BANTU reda dan tenangkan isteri yang mengalami muntah serta loya.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Peranan bakal bapa sepanjang tempoh kehamilan isteri memang tidak dapat dinafikan. Sepanjang tempoh itu, suami diharapkan dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada isteri.

Bagaimanapun, kebanyakan lelaki biasanya tidak tahu caranya hendak membantu isteri yang sedang mengalami perubahan emosi dan fizikal ketika melalui fasa penting menjadi seorang ibu.

Berikut beberapa panduan untuk suami membantu isteri sepanjang tempoh kehamilan supaya kedua-duanya dapat melalui saat indah itu bersama dengan gembira.

1. Didik diri sendiri

Anda perlu mengetahui perkara yang berlaku ketika kehamilan. Pada peringkat awal, hanya mengetahui dan memahami apa yang isteri anda lalui juga satu langkah yang besar. Apabila isteri hamil, ada banyak perkara perlu dijaga dan diperhatikan. Membaca perkara kecil seperti tabiat makanan dan pakaian serta perkara yang lebih besar seperti kelahiran dan alahan akan membantu anda menyokong isteri.


TEMANI isteri dalam pertemuan dengan doktor.

2. Bantu jika isteri mengalami alahan

Alahan boleh menjadi pengalaman yang menyakitkan dan wanita boleh menjadi terlampau penat. Sebagai suami, anda perlu menyokong isteri pada masa ini. Galakkannya, berdiri di sisinya dan bantu isteri supaya lebih selesa, terutama ketika dia sedang bergelut dengan muntah atau loya.

3. Jadi sensitif

Banyak perkara akan berubah dalam beberapa bulan akan datang termasuk perubahan mood, perjuangan emosi, kesakitan dan lain-lain. Pada masa ini, perubahan ini adalah semula jadi, jadi belajar bersabar apabila isteri anda mengalaminya. Peka terhadap permintaannya dan sentiasa bertindak balas dengan kebaikan.

4. Beri galakan

Isteri anda memerlukan sokongan dan dorongan pada peringkat ini. Kehamilan adalah masa apabila seorang wanita gembira dan teruja, tetapi pada masa sama, dia bergelut dengan ketidakpastian, ketakutan dan perubahan fizikal lain. Ketika perjalanan kehamilan, penting untuk berada di sana dan menggalakkannya. Sentiasa mengingatkannya bahawa anda bersamanya dan dia tidak perlu risau.

5. Rancang bersamanya

Sebaik saja anda mengetahui isteri mengandung, anda menunggu kelahiran anak. Tetapi sebagai pasangan yang bertanggungjawab, penting untuk merancang masa depan agar anda bersedia apabila bayi lahir. Rancang dengan isteri dan bincangkan hal kecil kerana perbuatan kecil ini akan mendorongnya serta membuatnya berasa bahawa anda berada bersamanya. Ini juga masa anda boleh memikirkan nama untuk si manja.

6. Ambil tanggungjawab

Salah satu perkara paling penting ialah mengambil tanggungjawab sebagai bapa dan biarkan isteri anda tahu kehamilan bukan hanya untuk dirinya. Bantu isteri apabila dia memerlukan anda dan pastikan bercakap mengenai kehamilan itu seperti untuk anda berdua.

7. Jadi seorang pendengar yang baik

Tempoh kehamilan adalah salah satu tempoh yang mana anda perlu bersabar dan mendengar semua yang isteri ingin anda tahu. Kehamilan boleh menjadi perjalanan emosional untuk isteri,

jadi pastikan berada di sana untuknya dan mendengar semua perkara yang dikatakan. Isteri akan sangat gembira apabila suami mendengar apa yang dikatakannya walaupun perkara itu tidak masuk akal untuk anda.

8. Bantu dalam tugas rumah tangga

Ini adalah masa anda mengambil tanggungjawab untuk kerja rumah. Setiap hari isteri anda ke hulu ke hilir melakukan semua urusan rumah tangga tanpa mengeluh, tetapi apabila dirinya hamil, andalah yang perlu menggalas tugas ini kerana kerja rumah mungkin meletihkan ibu hamil. Langkahnya kian perlahan apabila kandungan semakin sarat. Jadi, anda berdua perlu berkongsi tanggungjawab atau mengambil sebahagian besar tanggungjawab isi rumah.


BANTU isteri melakukan tugasan di rumah seperti memasak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:05 PM