Skip this ad x
MUHAMMAD Zaim Yazid ketika menunjukkan senaman bebanan badan diri di Taman Pengkalan Batu, Klang. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Siti Nadirah Hafidzin


KESEDARAN umum mengenai kepentingan bersenam semakin meningkat hari demi hari.

Bukan saja pada hujung minggu, ramai yang meluangkan masa setengah jam selepas waktu bekerja untuk bersenam atau sekurang-kurangnya berjoging di kawasan rumah.

Semua ini dilakukan demi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik terutama apabila usia semakin meningkat. Selain untuk sihat, ramai yang bersenam untuk mengekalkan kecantikan diri dan meningkatkan kecergasan terutama mengelakkan keletihan dan lesu badan.

Semangat ini perlu diteruskan secara konsisten dan bukan ‘hangat-hangat tahi ayam’ jika mahukan kesan diinginkan untuk jangka masa panjang.

Menyentuh mengenai jenis senaman, setiap individu perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan masalah kesihatan atau keadaan fizikal individu itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

Sebaik-baiknya, pilih senaman yang pelbagai supaya badan menerima kesan dihajati dan lebih penting perlu mendapatkan nasihat daripada pakar terlebih dulu sebelum melakukan senaman terutama individu yang mempunyai masalah kesihatan.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah Muhammad Zaim Yazid, bagi mengekalkan tahap kecergasan tubuh dan mengurangkan masalah lesu atau sakit-sakit badan yang biasa dialami wanita, sebaik-baiknya lakukan senaman ringan yang menggunakan bebanan badan sendiri selama 30 minit setiap hari.

“Jika tidak dilakukan setiap hari, cukuplah dua kali seminggu asalkan konsisten. Pilihan jenis senaman sangat penting untuk memastikan setiap rutin yang dipilih dapat dilakukan dengan tepat bagi membantu mengelakkan rasa lesu, mengantuk, letih, tegang urat dan sakit-sakit badan.

“Mulakan rutin senaman menggunakan bebanan badan sekurang-kurangnya selama 14 hari. Apabila badan sudah boleh menerima rutin senaman yang dilakukan, boleh tingkatkan latihan mengikut kemampuan.

“Senaman bebanan badan untuk menghilangkan penat dan lesu ini boleh dilakukan di rumah atau mana-mana taman rekreasi, sekali gus dapat menghirup udara segar dan mengurangkan tekanan,” katanya.

Menurutnya, senaman jenis itu tidak memerlukan sebarang alat bantuan senaman kerana ia banyak bergantung pada pergerakan badan sendiri.

“Perlu dapatkan tunjuk ajar daripada individu bertauliah dan apabila sudah mahir, boleh lakukan sendiri. Paling asas, senaman ini boleh dilakukan mengikut kemampuan badan sendiri dan jangan sesekali memaksa.

“Boleh cuba langkah yang sukar, tetapi sekiranya belum mahir jangan memaksa, senaman ini juga sesuai dilakukan bersama suami dan rakan,” ujarnya.

Katanya, sebaik-baiknya, mulakan senaman dengan ulangan tiga set. Setiap satu set lakukan sebanyak 10 ke 15 kali ulangan. Ulangan boleh ditambah secara perlahan-lahan jika otot atau badan sudah dapat menerimanya dengan baik.

Langkah-langkah


1. DALAM posisi duduk, angkat kedua-dua belah kaki dan bertahan.

2. BARINGKAN badan, angkat kepala dan pusing sedikit ke kiri dan kanan sambil kedua belah kaki diangkat.

3. MASIH dalam posisi baring, angkat tinggi kedua-dua belah kaki ke atas.

4. BARING dengan lurus, letakkan kedua-dua tangan di bawah badan dan cuba angkat sedikit kedua-dua belah kaki.

5. TURUNKAN badan dan bertahan dengan sebelah kaki.

6. PUSING badan ke kiri dan ke kanan dalam posisi duduk.

7. MASIH dalam posisi duduk, angkat tinggi sebelah kaki dan cuba menyentuhnya dengan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 2:45 PM