NOOR Ameera Nordin. FOTO Hafiz Sohaimi
Intan Mas Ayu Shahimi

DIBESARKAN dalam keluarga susah, wanita ini tidak pernah sesekali mengalah. Pahit getir bapanya sebagai penjual ikan menjadi penguat semangat. Kelelahan ibu menjual nasi lemak pula dianggap pemacu untuk dirinya cekal menjalani ujian dan cabaran.

Kata Noor Ameera Nordin, 26, pengalaman hidup sebagai anak kampung banyak mengajar dia untuk faham bukan senang untuk senang. Banyak kesulitan yang perlu ditempuh untuk berada di tempat sekarang. Bagaimanapun, semuanya dianggap berbaloi.

“Saya selalu mengingatkan diri bahawa ayah dan ibu bukanlah orang senang. Jadi, saya nekad belajar untuk berdikari sejak kecil. Ketika sekolah dulu, saya menjual aiskrim dan jeli kelapa. Kedua-duanya saya buat sendiri. Duit hasil jualan digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah.

“Sehinggalah tibanya tahun peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), saya masih gigih mencari duit dengan bekerja sebagai tukang masak di kedai makan.

“Lazimnya, pagi saya ke sekolah, tamat kelas saya akan bekerja. Selepas habis kerja, barulah saya pulang mengulang kaji pelajaran dan membuat persiapan keesokannya pula,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kodiang, Kedah ini, kehidupannya berubah secara perlahan-lahan selepas dia tamat STPM dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Fokusnya pada masa itu adalah untuk aktif menjalankan perniagaan dalam talian.

“Kebetulan saya memang sudah terdedah dengan selok-belok perniagaan sejak kecil, jadi kerja menjual bukan lagi satu masalah. Saya pinjam semangat ayah dan ibu untuk berdikari di bandar asing.


KETIKA melantik Zahirah Macwilson sebagai duta produk tahun lalu.

“Bagi saya, yang paling utama adalah mengubah nasib keluarga dengan berniaga.

“Saya cari sudut terbaik untuk bermula dan nampak minat serta kebolehan sendiri sebagai modal utama. Kalau sudah namanya perempuan, pasti suka berhias dan melihat benda cantik di depan mata. Sebab itulah saya pilih untuk fokus kepada produk kecantikan,” katanya.

Analisis dan belajar

Adat mencuba buat kali pertama, Noor Ameera perlu peka kepada persekitaran. Setiap kali menerima stok barang baru, dia akan membaca label, memahami isi kandungan produk, menganalisis dan membuat catatan khusus supaya mudah berdepan pelanggan.

“Memasarkan produk milik orang memang mencabar. Selaku ejen, saya perlu banyak membaca, mengetahui kandungan produk, menilai kelebihan dan kelemahan serta memastikan diri sentiasa bersedia dengan pertanyaan pelanggan pada masa depan.

“Tanpa sedar, kesukaran ini sebenarnya memberi input lebih berharga kepada diri. Secara tidak langsung, saya mula tahu dan faham mengenai fungsi dan kelebihan setiap bahan dalam produk kecantikan.

“Semakin banyak saya kaji, makin mendalam minat terhadap penghasilan produk kosmetik. Sehinggalah timbulnya idea untuk mengeluarkan produk sendiri tetapi cabarannya ketika itu, tidak mudah.

“Ada ramai pengasas produk tampil dengan formula masing-masing. Jadi, kalau mahu terus kekal berdaya saing dalam perniagaan, saya perlu membawa kelainan dalam isi kandungan dan manfaat produk,” katanya.

Agak lama juga wanita ini mengambil masa untuk memerah idea. Banyak unsur diberi penelitian dan pertimbangan supaya langkah yang diatur tidak mudah tersandung di tengah jalan.

“Selepas suatu tempoh, saya terfikir untuk mengembangkan minat dan kecenderungan diri sekali lagi. Saya mendapat ilham untuk menggunakan intan di dalam produk. Itu pun kerana minat mendalam terhadap batu permata.

“Saya buat sedikit kajian dan mendapati belum ada lagi jenama menggunakan batu permata dalam produk mereka. Berbekalkan wang simpanan hasil perniagaan kecil-kecilan dulu, saya mulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk Meeracle pada 2013,” katanya.

Banyak cabaran dilalui berikutan risiko diambil besar dan luar biasa. Tambahan, itulah kali pertama batu permata digunakan dalam produk. Suka atau tidak, wanita ini perlu kental berdepan soal masa, tenaga dan peningkatan kos.

“Semua kami kaji dari awal. Kami teliti setiap satu jenis batu permata untuk melihat manfaat dan kebaikannya kepada kulit. Kemudian, kami terpaksa pula mencari jalan untuk berdepan keadaan pasaran semasa yang ketika itu banyak menghimpunkan krim penjagaan wajah untuk kegunaan siang dan malam.


IBU Rahimi, kelihatan sebak selepas menceritakan berita anaknya yang menjadi mangsa kejadian tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand. FOTO Mikal Ong

“Apabila semuanya kian lancar, saya mula sedar tanggungjawab besar untuk menguruskan kilang, R&D dan pengeluaran di Kedah. Dalam tempoh hampir tujuh tahun ini, saya berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur setiap minggu.

“Bahkan, untuk masa terdekat ini, saya merancang ke Korea Selatan untuk bekerjasama dengan kilang di sana bagi mengeluarkan lebih banyak produk pada masa akan datang,” katanya.

Walaupun sukar, ibu kepada seorang cahaya mata ini mengakui gembira kerana apa yang dilakukan hari ini bersandarkan kepada minat dan tanggungjawab untuk keluarga.

“Jujurnya susah, tetapi alhamdulillah saya mampu seimbangkan antara bisnes dan keluarga. Sehingga kini, tidak kira walaupun sesibuk mana sekalipun, saya tetap akan memasak untuk suami dan anak, setiap hari.

“Mereka adalah kekuatan. Suami banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar kerana beliau terlebih dulu menceburi bidang perniagaan. Bahkan dia jugalah yang menyokong saya untuk mengembangkan bisnes sendiri,” katanya.

Perbetul persepsi

Menyentuh kepuasan diri, kata Noor Ameera, kejayaan, tekanan, ujian dan hasil kerja yang diperoleh hari ini hanyalah permulaan untuk dia menapak teguh dalam dunia perniagaan sebenar.

“Saya belum puas. Masih jauh perjalanan dalam industri ini dan banyak perkara yang perlu saya belajar dari semasa ke semasa. Kalau dilihat, ketika ini juga saya sedang berdepan cabaran untuk menanam kepercayaan masyarakat terhadap produk tempatan.

“Apabila orang tahu saja produk saya buatan tempatan, ramai yang pandang remeh. Tidak kurang juga ada yang mengaitkan dengan produk timbang kilo. Semua ini timbul kerana persepsi. Bukan mudah untuk meyakinkan masyarakat produk kita selamat.

“Bagaimanapun, saya tetap optimis dengan hasil dan gerak kerja lebih memberangsangkan dalam tempoh lima tahun akan datang. Kami mahu mengeluarkan lebih banyak produk untuk memenuhi keperluan dan masalah kulit wanita. Pada masa sama, kami juga mahu tampil dengan pelbagai inisiatif untuk bantu memperkasa lebih ramai wanita dari setiap aspek terutama perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 1:18 PM