanan cepat dan ringkas kepada pengunjung pameran, tetamu dan peserta MITEC.

Antara hidangan pengenalan yang istimewa ialah rendang mentega kacang, burger daging dan ayam, asam pedas spageti kambing dan makanan laut campuran.

Selain itu keistimewaan kafe ini ialah ia menghidangkan pelbagai jenis kopi yang diimport dari Eropah antaranya americano, latte, caramel latte, mocha, macchiato selain teh hitam, teh hijau dan teh camomile.

“Saya percaya makanan fusion ada pengikutnya dan mampu menarik perhatian ramai. Kini saya menerima 60 peratus pelanggan warga asing manakala 40 peratus penduduk tempatan,” katanya yang akan membuka kafe kedua di lokasi yang sama tidak lama lagi.

Selain itu kafe ini turut mengambil pesanan pelanggan dari pejabat dan kawasan kediaman sekitar untuk pelbagai acara termasuk mesyuarat.

Mimie menekankan kafe itu adalah jenama gaya hidup yang memberi tumpuan kepada masyarakat bandar. Pada masa sama dia sedang merangka untuk memasarkan makanan segeranya ke luar negara.

“Kami menandatangani perjanjian dengan pengedar di utara dan selatan Perancis serta dalam rundingan untuk memasarkannya di Qatar. Sebab itu semua pes makanan disediakan dalam botol kerana lebih sesuai untuk pasaran Eropah dan Arab,” kata Mimie.

Kejayaan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa adalah disebabkan penyertaan dalam pameran makanan antarabangsa di Dubai, Hong Kong, Paris dan Amsterdam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

SEJAK KECIL MINAT MEMASAK

MIMIE yang boleh memasak sejak berusia tujuh tahun mengakui dia banyak didorong oleh ibu yang turut memiliki restoran sendiri.

“Saya boleh memasak sejak di sekolah rendah. Apabila belajar di sekolah menengah saya memasak nasi lemak untuk dijual kepada rakan sekelas. Saya juga tidak melepaskan peluang menjual di bazar setiap kali Ramadan. Daripada situ saya belajar pelbagai perkara terutama mengenai kewangan dan cara melayan pelanggan,” katanya.

Oleh kerana sejak kecil terdidik mengenai perniagaan, Mimie menanam azam untuk menjadi usahawan makanan suatu hari nanti walaupun dia pernah bekerja makan gaji namun ia sekadar mengutip pengalaman.

“Memang saya jenis yang kuat semangat. Apa juga yang saya lakukan akan dibuat sehingga nampak hasilnya. Inilah yang saya terapkan dalam perniagaan. Selagi tidak menjadi saya tidak akan berhenti berusaha,” katanya gigih.

Tambahnya lagi, dia juga bukanlah seorang usahawan yang ingin membina banyak rangkaian kafe sebaliknya ingin membawakan konsep gaya hidup dalam makanan fusion agar dapat diterima di seluruh dunia.

“Terhasilnya makanan segera yang dibotolkan ini sebagai langkah memasarkan makanan Malaysia ke luar negara. Saya percaya apa juga dilakukan perlu ikhlas. Begitu juga dalam bidang makanan. Ia bukan hanya dilihat menerusi warna, bentuk dan hiasan. Paling penting adalah rasanya dan untuk mendapatkan keenakan yang disukai semua adalah berdasarkan cara memasak serta keikhlasan mereka yang menyediakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 7:15 AM