NURUL Akmar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Intan Mas Ayu Shahimi

Terjun ke dunia perniagaan hari ini memerlukan persiapan rapi. Tidak boleh lagi bersandar kepada jualan dalam talian atau di gerai mahupun butik semata-mata. Semua saluran perlu dijana dengan bijaksana supaya membuahkan untung yang berbaloi.

Soal kekangan masa dan modal tidak boleh terus dijadikan alasan untuk mengalah dengan mudah. Apalagi dalam situasi meningkatnya jumlah pesaing dari semasa ke semasa.

Ketika bertemu wanita ini dua tahun lalu, terlihat kualiti dirinya yang mengagumkan. Nurul Akmar Zulhari, 35, memilih langkah berani dengan mengambil pelakon popular Fattah Amin sebagai duta produk wangian keluarannya, AJ De’Parfum.

Bayangkan, ketika itu, usia jenamanya baru merangkak untuk berdiri. Namun, wanita ini nekad mencuri peluang mendapatkan publisiti dalam kalangan peminat pelakon berkenaan. Hari ini, pelaburan yang dibuat kian menunjukkan hasil.

Kata Nurul Akmar, sebelum memulakan perniagaan wangian, dia mengusahakan perniagaan perancang perkahwinan selama kira-kira tiga tahun tahun di sekitar Selangor.

“Saya memang minat berniaga sejak kecil. Kebetulan, saya juga sukakan wangian dan mempunyai banyak koleksi kesayangan. Melihat kesungguhan saya untuk memulakan bisnes sendiri, suami akhirnya memberi sokongan.

“Saya memilih berniaga wangian dengan menjadi ejen kepada jenama orang lain dulu. Selepas yakin dan mahir dengan selok-belok jualan, saya nekad menghasilkan wangian secara kecil-kecilan di rumah,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, dia begitu teruja menghasilkan stok awal sebanyak 500 botol, sebelum diperkenalkan kepada teman, kenalan dan keluarga terdekat.

“Kalau diimbas kembali, kerja mempromosi wangian ini hanya dibuat di rumah dan dalam kalangan rakan serta keluarga terdekat. Walaupun seronok mengadun wangian jenama sendiri, banyak cabaran perlu dilalui dari semasa ke semasa.

“Di peringkat awal, saya tiada pekerja untuk diharapkan dan terpaksa melakukan semuanya sendiri. Mahu atau tidak, saya perlu membeli bahan mentah, menyempurnakan kerja pembungkusan dan menguruskan jualan.

“Pada masa sama, saya juga perlu akur pada komitmen sebagai isteri dan ibu kepada anak yang masih kecil. Saya sedar menguruskan perniagaan dan keluarga serentak adalah sukar.

“Walaupun demikian, saya percaya seorang ahli perniagaan yang bijak perlu tahu membahagikan masa di antara tugas dan tanggungjawab, di rumah dan di meja kerja. Saya pasti jadual harian sentiasa tersusun. Melalui cara itu, perniagaan dan keluarga dapat diuruskan dengan baik,” katanya.


NURUL Akmar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Suami tulang belakang

Selepas tiga tahun mendaki dalam dunia perniagaan, menempuh onak duri dan jalan berliku, anak kelahiran Kelantan ini akhirnya berjaya menghela nafas lega. Baginya, restu suami membuka jalan mudah untuknya terus menyinar dalam bidang yang dipilih.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, jenama wangian terus dikenali ramai. Susah untuk saya gambarkan kepuasan yang dicapai. Memang tidak dapat hendak dibayangkan.

“Untuk kekalkan perniagaan ini sepanjang tiga tahun bukanlah mudah. Bagi saya, apabila jenama wangian semakin dikenali dan kualiti produk kami sentiasa menjadi bualan dalam kalangan pengguna, sudah tentulah ia menjadi pencapaian membanggakan.

“Saya berterima kasih kepada suami, Mohd Azrul Fauzi Baharon. Dia adalah tulang belakang yang sentiasa memberi dorongan dan galakan buat saya supaya terus positif dan tidak mudah putus asa.

“Dari saat mula hingga ke hari ini, suami tidak pernah jemu memberi galakan. Bahkan, dia jugalah yang banyak memberi sokongan moral dan bantuan dari segi kewangan,” katanya.

Jelas Nurul Akmar, dia sentiasa menghormati pesaing dalam industri kerana percaya kekuatan dan kualiti produk setiap pengeluar mampu memberi kelainan kepada pengguna.

“Saya percaya pengguna sekarang semakin bijak dan pandai memilih. Wangian kita juga mempunyai tarikan unik dan pastinya berbeza mengikut kehendak dan keinginan pengguna,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya sedia untuk dijadikan inspirasi dalam kalangan wanita di luar sana, Nurul Akmar hanya menjawab santai. Katanya, menjadi inspirasi orang di sekeliling tidak boleh diukur hanya dengan kekayaan atau berkembangnya saiz perniagaan.

“Saya lebih suka melihat bagaimana seseorang itu berusaha untuk bangkit, melangkah dan terus kekal berlari dalam dunia perniagaan yang diceburi. Pastinya pengalaman berdepan cabaran, kecekalan dan kegigihan sepanjang menempuh pelbagai cabaran serta rintangan itu yang harus dicontohi.

“Bagi saya, penting untuk setiap wanita sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa. Tanamkan sifat untuk sentiasa ingin mencuba melakukan perubahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:01 AM