KETAASUBAN ibu bapa dikhuatiri bakal menyebabkan anak berada dalam keadaan ‘rangsangan keterlaluan’. -GAMBAR hiasan.
Siti Nadirah Hafidzin

DALAM keterujaan ibu bapa mendidik anak supaya membesar dengan cemerlang terutama dari segi akademik, ramai yang terlalu taasub hingga ada yang bersikap memaksa dan keterlaluan bagi memastikan hajat mereka tercapai.

Pelbagai jenis buku dibeli setiap bulan, belum lagi menyentuh bahan bantu belajar yang diyakini mampu meningkatkan keupayaan minda anak.

Usaha itu tidak salah namun ketaasuban ibu bapa itu dikhuatiri bakal menyebabkan anak berada dalam keadaan ‘rangsangan keterlaluan’.

Setiap ibu bapa perlu tahu, secara asasnya, deria sensori kanak-kanak akan ‘bekerja’ dengan menerima rangsangan daripada sekeliling dan maklumat itu dibawa ke otak untuk diterjemahkan sebagai ‘maklumat bermakna’.

Sebagai contoh, apabila melihat lembu, ia adalah satu rangsangan dan dikesan melalui organ deria mata untuk penglihatan.


TIADA bukti ‘bahan bantu belajar’ jadikan anak cepat pandai. -GAMBAR hiasan.

Maklumat itu akan dibawa ke otak untuk diproses dan diterjemahkan sebagai ‘oh, itu lembu’ yang menjadi proses asas kepada setiap manusia. Ia juga turut berlaku kepada semua organ deria yang lain.

Menurut Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Hazhari Ismail, kanak-kanak memang memerlukan rangsangan untuk berkembang secara holistik.

“Persekitaran yang penuh dengan rangsangan akan membantu kanak-kanak meneroka sekeliling namun, jika terlalu banyak rangsangan diterima ia secara tidak langsung akan menyebabkan kanak-kanak terbabit menerima rangsangan melampau.

“Apa yang dimaksudkan dengan rangsangan melampau? Secara mudahnya, keadaan itu akan berlaku apabila si kecil dilambakkan dengan rangsangan atau pengalaman yang berlebihan atau keterlaluan banyaknya yang mengakibatkan mereka berada di dalam keadaan terlalu penat,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, kanak-kanak berusia lima tahun mungkin akan meragam dan mengamuk selepas majlis sambutan hari lahir disebabkan penat berjumpa ramai orang.

“Keadaan itu juga boleh terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai rutin harian padat seperti bermula dengan sekolah pada awal pagi hingga ke petang. Pada hari yang sama juga dia perlu ke kelas sukan dan mengikuti kelas tuisyen pada waktu malam. Rutin yang padat ini akan menyebabkan fizikal dan minda anak penat kerana rangsangan diberikan tanpa henti.

“Situasi juga boleh terjadi kepada bayi yang tidak tenteram selepas didukung oleh berbelas individu dewasa dalam satu tempoh,” ujarnya.

Menurut Hazhari, ibu bapa perlu sentiasa peka dalam mengenal pasti sama ada anak anda menerima rangsangan melampau.

“Antara tanda paling mudah dikesan untuk bayi adalah apabila dia menangis tidak berhenti, meragam, kelihatan penat, menggenggam tangan atau menendang tanpa henti.

“Manakala bagi kanak-kanak pula akan kelihatan penat, meragam dan sedih, menangis namun tidak dapat menggambarkan perasaan sedihnya, tantrum dengan berguling-guling di atas lantai, marah atau dia memberitahu tidak mahu berbuat apa-apa aktiviti,” katanya.

Tambahnya, sekiranya terdapat tanda-tanda seperti itu, ia jelas menunjukkan bayi atau kanak-kanak terbabit sedang menerima rangsangan melampau yang memerlukan tempoh bertenang atau berada dalam persekitaran yang tenang.

IBU BAPA MAINKAN PERANAN

Hazhari berkata, semua sedia maklum, tempoh enam tahun terawal seorang kanak-kanak adalah satu tempoh kritikal.

“Kanak-kanak belajar banyak perkara pada usia itu di mana otak mereka berfungsi dengan lebih cepat dan baik berbanding usia yang lebih dewasa.

“Namun, jangan bersikap keterlaluan dengan memberikan berpuluh jenis aktiviti dan permainan untuk memastikan mereka menggunakan otak dengan baik dalam satu masa.

“Ini kerana, dalam tidak sedar ada ibu bapa yang berkemungkinan besar memberikan terlalu banyak aktiviti atau permainan yang tidak sesuai dengan tahap perkembangan anak. Ia boleh menjadi masalah terbesar dalam memastikan anak menjalani perkembangan keseluruhan yang baik,” katanya.

Katanya, memberikan pelbagai ‘bahan bantu belajar’ tidak pernah dibuktikan sebagai berkesan atau menjadikan anak anda cepat pandai.

“Kanak-kanak juga perlukan masa rehat. Sama seperti komputer sekiranya digunakan 24 jam juga boleh menjadi panas. Telefon bimbit jika digunakan tanpa henti juga boleh mengalami masalah.

“Oleh itu, kanak-kanak sangat memerlukan waktu rehatnya untuk mereka bertenang seketika. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun hanya boleh bertahan dari lima hingga 20 minit untuk kekal fokus. Jurang masa mungkin berbeza mengikut situasi dan masa seperti waktu pagi, tengahari, petang dan malam,” ujarnya.

Menurut Hazhari, berikan anak masa untuk berfikir tanpa dilambakkan dengan aktiviti kerana ia lebih berkesan untuk proses pembelajaran mereka sendiri.

“Sekiranya anda mula mengesan si anak berada dalam keadaan rangsangan melampau, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah bertenang. Ibu bapa perlu bertenang dulu sebelum menenangkan anak.

“Untuk bayi, bedung mereka bagi mengurangkan pergerakan yang boleh membuatkan bayi menjadi lebih tenang atau boleh juga bawa ke tempat yang kurang bunyi,” katanya.

Manakala bagi kanak-kanak, Hazhari berkata, ibu bapa boleh cuba memberi ketenangan dengan cara yang sama iaitu kurangkan kebisingan seperti menutup televisyen atau bawa mereka ke tempat yang lebih tenang seperti bilik tidur.


KANAK-KANAK berusia lima tahun mungkin akan meragam dan mengamuk selepas majlis sambutan hari lahir disebabkan penat berjumpa ramai orang. -GAMBAR hiasan.

“Perlu diingati, sekiranya anak anda berada dalam keadaan meragam, jangan paksa untuk lakukan apa-apa aktiviti, jika mereka ingin berhenti maka anda perlu berhenti. Apabila sudah tenang cuba tanya sebab dia mahu berhenti jangan pula tanya ketika si anak sedang mengamuk.

“Ibu bapa perlu mewujudkan kepercayaan antara diri sendiri dengan si anak, cuba memahami dan banyak bercakap dengan mereka bagi membentuk kepercayaan itu.

“Apa yang penting, kita tidak mahu mereka berada dalam keadaan suasana negatif kerana ia akan mengganggu keseluruhan perkembangan yang sihat,” ujarnya.

Tambahnya, cuba cari keseimbangan atau kesamarataan tentang rangsangan yang secukupnya.

“Perhatikan anak anda dan cuba analisis sendiri, jangan hanya perhatikan saja, tetapi tiada tindakan.

“Semua yang dinyatakan ini adalah ‘rangsangan melampau’ kepada kanak-kanak atau bayi normal. Jika anda tidak pasti, sebaiknya dapatkan nasihat pakar supaya anak anda boleh membesar dalam persekitaran sihat dengan rangsangan yang sesuai untuknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 6:30 AM