FOTO. Akma Bakar
FOTO. Akma Bakar
Intan Mas Ayu Shahimi


CANTIK dan manis pada hari perkahwinan bukan saja terletak pada pilihan gaun ataupun busana pengantin. Bahkan sentuhan solekan yang sesuai juga banyak membantu menaikkan aura seri pengantin.

Selalunya, pengantin perempuan lebih selesa menggunakan khidmat jurusolek atau ‘mak andam’ untuk menatarias wajah mereka. Hal ini mungkin kerana sentuhan mak andam dianggap lebih halus dan sempurna. Paling penting, mak andam selalunya bijak memadankan busana sesuai untuk tema moden mahupun tradisional.

Sehubungan itu, jurusolek bebas, Shasaliza Mohamad Dol Donan

(@makeupbyshasya mohamad) bersama model, Farah Ferra Ahmad menampilkan pilihan solekan malar dan busana untuk pengantin yang mahukan konsep perkahwinan moden.

Penting diingatkan kepada bakal pengantin supaya teliti dalam memilih jenis solekan untuk meraikan hari bahagia.

Tip asas untuk tema moden, biarlah solekan itu bersifat malar, tidak mudah lapuk dan seiring dengan pilihan busana supaya nampak serasi.

Kata Shasaliza, jika mengenakan busana konsep tradisional Melayu, solekan juga perlu berubah mengikut ketetapannya. Pakaian songket apa saja warna dengan hiasan sanggul di kepala tidak sesuai untuk solekan moden melainkan pengantin memilih pakaian gaun potongan moden.

“Mengikut peredaran semasa, pengantin kini lebih memilih gaya solekan moden yang lebih kepada semula jadi dan tidak lapuk sepanjang zaman. Untuk hasil solekan berkualiti, beri penekanan serius terhadap langkah asas.

“Mulakan dengan sapuan pelembap dan primer secara sekata, diikuti semburan wajah untuk menyegarkan kulit. Asas solekan penting untuk memastikan mekap tahan lebih lama dan mengelak kesan rekahan pada wajah.

“Bentukkan kening terlebih dulu supaya mudah dibetulkan dan mekap asas tidak comot sekiranya berlaku kesilapan kecil. Selesai memperincikan bentuk kening, barulah solekan dimulakan sepenuhnya,” katanya.

Ikuti langkah demi langkah wajah pengantin yang disolek mengikut tema perkahwinan moden. Lihat hasil sentuhan Shasaliza yang disuai padankan dengan gaun pengantin daripada Wedding Galore .

TIP SOLEKAN

1. Gunakan penyamar noda untuk menyempurnakan kulit tidak sekata.

2. Oles bedak tabur secara nipis untuk mengunci asas solekan.

3. Gunakan bedak padat untuk menyempurnakan kemasan bahagian hidung.

4. Pemilihan jenis bulu mata penting untuk keseimbangan wajah pengantin. Padankan dengan solekan mata rona semula jadi.

5. Tidak semua wanita sesuai mengenakan maskara berlapis-lapis. Tentukan penggunaan dengan melihat saiz mata pemakai.

1. BENTUKKAN kening supaya kelihatan seimbang, kemas dan bersih.

2. GUNAKAN penyamar noda untuk menyembunyikan lingkaran gelap bawah mata, diikuti sapuan bedak asas menggunakan span wajah. Kunci asas solekan dengan bedak tabur.

3. SERLAHKAN bentuk wajah dengan sapuan pembayang rona coklat gelap di bahagian tulang pipi, dagu, dahi dan sisi hidung.

4. BENTUKKAN kelopak mata dengan mengadun pembayang rona coklat muda, coklat gelap dan sedikit warna emas. Pilih bulu mata palsu bersesuaian dan kemaskan dengan penggaris mata serta maskara.

5. PILIH pemerah pipi rona merah jambu dan pic. Adun seimbang untuk kesan lebih dramatik.

6. SAPU gincu rona pic bersama coklat muda. Tambah sedikit pengilat merah muda untuk kesan ombre.

7. GAYA solekan pengantin moden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:38 AM