TANAMAN tersusun. FOTO NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi

Terapi mata, terapi minda. Kagum melihat tanaman dan hasil kebun di laman rumah wanita ini. Sudahlah tanamannya tumbuh menghijau, tersusun kemas, susah payahnya berkebun pula mendatangkan pendapatan sampingan yang tidak disangka-sangka.

Kata Hasliza Mat Hussin, sejak dulu hobinya memang berkebun. Namun kerana dulu dia dan keluarga tinggal di rumah sewa, jadi batasan untuk menanam terpaksa dijaga. Sehinggalah dia bersama suami dan anak membeli rumah tiga tahun lalu.

Ruang laman di tepi rumah menjadi tempat dia melepaskan geram pada tanaman. Tidak cukup dengan itu, tanah lapang di seberang jalan turut dimanfaat sebaik-baiknya dengan bercucuk tanam.

“Saya anak Kelantan, tetapi sudah 20 tahun menetap di Johor. Sebagai suri rumah, ada banyak masa terluang. Jadi, sambil menjaga anak dan mengurus keperluan rumah, saya berkebun

di laman.

“Mulanya memang sekadar suka-suka, tapi lama-kelamaan apabila tanaman semakin menjadi, hobi ini menjadi sumber pendapatan tambahan untuk saya. Setidak-tidaknya, dapatlah duit untuk membeli kudapan anak, baja, tanah dan pasu,” katanya tersenyum.


HASLIZA bersama tanaman kebun dapur miliknya. FOTO NSTP

Menurut Hasliza, dia biasanya leka menguruskan tanaman di kebun setiap pagi selepas menghantar anakk ke sekolah. Daripada menyemai, menyiram, membelai pokok hinggalah mengutip hasil, semua rutin itu menjadi terapi terbaik buat dirinya.

“Waktu lapang memang saya berkebun saja. Kalau sudah menjengah ke kebun, tentu ada yang hendak dibuat. Saya pula jenis yang tidak boleh tengok laman bersepah, ada saja yang tidak kena.

“Saya seronok melihat setiap tanaman hidup subur. Lebih-lebih lagi jika dapat menuai hasil yang kita tanam sendiri. Anak juga tumpang seronok. Kadang-kadang, bila hendak menggaul tanah, angkat pasu, saya panggil mereka untuk membantu. Itu pun mereka sudah cukup teruja,” katanya.


TAPAK semaian. FOTO NSTP

Jelasnya, selain laman tepi rumah, dia juga mengusahakan tanah terbiar di seberang jalan kediamannya. Kawasan berkenaan dipagar elok supaya nampak kemas dan terpelihara daripada najis haiwan yang berkeliaran.

“Seronoknya apabila jiran juga dapat merasa hasil kebun. Kalau memetik cili, ulam, sayur dan buah, dapatlah dibahagikan sikit seorang. Secara tidak langsung, dapatlah bersedekah sekali-sekala,” katanya.


KUBIS mekar di laman kebun. FOTO NSTP

Bercerita lanjut, kata wanita ini, pada awalnya, dia hanya menanam tumbuhan untuk kegunaan harian seperti pandan, halia, serai, kunyit dan kesum. Kemudian, dia menyertai kumpulan individu yang aktif berkebun bunga dan mula bertukar-tukar benih pokok.

“Laman saya tidaklah luas. Kalau sekarang, memang semua tanaman terpaksa dimasukkan ke pasu dan disusun untuk melapangkan ruang. Ada pokok bunga untuk terapi mata, buah dan sayur-sayur bagi kegunaan harian.


TERAPI mata dan minda. FOTO NSTP

“Apa yang penting, semuanya organik. Seboleh-bolehnya, saya mengelak menggunakan racun kimia. Jadi, bila tanaman tumbuh subur, kepuasannya akan berganda. Suami pula memang penyokong tegar. Kalau ada yang hendak membeli anak pokok, dialah yang bantu hantarkan. Begitu juga kalau hendak membeli pasu, baja, benih dan segala keperluan berkebun.

“Alhamdulillah, suami juga minat berkebun. Jadi, hobi begini mengeratkan hubungan kami sekeluarga. Cuma, suami suka tanaman pokok bonsai dan renek sebab itulah laman kami sesak dengan tanaman,” katanya.


RUANG depan dipenuhi tanaman. FOTO NSTP

Tip kebun menarik

1. Tanam dalam pasu sama saiz dan bentuk.

2. Susun rapi atau bertingkat, mengikut luas laman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:00 AM