Redzuan Muharam

"Saya reda dengan ketentuan ini. Selagi hidup, saya akan menjaga mereka dengan sebaik mungkin selain mencungkil kelebihan di sebalik kekurangan yang ada," kata Mohd Faisal Hafiz Abdul Rashid, 41, yang dikurniakan empat anak orang kurang upaya (OKU) iaitu Mohamad Syawal Fitri, 15, Mohamad Firdaus, 11, Ahmad Faris, 8, dan Ahmad Fakhri, 6.

Mohd Faisal berkata, keempat-empat anaknya itu hasil perkahwinan pertama dengan arwah isteri, Zuhaila Dollah yang meninggal dunia pada Mac 2017 akibat tumor dan barah otak.

Menurut Mohd Faisal, anak sulung dan kedua mempunyai masalah pembelajaran atau lembam manakala yang ketiga dan keempat masing-masing mengalami disleksia serta sindrom Prader-Willi.

Bercerita lanjut, Mohd Faisal berkata, cabaran membesarkan anak bermula selepas doktor mengesahkan arwah isterinya menghidap penyakit berkenaan.

“Pada Oktober 2016, saya mengalami serangan jantung dan pada masa sama, arwah isteri turut menderita akibat tumor dan barah otak yang menyebabkannya kerap diserang sawan.

“Jadi, saya tidak boleh membiarkannya menguruskan anak sendirian memandangkan dia juga bekerja sebagai jururawat masyarakat.


SYAZWAN bawa watak Firdaus, orang kurang siuman yang suka mengemas surau.

“Namun, arwah isteri hanya dapat bertahan selepas tiga tahun disahkan menghidap penyakit berkenaan dan saat paling menyedihkan apabila dia meninggal dunia tanpa anak serta saya yang ketika itu baru selesai menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP Bangsar, baru-baru ini.

Mohd Faisal berkata, selepas pemergian Zulaiha, dia menguruskan empat anaknya sendirian selama tujuh bulan sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 15 Oktober 2017.

Menurut Mohd Faisal, dia nekad berumah tangga selepas memikirkan masa depan anaknya yang memerlukan seorang ibu untuk menguruskan mereka.

“Sejak ketiadaan arwah isteri, saya perlu melakukan semua perkara sendiri bukan setakat kerja rumah malah urusan lain termasuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah.

“Menyedari kesukaran hidup sebagai bapa tunggal, saya nekad mencari pasangan dan alhamdulillah, isteri, Rahayu Azhar sudi menerima pinangan walaupun maklum dengan status saya sebagai bapa tunggal kepada empat anak istimewa.

“Malah, kami juga tidak mengambil masa yang lama sebaliknya hanya dua bulan untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri,” katanya.

Sementara itu, Rahayu, 28, berkata, dia bersyukur kerana keputusannya untuk berkahwin mendapat restu keluarga terutama kedua-dua ibu bapanya.

“Memang ada persepsi negatif, tidak kurang juga yang mempersoalkan pilihan saya untuk mendirikan rumah tangga dengan duda mempunyai empat anak istimewa.

“Namun, saya lebih selesa berfikiran positif dengan tidak terlalu memikirkannya kerana apa yang penting, ibu dan ayah merestui hubungan kami berdua.

“Lagipun, saya pernah bekerja sebagai guru tadika sebelum berkahwin jadi tiada masalah untuk membiasakan diri dengan kanak-kanak dan jujurnya, lebih mudah menguruskan mereka cuma perlu kesabaran yang tinggi.

“Kini, saya dan suami dalam usaha mengasah dan mengenal pasti kebolehan setiap anak. Buat permulaan, kami mengajak mereka berniaga pada hujung minggu supaya dapat bertemu orang ramai selain mencari platform bersesuaian misalnya buat Ahmad Faris yang dilihat cenderung dalam bidang peragaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:39 PM