KOLEKSI Twoo Official oleh Mohamad Fareez Azuan Abdullah dan Mohamad Idham Ismail. Foto: Nurul Syazana Rose Razman
Siti Nadirah Hafidzin

MEMASUKI bulan ketiga 2019 memperlihatkan dunia fesyen tempatan mahupun antarabangsa semakin rancak berkembang meniti arus kemodenan.

Semakin ramai pereka tempatan bijak dalam berkarya, satu persatu percubaan baru diketengahkan dalam menghasilkan sepasang busana yang bukan saja indah namun mempunyai nilai tersendiri.

Bukan hanya perlu selesa, sepasang busana itu perlu mempunyai ‘tahapnya’ tersendiri bagi menyerlahkan lagi penampilan si pemakai walaupun untuk gaya kasual harian.

Mengetengahkan konsep suai padan, namun rekaannya tetap terkini menjadikan koleksi busana sentuhan kreatif anak muda ini tampak unik dan berbeza daripada yang ada di pasaran.

Direka dengan teliti, koleksi Twoo Official dihasilkan khusus buat wanita muda yang berani berfesyen namun pada masa sama mahukan sesuatu yang selesa digayakan.

Gabungan idea dihasilkan pereka tempatan ini berjaya menarik perhatian ramai terutama wanita yang gemarkan fesyen terkini dan versatil.

Pengasasnya Mohamad Fareez Abdullah berkata, pihaknya sentiasa berusaha menghasilkan koleksi busana yang tidak ketinggalan zaman dengan menggunakan rona ceria dan terang sesuai dengan gaya kasual harian.

“Kami menghasilkan rekaan berbeza daripada koleksi fesyen kasual sedia ada di pasaran antaranya gaun labuh dan blaus.


MENGGUNAKAN konsep suai padan.

“Melalui konsep suai padan yang dibawakan, pelanggan bukan sekadar membeli koleksi kami kerana pada masa sama kami akan memberikan cadangan jenis fesyen yang bersesuaian dengan personaliti mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin pelanggan yang menggayakan koleksi ini akan berpuas hati dengan gaya terhasil walaupun pada gaya ringkas dan bersahaja.

“Selain koleksi sedia ada, kami turut menerima tempahan mengikut rekaan yang dimahukan pelanggan dan walaupun koleksi kami kebanyakannya sesuai untuk golongan muda namun tidak salah sekiranya ia digayakan wanita berusia yang berani.

“Soal harga, koleksi kami dijual pada harga berpatutan iaitu di bawah RM200 untuk memastikan sesiapa saja mampu memilikinya tanpa membebankan,” ujarnya.

Katanya, untuk perancangan terbaru, pihaknya bakal mengeluarkan pelbagai koleksi busana kasual terkini untuk memberi pilihan kepada anak muda tempatan untuk bergaya.

“Diharap dengan suntikan idea terkini dalam setiap rekaan yang kami hasilkan ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada wanita era kini untuk berfesyen.

“Walaupun mementingkan aspek terkini, keselesaan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya

Tambahnya, dia juga sentiasa berusaha menjadikan semua koleksinya antara helaian yang mendapat tempat di hati wanita masa kini tanpa mengira status dan latar belakang.


SENTUHAN kreatif anak muda untuk wanita versatil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:00 AM