BERSAMA pasukan yang banyak membantu.
Intan Mas Ayu Shahimi


Seorang pakar metrologi (kajian saintifik pengukuran) dan seorang lagi berjawatan penolong pengurus. Kebetulan yang berlaku dalam hidup kedua-duanya menemukan mereka. Ketika masing-masing terpaksa melepaskan komitmen di tempat kerja untuk menguruskan anak dan keluarga, dunia perniagaan dalam talian menjadi titik pertemuan seterusnya.

Tidak kira Siti Nastasha Nordin, 34, atau Norlaila Yusof, 32, mereka mempunyai kisah unik sebelum bergelar usahawan bantal. Menariknya, wanita berstatus ibu ini bukan saja mempunyai asas akademik yang kukuh, malah pernah memegang jawatan penting di syarikat terdahulu.

Namun cinta kepada dunia perniagaan dan rasa tanggungjawab untuk membantu lebih ramai wanita mengubah kehidupan sukar, Siti Nastasha dan Norlaila nekad menyusun langkah luar biasa, membina legasi perniagaan yang mampu menjamin masa depan.

Kata Siti Nastasha, ujian yang berlaku dalam hidupnya membawa hikmah terindah apabila dipertemukan dengan Norlaila dan mereka sama-sama bersetuju menjalin kolaborasi, memajukan syarikat Flenaz Synergy bersama.

“Sebenarnya, Norlaila adalah kenalan rapat ketika saya mengusahakan perniagaan peruncitan. Dia adalah ahli rangkaian di bawah saya yang mempunyai potensi dan bakat kerana mampu menaikkan legasi beliau sendiri dengan cepat. Hubungan kami juga sangat baik.

“Kami selalu berkongsi ilmu perniagaan, saling menyokong dan memotivasikan antara satu sama lain. Mana tahu, rupa-rupanya suami kami juga adalah rakan sekolah. Titik persamaan ini secara tidak langsung membuatkan kami lebih rapat dan mudah bekerjasama,” katanya.

Siapa sangka, akhirnya ujian besar hadir juga. Kata Siti Nastasha, dia mulanya tekad membawa diri dan mulakan perniagaan baru. Namun, kerana beberapa rakan ahli yang tidak mahu berpecah dan tetap ingin menjalankan perniagaan bersama, dia akur.

“Rasa tanggungjawab menebal dalam diri. Kami tekad bersatu dan membina syarikat bersama. Niat asal hanya mahu membina satu pasukan pemasaran dan mencurahkan ilmu perniagaan. Bagaimanapun, perancangan Allah SWT lebih indah. Kami dapat peluang mengeluarkan produk sendiri dan kembali mengembangkan kumpulan sedia ada.

“Biarpun cabarannya besar sebagai pengasas syarikat, kami bangga dapat bersama-sama menaikkan potensi diri dalam bidang perniagaan. Kami bersyukur dikurniakan orang yang baik dan tidak jemu untuk berusaha menaikkan syarikat.

“Apa yang penting, lebih ramai turut serta dalam perniagaan ini, maka makin bertambahlah jumlah individu yang kami boleh bantu. Seronok dan puas itu sukar hendak digambarkan apabila melihat orang lain turut bahagia menjana pendapatan bersama,” katanya.


SITI Nastasha

Pengalaman berbeza, jalan yang sama

Bercerita lanjut, Norlaila menjelaskan dia tidak pernah terfikir mampu melangkah sejauh ini tanpa sokongan rakan kongsi, keluarga, teman dan sahabat handai.

“Bayangkan, permulaan saya dalam bidang perniagaan ini adalah secara tidak sengaja. Ketika hamil anak sulung, saya berhasrat menjual semula set botol susu yang dibeli di luar negara kerana mahu mendapatkan model terbaru. Saya bertanya kepada kawan di pejabat dan seorang daripada mereka mencadangkan mengiklankan set botol berkenaan di laman jualan dalam talian.

“Kurang dua jam selepas diiklankan, ada tiga orang menghubungi untuk membeli set berkenaan. Saya terfikir, tentu set botol susu berkenaan memang diminati ramai. Serentak itu juga saya membuat pesanan dalam talian dan membeli lagi set sama untuk dijual. Tanpa sedar, saya rancak berniaga sepanjang tempoh berpantang anak pertama.

“Saya mula sedar potensi diri dan mengurus masa dengan baik. Walaupun sudah kembali bekerja, saya masih boleh fokus berniaga tanpa mengganggu waktu pejabat,” katanya.

Berbeza dengan Siti Nastasha yang memang dilahirkan dalam keluarga bisnes, ibu bapa wanita ini gigih mengusahakan kedai makan. Kesibukan kerja membuatkan dirinya lebih dekat dengan arwah nenek.

“Pemerhatian singkat saya sepanjang tempoh membesar meninggalkan stigma negatif. Saya melihat perniagaan bukanlah cabang pendapatan yang bagus kerana terpaksa meninggalkan anak untuk menguruskan bisnes.

“Namun realiti hari ini mengubah pandangan saya 100 peratus. Pada era teknologi kini, semua orang boleh menjalankan perniagaan tanpa perlu meninggalkan anak berbulan-bulan. Malah ia boleh dibuat dari rumah saja. Melihat peluang di depan mata, saya akhirnya terjun sama ke bidang perniagaan demi mendapatkan masa fleksibel bersama anak dan keluarga,” katanya.

Mungkin bagi sesetengah individu, menjual bantal hanyalah perniagaan kecil-kecilan di kedai, tepi jalan atau lebuh raya. Namun kata Siti Nastasha, bantal bertepatan dengan konsep jualan kelengkapan rumah yang diperkenalkan syarikatnya.

“Bermula dengan bilik tidur dan seterusnya bahagian rumah yang lain, bantal menjadi produk sulung kami. Penjualan bantal dibuat mengikut sistem ejen. Biarpun mungkin ada yang mentertawakan kami, namun kami tetap percaya sistem ini sangat baik kerana mampu mendatangkan kebaikan dua hala.

“Kami rangka peta perjalanan bisnes selama 10 tahun untuk mengekalkan momentum dan jelas dengan sasaran yang mahu dicapai. Bersesuaian dengan jumlah modal yang kami himpun dari simpanan sendiri, jadi usaha yang dibuat haruslah berganda, berterusan dan bersungguh-sungguh.

“Kami mahu kembangkan potensi syarikat dengan mengeluarkan lebih banyak produk baru dan terkini. Ia sesuai dengan penggunaan di Malaysia dan boleh eksport ke negara jiran seperti Brunei, Singapura, Indonesia mahupun Thailand,” katanya.


NORLAILA

Ikat perut untuk berjaya

Bijaksana dalam hal kewangan, Norlaila menggalas peranan memantau setiap perjalanan keluar masuk ringgit ke dalam syarikat. Dia tidak mahu usaha bergolok gadai sia-sia begitu saja.

“Demi menjaga kos, kami buat sendiri laman web dan sistem pesanan ejen. Walaupun memakan masa dan tenaga, kami tetap berusaha demi memastikan impian menjadi realiti. Pada peringkat awal, kami menyimpan stok di rumah saya.

“Rumah pun di tingkat enam, jadi agak susah untuk menaikkan ratusan stok bantal ke atas. Suami ada untuk menolong, namun ketika itu beliau terikat dengan waktu pejabat. Saya pula jenis yang tidak boleh menunggu saja, jadi kami sama-sama usaha mengangkut stok.

“Kami tidak mahu terburu-buru menyewa kedai walaupun orang mungkin memandang serong. Kami tahu betapa susahnya untuk mengumpulkan modal sendiri, jadi biarlah ia disalurkan untuk tujuan pemasaran.

“Sebagai lulusan perakaunan, saya memang tegas dalam pengurusan kos dan tidak terlalu seronok berbelanja tanpa memikirkan kesan pada masa depan. Apabila perniagaan sudah semakin maju, barulah kami sewa premis untuk tujuan rasmi,” katanya.

Sekalipun nampak tenang, Norlaila sebenarnya berdepan banyak komitmen besar berbanding sahabatnya. Selain menguruskan perniagaan dan keluarga, dia juga pelajar peringkat doktor falsafah (PhD).

“Alhamdulillah, tugas sebagai seorang isteri dan ibu dipermudahkan kerana suami sangat memahami. Dia dan suami Siti Nastasha juga sudah terbabit sama dalam perniagaan kami. Anak juga memahami perniagaan ibu bapa mereka dan tidak kekok untuk menghabiskan masa bermain di pejabat.

“Kami harap kolaborasi ini terus bertahan dan maju. Soal percanggahan pendapat itu biasa. Sedangkan adik beradik juga berselisih sekali sekala. Namun, kami fokus untuk menilai kelebihan dan menerima kelemahan masing-masing tanpa prejudis. Saya yakin, setiap dari kami sangat jelas akan tanggungjawab dan sama-sama mahu meletakkan misi dan visi syarikat di depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:00 PM