SOFIA kekal langsing hasil amalan pengambilan jamu. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Zarinah Sahib

ZAMAN remaja wanita ini banyak dipengaruhi ibunya yang amat mementingkan penjagaan kesihatan dalaman. Ini kerana setiap hari Sofia Sarlinie Shukri melihat ibunya menghasilkan jamu sendiri di rumah dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan dan kepercayaan mengenai makanan tambahan tradisional.

Mula mengamalkan jamu pada usia 13 tahun, Sofia Sarlinie yang mesra disapa Sofia mengakui ketika itu dia belum mengetahui sepenuhnya apakah kebaikan makanan tambahan ini.

“Tetapi apabila ibu memberikan saya jamu dalam bentuk pil, tanpa banyak soal saya terus mengambilnya setiap hari. Mulanya memang tiada sebarang kesan tetapi lama-kelamaan apabila usia semakin meningkat, saya dapati tidak mudah letih. Kulit juga tidak mengalami sebarang masalah. Jadi saya terus mengamalkannya sehingga sekarang,” katanya yang kini berusia 34 tahun.

Membuat andaian badan wanita sama seperti kenderaan yang perlu diselenggara, ujar Sofia, jika kereta perlu dihantar ke bengkel untuk penukaran minyak hitam dan penjagaan enjin, tubuh juga perlu melalui pelbagai fasa bergantung kepada peralihan usia.

“Mendapatkan urutan adalah salah satu cara untuk mengembalikan kesegarannya badan. Untuk dalaman pula adalah dengan mengambil makanan tambahan atau makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bagi membekalkan nutrisi kepada tubuh. Antara makanan terbaik seperti kacip fatimah, delima, kurma dan acai beri yang mampu menstabilkan berat badan dan juga menambah tenaga,” katanya.

Pengalaman ketika hamil anak pertama pada 2009 turut menyebabkan pandangannya mengenai jamu berubah. Ketika mengandung berat badannya bertambah sehingga 100 kilogram (kg) disebabkan selera makan yang sukar dibendung. Melihat badan di cermin, ia sememangnya membuatkan emosi Sofia sedikit terganggu.

“Saya berasakan keyakinan semakin berkurangan kerana perlu mendapat berat badan asal. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh menjaga penampilan ketika dalam pantang. Saya amalkan makanan tradisional dan mengambil jamu bagi mempercepatkan penurunan berat badan. Ia sangat berkesan kerana dalam tempoh tiga bulan, saya mampu mendapat berat badan normal semula hasil daripada konsisten menjaga makan,” katanya gembira.

MENGAMALKAN diet sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kecergasan dalaman. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Bukan sahaja berat badan berkurang, Sofia juga mendapati badannya lebih cergas malah dia sedikitpun tidak berasa penat walaupun menyusukan anak sepenuhnya.

Menjadikan ulam-ulaman sebagai makanan harian setiap hari, Sofia percaya amalan pemakanan nenek moyang terdahulu sangat berkesan bagi mendapatkan badan yang sihat.

“Setiap hari saya akan pastikan mengambil sayuran dan ulam-ulaman seperti ulam raja, selom dan pucuk ubi yang diakui mempunyai banyak khasiat. Lagipun, tanaman ini bebas bahan kimia dan boleh dimakan tanpa had. Saya juga pastikan minum air kosong lapan gelas sehari atau satu liter bagi memastikan kulit sentiasa sihat dan lembap,” katanya.

Turut berkongsi rahsia mengenai penjagaan kecantikan, Sofia yang memiliki kulit mulus dan cantik tanpa sebarang cela mengakui sejak remaja dia mengamalkan rutin penjagaan wajah ringkas termasuk membasuh muka sebelum tidur. Sejak pandai bersolek, dia akan memastikan wajah dicuci bersih sebelum tidur.

“Salah satu petua mendapatkan kulit yang sihat adalah dengan memastikan wajah dibersihkan daripada solekan sebelum tidur. Ini memastikan kulit bebas daripada kotoran dan dapat bernafas ketika sedang tidur,” ujarnya yang mengurangkan makanan berkarbohidrat seperti nasi dan melebihkan vitamin dan mineral yang terdapat dalam makanan semula jadi.

Di sebalik kelembutan dan tutur katanya berbicara, Sofia kini menerajui syarikatnya sendiri Sufee Snow Sdn Bhd yang mengeluarkan produk makanan tambahan. Ujar wanita kelahiran Puchong ini, selepas menamatkan pengajian, dia terus mengambil keputusan bekerja sendiri bagi membantu ibu dan ayah berniaga.

“Saya mengambil keputusan bekerja selepas tamat persekolahan kerana ingin membantu ibu dan ayah. Kebetulan saya memang minat berniaga. Selepas mencuba pelbagai jenis pekerjaan tiga tahun lalu, saya memberanikan diri membuka syarikat sendiri,” katanya yang membuat pelbagai rujukan untuk menghasilkan produk kecantikan jus Primadona untuk kecantikan dalaman dan luaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 12:54 PM