USAH panik anak hidung berdarah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


PENDARAHAN hidung secara tiba-tiba yang dialami anak anda pasti mengundang panik malah sebagai ibu tentu keadaan itu agak mencemaskan, tambahan pula jika darah keluar itu banyak dan tiada tanda berkurang.

Biasanya tanpa berlengah kebanyakan ibu akan menyuruh anak ke bilik air, cuba menghentikan darah dengan memicit batang hidung, membersihkannya dan kemudian meminta anak berbaring.

Tahukah anda tindakan seumpama itu kurang tepat namun ramai yang melakukannya bagi menghentikan pendarahan hidung anak mereka.

Menurut Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fadzlina Abd Aziz, apabila ibu atau bapa berdepan situasi itu, mereka dinasihatkan agar tidak cepat panik.

Sebaliknya ibu bapa perlu mengambil langkah seperti mengarahkan anak bertenang, duduk, bernafas melalui mulut seterusnya picit bahagian lembut pada hidung iaitu tulang rawan hidung dengan ibu jari dan jari telunjuk.

Langkah itu, katanya, perlu dilakukan segera bagi menghalang darah terus keluar dari hidung.

“Ibu bapa perlu tenang dan jangan kalut kerana ia menyebabkan lebih tekanan kepada anak sekali gus menyukarkan proses untuk memberhentikan pendarahan hidung.

“Kebiasaannya pendarahan hidung dalam kalangan kanak-kanak boleh dihentikan dengan segera namun, ibu bapa perlu mengetahui cara terbaik melakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendarahan hidung atau epistaksis, Dr Fadzlina berkata, ia perkara biasa yang berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, kanak-kanak mengalami hidung berdarah kadangkala memang nampak menakutkan namun usah bimbang kerana ia bukanlah masalah serius dan mudah dirawat.

“Hidung berdarah adalah keadaan biasa yang boleh berlaku terhadap kanak-kanak berumur antara tiga hingga 10 tahun.

“Tabiat suka mengorek hidung menjadi penyebab utama masalah pendarahan hidung pada kanak-kanak. Persoalannya, apakah yang menyebabkan anak suka mengorek hidung?

“Rembesan hidung kanak-kanak yang terdedah kepada udara kering akan cepat mengering menjadi keras dan membentuk kerak. Kerak ini tidak selesa dan kanak-kanak akan cuba untuk mengeluarkannya dengan mengorek hidung menggunakan jari mereka.

“Tabiat ini boleh menyebabkan kecederaan pada salur darah di dalam hidung sehingga luka dan pendarahan berlaku,” katanya

Menurut Dr Fadzlina, selain tabiat mengorek hidung, terdapat beberapa faktor lain yang mungkin menyebabkan hidung kanak-kanak berdarah.

Trauma boleh berlaku apabila kanak-kanak menghembus hidung terlalu kuat, memicit hidung, kecederaan pada bahagian dalam hidung selain kehadiran benda asing di dalam hidung.

Katanya, punca pendarahan hidung yang lain mungkin disebabkan perubahan altitud dan udara kering sama ada ketika musim salji dan panas.

Selain itu, jangkitan sinus, alahan atau demam selesema yang teruk menyebabkan hidung tersumbat atau terdapat apa-apa yang merengsakan hidung juga boleh mengakibatkan hidung berdarah terutamanya apabila anak menghembus hidung dengan terlalu kuat.


LAKUKAN kaedah betul apabila anak hadapi pendarahan hidung.

Hadapi dengan tenang

Apa yang perlu dilakukan jika anak anda mengalami pendarahan hidung:

• Arahkan anak bertenang, duduk tegak dengan kepala ditundukkan sedikit, bernafas melalui mulut dengan perlahan-lahan. Jangan mendongak atau berbaring kerana boleh menyebabkan darah masuk ke belakang tekak.

• Picit bahagian lembut hidung di bawah tulang hidung dengan ibu jari dan jari telunjuk. Picit sekurang-kurangnya lima hingga 10 minit atau sehingga pendarahan berhenti. Jika hidung masih berdarah terus picit lagi sehingga 10 minit.

• Anda juga boleh letakkan pek sejuk atau ketulan ais di atas tulang hidung.

• Arah meludah atau mengeluarkan darah dari mulut dengan perlahan (lembut). Lepaskan picitan selepas 10 minit dan lihat sama ada pendarahan sudah berhenti.

Dapatkan rawatan perubatan sekiranya

• Anak anda sangat kerap mengalami masalah hidung berdarah. Keadaan ini tidak harus dipandang ringan kerana ia juga mungkin memberi petanda kepada penyakit lain.

• Anak anda mungkin memasukkan bendasing ke dalam hidung.

• Hidung anak anda amat mudah lebam.

• Pendarahan yang banyak daripada luka yang kecil atau pendarahan daripada bahagian lain, misalnya gusi.

Anda juga harus segera mendapatkan rawatan kecemasan jika pendarahan hidung

• Terlalu serius atau diiringi dengan anak berasa pening dan lemah.

• Pendarahan disebabkan terjatuh atau kecederaan kepala.

• Pendarahan masih tidak berhenti selepas dua percubaan memicit hidung selama 10 minit setiap kali.

Langkah pencegahan pendarahan hidung

• Pastikan kuku anak anda sentiasa pendek untuk mengelakkan kecederaan semasa mengorek hidung.

• Kekalkan kelembapan bahagian dalam hidung anak anda dengan semburan atau gel ‘saline nasal’.

• Pasang alatan penyejuk di dalam bilik tidur jika udara di rumah anda kering.

• Pakai peralatan perlindungan semasa melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan hidung.

• Jangan tekap menggunakan ais di bahagian kepala boleh menyebabkan pening kepala.

• Elakkan menyumbat hidung dengan kapas kerana boleh mencederakan lagi bahagian hidung berdarah.

• Elakkan pengambilan makanan yang dipercayai memiliki unsur panas dan sejuk kepada badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:37 PM