PENGUNJUNG Muhammad Asyraf Khairul Anuar, 26 bersama teman, Nurshamimi Rusli, 25 bermain dengan kucing yang diberi nama 'Sandwich' di C-A-T Playground, Sunway Putra Mall. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Yusliza Yakimir Abd Talib

Manja dan jinak. Telatah tujuh kucing di sebuah taman permainan di pusat beli-belah begitu mencuit hati. Kelibat mereka bukan saja menarik perhatian kanak-kanak malah orang dewasa yang mengunjungi premis di ibu kota itu.

Tambah menarik, semua kucing itu pernah diselamatkan daripada hidup ‘merempat’ di jalanan, dirawat dan dibela dengan sempurna hingga fizikalnya berubah gebu, sihat dan manja.

Taman permainan kucing dinamakan CAT Playground di Sunway Putra Mall itu bukan saja menempatkan kucing sebagai ‘penyambut’ tetamu, malah alat permainan yang disediakan mempunyai fungsi terapeutik yang berguna buat kanak-kanak normal dan berkeperluan khas.

Jika dilihat daripada mata kasar, mungkin ramai menyangka ia taman permainan dalam bangunan biasa yang sering dikunjungi kanak-kanak, sebaliknya ia dilengkapi alat permainan dengan tujuan meningkatkan perkembangan kemahiran golongan itu.

Pengasasnya, Dr EJ Khew berkata, pembukaan taman permainan kucing atau Cat-Assisted-Therapy (CAT) itu rentetan daripada pengalamannya menggunakan haiwan dalam membantu manusia khususnya berkeperluan khas seperti autisme.

Katanya, modul terapi bantuan haiwan atau Animal Assisted Theraphy (AAT) iaitu satu kaedah terapi menggunakan haiwan untuk memulih dan merangsang pembangunan fizikal, mental, emosi serta kemahiran sosial kanak-kanak.

“Terapi haiwan bukan fenomena baru di Barat selepas saintis mendapati kanak-kanak berkeperluan khas yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berdepan tekanan perasaan berbanding mereka yang tiada binatang peliharaan.

“Ia adalah rawatan pemulihan bagi kanak-kanak ini dengan menggunakan haiwan sebagai medium untuk memulih dan merangsang perasaan atau emosi mereka melalui interaksi bersama haiwan.

“Pembabitan haiwan mempunyai kesan terapeutik pada minda kanak-kanak dan ia sangat penting dalam proses pembelajaran mereka,” katanya.

TERAPI kucing dapat membantu kanak-kanak autisme.

RANGSANG SENSORI DAN KEMAHIRAN MOTOR

Menurut Dr Khew, taman permainan itu dilengkapi pelbagai permainan sensori untuk merangsang kemahiran motor kanak-kanak yang bermain di situ, malah semua alat permainan mempunyai fungsi tertentu.

Buaian misalnya direka untuk si kecil mengimbangi tubuh ketika berada di atasnya, sekali gus melatih sistem vestibular kanak-kanak untuk merangsang kemahiran motor mereka.

Selain itu, ada buaian yang memerlukan dua kanak-kanak mengimbangi tubuh di atasnya yang secara tidak langsung memupuk semangat kerja berpasukan dan mengajar mereka kemahiran bersosial.

Taman itu juga disediakan tempat untuk memanjat dinding dan lebih menarik di sebelahnya juga diletakkan sudut yang membolehkan kucing memanjat bagi membawa lebih keseronokan ketika melakukan aktiviti itu.

Katanya, konsep bermain dengan fungsi seperti itu sebenarnya dapat membantu kanak-kanak untuk fokus dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pembelajaran dan akademik.

“Selain itu, kita sediakan sudut bilik sensori atau bilik gelap untuk menenang dan meredakan kanak-kanak autisme ketika mereka menunjukkan perangai atau memberontak. Bilik itu kita lengkapkan dengan kesan lampu yang menenangkan dan ‘menyejukkan’ mata.

“Kehadiran kucing juga sebenarnya dapat membantu kanak-kanak ini lebih tenang. Boleh dikatakan, taman permainan ini membantu ibu bapa bersama anak istimewa ini menghabiskan masa bersama dengan relaks dan menyeronokkan,” katanya.

GELAGAT pengunjung yang hadir.

Dr Khew berkata, penubuhan taman permainan itu juga selepas menyedari ramai ibu bapa dengan anak autisme yang masih tercari-cari tempat untuk anak mereka bersosial.

Beliau sebelum ini turut mengasaskan Animal for Young (AFY) iaitu antara pusat intervensi awal holistik untuk kanak-kanak keperluan khas menggunakan kaedah terapeutik bagi membantu dalam intervensi awal kanak-kanak autisme.

Katanya, banyak yang mampu ditawarkan oleh haiwan untuk kanak-kanak, bukan sekadar membelainya semata-mata atau dijadikan teman bermain.

“Selain membantu perkembangan psikososial mereka seperti membina hubungan, meningkatkan harga diri dan motivasi serta mengurangkan tekanan, haiwan juga boleh membantu dalam perkembangan kemahiran motor, komunikasi dan masalah deria kanak-kanak.

“Aktiviti itu mampu menjadi terapi kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran, autisme, sindrom Down dan lembam,” katanya yang juga pengasas kafe kucing pertama di negara ini sehingga pernah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records pada 2014.

PERMAINAN yang mempunyai fungsi tertentu.

DIDIK ANAK JADI PENYAYANG

Katanya, apabila anaknya, Khew Yap, 5, didiagnosis dengan autisme dia amat terkejut namun ia mendorongnya untuk mencari kaedah yang berkesan dalam meningkatkan perkembangan anaknya itu.

Pelbagai usaha yang dilakukan termasuk membawanya ke pusat terapi konvensional dan tradisional namun kaedah yang digunakan tidak membantu perkembangan anaknya itu.

Ketika itu, Dr Khew memutuskan untuk memberi terapi bantuan haiwan untuk anaknya dengan menubuhkan AFY.

“Pada usia tiga tahun, anak saya didiagnosis dengan autisme. Dia tidak membuat hubungan mata, menghadapi masalah untuk bercakap malah tidak dapat berjalan dengan lurus.

“Tiga bulan selepas menjalani terapi bantuan haiwan, terdapat perbezaan yang ketara dalam dirinya hingga sesiapa yang melihatnya kini tidak dapat membezakan sama ada dia autisme atau tidak,” katanya.

Kaedah ini diketahui ketika beliau menuntut dalam program Kedoktoran Sains Zoologi (tingkah laku haiwan).

Menurut Dr Khew, taman permainan itu juga diharap dapat mendidik lebih ramai kanak-kanak dengan sifat penyayang dan bertanggungjawab, sekali gus mengekang gejala buli di sekolah yang semakin membimbangkan.

Katanya, kes buli bukan perkara kecil dan jika tidak dibendung ia akan melahirkan generasi yang tidak bermoral.

“Banyak kajian membuktikan kanak-kanak yang mempunyai haiwan peliharaan lebih berdikari, penyayang dan bertanggungjawab.

“Itu antara sebab saya membuka taman permainan ini. Bayaran kemasukan RM15, kanak-kanak dan ibu bapa dapat meluangkan masa bersama sambil membelai kucing yang ada di sini.

“Saya juga sedar ada ibu bapa yang tidak dapat membela haiwan peliharaan atas banyak faktor, jadi kita sediakan taman permainan kucing ini sebagai langkah awal mendidik anak dengan sifat penyayang dan bertanggungjawab,” katanya.

BILIK sensori untuk menenangkan kanak-kanak autisme.

Menurutnya, taman permainan itu turut menyediakan kemudahan buat ibu bapa dengan anak autisme yang mahu mengadakan majlis ulang tahun kelahiran dalam persekitaran dan kemudahan yang sesuai dan tepat buat mereka. Taman ini diberikan pencahayaan yang mesra kanak-kanak autisme, tidak bising dan selesa, jadi majlis dapat dijayakan dengan tenang. Malah bilik sensori yang ada dapat membantu mengawal keadaan kanak-kanak autisme pada waktu diperlukan.

Menjelaskan lanjut, Dr Khiew berkata, seramai tiga hingga empat ahli terapi disediakan untuk ibu bapa yang mahu mendapatkan khidmat terapi untuk anak autisme di situ.

Pada masa akan datang, beliau merancang menyediakan peluang pekerjaan untuk remaja autisme di taman permainan itu dengan tempoh bekerja lebih pendek. Ia bukan saja mendidik mereka berdikari, malah mewujudkan persekitaran tempat kerja yang tepat buat golongan itu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Maisya Mohd Yunus, 33, berkata, kewujudan taman permainan kucing itu amat dinanti memandangkan anaknya menggemari haiwan yang manja itu.

Katanya, kedudukan taman itu agak strategik yang memudahkannya untuk datang ke situ dengan hanya menaiki pengangkutan awam.

“Adik saya memang membela kucing dan anak sering bermain dengannya. Kewujudan taman ini bukan saja membolehkan anak saya bermain dengan kucing, tapi dia boleh mencuba pelbagai permainan menyeronokkan. Secara tidak langsung ia dapat mencambahkan sifat sayangkan haiwan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:00 AM