PEJUANG kanser payudara lelaki Mohd Zullaimy Muhammad, 52.
Yusliza Yakimir Abd Talib

“SAYA hanya ingat mati ketika didiagnos dengan kanser payudara tahap empat. Memang hati meronta dan tidak percaya ini boleh berlaku kepada saya.

“Apatah lagi memikirkan kanser ini dikaitkan dengan wanita, saya fikir mustahil seorang lelaki boleh diserang penyakit ini. Bingung, keliru dan pada masa sama hati ini menidakkan suratan takdir yang tertulis buat saya.”

Itu apa yang dirasakan Mohd Zullaimy Muhammad sembilan tahun lalu, apabila kanser yang menjadi pembunuh nombor satu wanita turut menyerang bapa kepada tujuh cahaya mata itu.

Tidak pernah sekali pun dia menyangkakan ketulan yang dirasai di bahagian payudaranya adalah petanda awal menghidap kanser. Seperti reaksi mana-mana lelaki pun, pastinya dia sama sekali tidak pernah terfikir penyakit itu juga boleh menyerang lelaki.

“Sebelum ini saya cuma tahu penyakit ini boleh berlaku kepada wanita saja, tidak pernah terfikir pun ketulan pada bahagian puting payudara ini adalah kanser. Saya ingat ia bisul dan langsung tidak rasa sakit.

“Dua tahun saya biar dan abaikan hinggalah peringkat ia membesar dari saiz duit syiling lima sen kepada sebesar 50 sen dalam tempoh seminggu.

“Kesakitan yang sangat perit pada bahagian payudara mula saya rasai. Rasa ngilu dan sakit apabila disentuh malah hingga satu tahap bergesel dengan baju pun sakitnya Allah saja yang tahu,” katanya.

Menurutnya, kawasan puting payudara semakin membengkak dan dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor meminta agar pembedahan kecil dilakukan bagi membuang benjolan dan mengurangkan kesakitan manakala sampel tisu diambil untuk diagnosis.

Dua minggu selepas itu, ahli perniagaan berusia 52 tahun itu menerima berita yang mengubah keseluruhan hidupnya apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Dunia seakan-akan kelam, malah dia akui tidak dapat menerima hakikat nasib menimpa dan terfikir tak akan hidup lama. Memikirkan semua anaknya yang masih kecil ketika itu dia akhirnya akur dengan ketentuan Allah.

“Semasa dapat tahu mengenai kanser ini, saya tidak tahu bagaimana hendak memaklumkannya kepada anak sulung yang ketika itu berusia 19 tahun. Saya memang tidak berkongsi secara mendalam mengenai penyakit ini dengan anak kerana tidak mahu pelajaran dan emosi mereka terganggu. Cuma mereka tahu saya menghidap penyakit berbahaya yang sukar disembuhkan.

“Pakar yang merawat saya mencadangkan pembedahan membuang sebelah payudara bagi mengelakkan sel kanser terus merebak. Ketika itu usia baru menginjak 43 tahun, tahun saya betul-betul menikmati hidup. Saya akui tidak menjaga makan dan jarang bersenam kerana terlalu sibuk bekerja,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hidupnya dia tidak pernah tahu kanser itu juga boleh dihidapi lelaki hinggalah berlaku kepada dirinya sendiri.

Malah, katanya, doktor yang merawatnya turut mengakui dia pesakit kanser payudara lelaki kedua yang dirawatnya sepanjang berkhidmat sebagai pegawai perubatan.


KETIKA menerima rawatan kanser.

TEKAD UBAH GAYA HIDUP

Tiga bulan selepas sembuh daripada pembedahan itu, Zullaimy menjalani rawatan kemoterapi setiap dua minggu selama enam bulan selain rawatan radioterapi 14 kali dalam tempoh dua minggu.

Katanya, ketika itu kesan sampingan rawatan membuatkan dunianya terasa berbeza, makanan pula terasa tawar namun kesan ubat menyebabkan berat badannya meningkat sehingga mencecah 100 kilogram.

Meskipun kesihatannya beransur pulih, badannya masih lemah dan tidak boleh terlalu aktif kerana cepat keletihan dan lesu.

Zullaimy nekad mahu mengubah gaya hidup kerana puluhan tahun mengabaikan kesihatan diri. Disebabkan baru pulih dan masih lemah, dia mengambil jurulatih peribadi di pusat kecergasan untuk mulakan rutin senaman.

Rutin senaman itu menjadikan badannya semakin kuat dan cergas, malah dia mula mengikuti beberapa ekspedisi dan kegiatan lasak.

“Kesan rawatan kanser menyebabkan berat badan naik mendadak, jadi dengan bergiat aktif dan menjaga diet, saya berjaya mendapatkan berat badan ideal. Apabila sudah yakin sikit, saya mula mendaki gunung malah pencapaian terbaik saya ketika itu adalah menakluk puncak Gunung Kinabalu empat kali.

“Saya juga menyertai kumpulan aktiviti ekstrem seperti mendaki bukit air terjun dan memanjat dinding serta pokok menggunakan tali. Saya akui di sebalik keperitan menanggung kesakitan akibat kanser, ada hikmah tersembunyi yang menjadikan diri saya seperti sekarang ini.

“Jika dulu memang langsung tidak pernah terbabit dalam aktiviti lasak, tidak sangka pula saya mampu mendaki dan berada di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara. Semua aktiviti yang saya lakukan ini sedikit sebanyak membantu dalam proses penyembuhan dan meningkatkan kecergasan saya,” katanya. Zullaimy bersyukur kerana sepanjang tempoh rawatan, arwah isteri dan keluarga memberi sokongan tidak berbelah bagi dari segi emosi dan keperluannya.

Katanya, arwah sepupu perempuannya yang ketika itu turut berjuang melawan kanser payudara banyak memberi galakan dan nasihat untuk menghadapi dugaan itu dengan sabar dan tidak berputus asa.

Air mukanya berubah kala mengimbas detik bersama insan yang menjadi tulang belakangnya ketika berjuang melawan kanser kerana dua tahun lalu Zullaimy kehilangan isteri tercinta akibat serangan strok.

Lebih setahun lelaki ini menangisi dan berduka di atas pemergian isteri tersayang. Bagaimanapun, tahun lalu, Zullaimy dipertemukan jodoh bersama Amalina Aziz, 29, ketika sama-sama mengikuti program kecergasan menurunkan berat badan anjuran sebuah hospital swasta di ibu kota.

“Hargai waktu yang ada bersama orang tersayang kerana ajal sungguh dekat dengan kita. Pengalaman sebagai pejuang kanser memberi kesedaran kepada saya untuk memanfaatkan peluang kedua dalam hidup untuk lebih menghargai orang di sekeliling saya.

“Sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan pastikan anda baik lelaki atau wanita agar waspada dengan sebarang kelainan pada payudara, jalani pemeriksaan segera dan dapatkan rawatan sewajarnya,” katanya.

Setiap kali tiba Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari dan Bulan Kanser Payudara pada Oktober, dia memanjatkan rasa syukur kerana dipilih menjalani ujian yang akhirnya membawa dia ke kehidupan baru.


ZULLAIMY (dua dari kiri) ketika menjuarai Program ‘I Fit Weight Loss Challenge’ di Hospital Columbia Asia Setapak.

LELAKI JUGA PERLU AWAS

Sementara itu, Pakar Bedah Am Hospital Pakar KPJ Tawakal Dr Nurhashim Haron berkata, kanser payudara sememangnya sinonim buat kaum Hawa, tapi bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ia turut berlaku pada golongan lelaki meskipun peratusannya sangat kecil.

Katanya, kanser payudara bermula apabila sel di payudara mula tumbuh di luar kawalan dan sel ini biasanya membentuk tumor yang dapat dilihat pada ujian sinar-X atau pesakit merasai benjolan pada bahagian itu.

Simptom kanser payudara pada lelaki sama dengan wanita namun, kebanyakan kanser payudara pada kaum Adam didiagnosis apabila didapati terdapat benjolan di dadanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak seperti wanita, lelaki cenderung menangguhkan untuk mendapat rawatan atau berjumpa doktor sehingga mereka mengalami simptom yang lebih teruk seperti bengkak, kesakitan yang tidak mampu ditahan serta pendarahan dari puting susu.

“Ketika itu, kanser mungkin sudah merebak dan kebiasaannya sudah di tahap akhir. Bagaimanapun, pesakit tidak harus berputus asa dan meneruskan rawatan yang disarankan.

“Meskipun statistik bagi kanser itu bagi lelaki amat sikit jika dibandingkan dengan wanita, mereka juga perlu berwaspada dengan sebarang tanda awal penyakit itu,” katanya.

Ini kerana, katanya, di negara ini stigma berkaitan payudara lelaki adalah hampir tidak wujud malah jika ditanya kebanyakan kaum Adam tidak sedar penyakit itu boleh juga menyerang mereka.

Mengulas lanjut Dr Hashim berkata, sebenarnya kempen kesedaran kanser payudara lelaki memang ada dilakukan namun tidak sebanyak dan sekerap kanser pada wanita.

Katanya, disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kanser payudara, kebanyakan lelaki yang menghidapnya hanya akan mengesan penyakit itu ketika sudah berada di tahap akhir.

Dr Hashim berkata, secara purata hanya satu peratus daripada penghidap kanser payudara terdiri daripada lelaki itu setakat ini dan nisbah untuk lelaki menghidapi penyakit itu berbanding wanita adalah 1:1,000.

Sama seperti wanita katanya, adalah penting untuk lelaki sentiasa membuat pemeriksaan sendiri selepas mandi untuk melihat sekiranya ada sebarang perubahan yang dapat dirasai pada anggota itu.

“Gangguan hormon yang berlaku pada lelaki seperti pertambahan estrogen antara penyebab penyakit itu menyerang kaum Adam. Selain itu, lelaki obes juga berisiko terdedah kepada penyakit ini. Pada masa sama risiko untuk seorang lelaki mendapat kanser payudara juga tinggi jika ada ahli keluarga yang menghidapnya,” katanya.

Katanya, lelaki juga seharusnya mengambil tahu mengenai penyakit ini dan segera mendapatkan nasihat pakar sekiranya mendapati sebarang perubahan atau keganjilan pada mana-mana bahagian tubuh mereka.

Dalam pada itu katanya, rawatan untuk kanser payudara bagi lelaki adalah sama dengan wanita bergantung kepada jenis dan peringkat kanser. Antara kaedah rawatan yang dilakukan seperti pembedahan, kemoterapi, terapi radio dan terapi hormon.


MENYULAM bahagia dengan Amalina pada hari pernikahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:04 AM