HASNI Andy Cinta.
HASNI Andy Cinta.
Yusliza Yakimir Abd Talib


MEMEGANG jawatan besar dalam sektor perbankan menuntut wanita ini mengorbankan banyak masa dan tenaganya sepanjang berkecimpung dalam bidang itu selama 13 tahun.

Cabaran yang perlu ditempuhinya bukan sedikit, malah memegang portfolio ketua pengurusan kewangan di bank antarabangsa sebelum ini dan hampir 90 peratus masanya dihabiskan di pejabat.

Bukan sedikit tekanan yang perlu dihadapinya hinggalah kemuncaknya dia dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana tekanan darah tinggi. Insiden itu membuatkan dia sedar kerjaya profesional yang disandangnya selama ini bukan impiannya lagi.

Hidupnya mula berubah selepas bertemu jodoh dengan suami tercinta. Jika dulu hidupnya sentiasa memikirkan tugasan pejabat yang tidak berkesudahan, dia cukup lega apabila suami rela membuka perniagaan restoran untuknya.

Menurut Hasni Andy Cinta, 40, bertitik tolak daripada pembukaan restoran itu juga membuka matanya terhadap cabang perniagaan berasaskan teknologi maklumat yang jarang diceburi wanita.

SUAMI Hasni, Abdul Rehman sentiasa menjadi pendorong Hasni mencapai cita-cita.
SUAMI Hasni, Abdul Rehman sentiasa menjadi pendorong Hasni mencapai cita-cita.

Ini kerana, katanya, restoran miliknya dan suami adalah restoran mamak pertama menerima mata wang digital sebagai pembayaran.

“Apabila saya uruskan restoran itu pada 2016, saya mula didedahkan suami mengenai mata wang kripto. Mulanya saya amat skeptikal dan menjadi orang yang membantah pembabitan suami dalam industri itu kerana berdasarkan pemahaman saya ketika itu transaksi berkenaan hanyalah penipuan.

“Suami menjelaskan, mata wang digital seperti bitcoin bukan penipuan dan dia memulakan transaksi seumpama itu di restoran kami malah saya hairan ramai orang menggunakannya.

“Saya tidak berpuas hati dan mulakan kajian sendiri. Saya pergi kedai buku, beli banyak buku berkaitan ekosistem teknologi kewangan (fintech), membaca dan kaji lebih mendalam mengenai semua itu.

“Akhirnya, saya dapat pemahaman jelas dan bersama suami menerajui B4U Exc (M) Sdn Bhd (B4U), antara syarikat Bumiputera yang terbabit dalam perniagaan berasaskan aset digital,” katanya.

Menurutnya, memberi pendidikan kepada masyarakat adalah cabaran utama khususnya bagi mendedahkan kepentingan teknologi ini sebagai pelengkap kehidupan seharian kerana ia mempunyai banyak kaitan dengan penggunaan kewangan.

HASNI (dua dari kanan) dan suaminya (dua dari kiri) berbincang dengan kakitangan hala tuju syarikat.
HASNI (dua dari kanan) dan suaminya (dua dari kiri) berbincang dengan kakitangan hala tuju syarikat.

Selain itu, sebagai penggerak utama syarikat dalam industri baharu ini juga bukan mudah kerana dia perlu sentiasa meningkatkan ilmu diri sendiri berkenaan teknologi ini dan ekosistemnya.

Sebab itu, katanya, dia sentiasa membaca buku, artikel dan bahan bacaan lain bagi memastikan ilmu yang ada sesuai dan boleh diaplikasikan di dalam syarikat untuk sentiasa maju.

Untuk memperkenalkan produk berteknologi baru juga, katanya, bukan mudah apatah lagi apabila ia berkait rapat dengan pemasaran secara meluas.

Katanya, pembabitan wanita dalam bidang ini bergerak pantas daripada lelaki, meskipun dia pada mulanya tidak percaya kerana kurang pengetahuan mengenai teknologi itu akhirnya mula sedar ia akan mengubah model ekonomi dunia.

“Saya bukan jenis mudah percaya dengan apa yang orang cakap, bagaimanapun ketika baru-baru berjinak dalam industri itu saya tiada pilihan selain perlu memahami dengan jelas apatah lagi suami sudah melaburkan banyak duit menceburi industri itu.

“Melihat kefahaman rakyat tempatan terhadap bitcoin dan aset digital lain masih sangat cetek kerana mungkin mereka bimbang serta trauma terhadap isu penipuan bernilai jutaan ringgit berkaitan pelaburan dalam mata wang bitcoin sebelum ini.

“Sedangkan, begitu banyak peluang terbuka luas untuk sesiapa saja malah untuk wanita bergelar suri rumah, siswazah menganggur dan sesiapa saja yang mahu belajar mengenai industri yang meningkat naik,” katanya.

Katanya, syarikat itu yang berdaftar sebagai Exchanger Digital Currencies di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) turut membuka ruang untuk sesiapa saja mendapatkan ilmu dan pemahaman jelas berkaitan industri berkenaan.

Menurut Hasni, dompet digital mengambil bahagian pada hari ini dan akhirnya dapat menguasai ekosistem perbankan yang dihadapi oleh pelanggan di seluruh dunia.

B4U juga katanya tidak mahu ketinggalan dengan teknologi itu dan bertemakan selamat, memudahkan dan pertukaran mudah (Secured, Convenient and Easy Exchange), B4U Wallet menyediakan perkhidmatan pengurusan penyimpanan, jual dan beli mata wang kripto seperti Bitcoin, BitcoinCash, Ethereum, Dash dan Litecoin.

Pengguna juga katanya, boleh menyimpan aset kripto dengan mudah dan selamat di platform itu, di samping pertukaran aset kripto di dalam dompet digital itu mampu dilaksanakan dengan mudah dan pantas.

Selain itu katanya, syarikat itu turut menyediakan mesin Bitcoin ATM bertempat di Taman Melawati, Kuala Lumpur, sekali gus memudahkan pengguna menjual dan membeli aset digital di Malaysia.

MESIN ATM matawang digital memudahkan penjualan dan pembelian aset digital.
MESIN ATM matawang digital memudahkan penjualan dan pembelian aset digital.

“Pembayaran mudah alih dan dompet digital bukan saja mudah tetapi membantu meningkatkan pengalaman pembayaran serta menawarkan perkhidmatan penyimpanan aset digital.

“Ledakan pembayaran digital didorong oleh pertumbuhan e-dagang dan penerimaan kos rendah. Keterlihatan mudah alih iaitu QR atau tindak balas pantas ini menjadi pemangkin yang kuat bagi pembayaran berasaskan kod yang memudahkan pembayaran secara global.

“Baru-baru ini, Menteri Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan mata wang kripto diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Ini menambah keyakinan pengguna terhadap penggunaan mata wang kripto di Malaysia dan syarikat kami juga akan berdaftar sebagai Recognised Market Operator (RMO) di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Anak jati Pulau Pinang ini berkata, syarikat itu juga menekankan kepentingan untuk memberi semula kepada masyarakat dengan menjalankan beberapa projek komuniti seperti membina loji air dan menyediakan kemudahan solar di beberapa sekolah dan kampung di Pakistan.

Katanya, pihaknya juga akan terus memastikan program komuniti yang dijalankan di bawah Yayasan B4U dapat membantu lebih ramai insan yang kurang bernasib baik merentasi sempadan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:34 AM