SELAIN beri kesan kepada pertumbuhan diri, ia juga boleh jejas kualiti hidup seisi keluarga. -GAMBAR hiasan.
SELAIN beri kesan kepada pertumbuhan diri, ia juga boleh jejas kualiti hidup seisi keluarga. -GAMBAR hiasan.
Siti Nadirah Hafidzin

MASALAH bayi yang enggan tidur pada waktunya sering berlaku dalam kehidupan seharian. Tentu saja keadaan ini memberi kesan mendalam hingga menjejaskan kualiti kehidupan sekeluarga terutama kepada ibu bapa yang kepenatan akibat tidak cukup tidur sehingga berbulan-bulan lamanya serta adik-beradik yang lain.

Jika setiap hari ibu bapa melalui rutin sama dan hanya ‘tidur-tidur ayam’ iaitu sekitar tiga atau empat jam sehari, tentulah ia mengganggu emosi selain menjejaskan tumpuan menguruskan kerjaya dan kehidupan seharian.

Bagi bayi dan kanak-kanak pula, masalah tidak cukup tidur atau waktu tidur yang tidak tetap me­nyebabkan mereka sering meragam, merengek serta kurang ceria.

Keadaan itu memberi kesan besar kepada pertumbuhan diri, emosi serta tahap intelektual kerana tumpuan terganggu dan menjejaskan pertambahan berat badan.

Perunding Utama Psikologi ChildPsych, Dr Edward Chan berkata, masalah sukar tidur bukan satu perkara asing dalam kalangan bayi mahupun kanak-kanak malah seorang daripada empat bayi mengalaminya.

Bagaimanapun katanya, biarpun masalah itu sesuatu yang normal dan sering dibincangkan umum, ia tidak seharusnya dipandang mudah atau dibiarkan berlarutan kerana kesannya bukan hanya kepada bayi itu sendiri malah pada seluruh ahli keluarga.

“Apabila bayi sukar tidur ia menyebabkan mereka tidak cukup tidur dan sering merengek. Bukan saja dirinya sendiri menjadi tidak tenteram, malah seluruh keluarga juga tidak cukup tidur dan situasi itu boleh memberikan kesan kurang baik kepada semua termasuk adik-beradiknya yang lain.

“Ibu bapa terutama yang bekerja akan merasai kesannya kerana tidak cukup rehat dan keadaan itu boleh menyebabkan seisi keluarga menjadi tertekan sehingga berbulan lamanya,” katanya.

Menurutnya, membenarkan bayi atau kanak-kanak kecil menonton televisyen atau menggunakan barangan elektronik seperti tablet, telefon bimbit atau komputer sedangkan waktu tidurnya semakin hampir adalah kesilapan besar yang sering dilakukan keba­nyakan ibu bapa.

Katanya, apabila bayi didedahkan dengan suasana yang merangsang mindanya, ia berada dalam keadaan berjaga. Apabila dipaksa tidur, tentu saja si bayi itu tidak mahu dan akan mula meragam.

“Apabila waktu tidur semakin hampir, bayi dan kanak-kanak sepatutnya didedahkan kepada persekitaran yang menenangkan supaya dia akan mula rasa mengantuk dengan sendirinya, seterusnya memudahkannya tidur tanpa perlu dipaksa.

“Antara cara yang boleh digunakan bagi memudahkan anak kecil tidur adalah dendangan nyanyian yang lembut daripada ibu bapa, memberikan urutan, mengaji (untuk beragama Islam) atau membacakan buku cerita sebelum tidur,” katanya.

Katanya, semua aktiviti berkenaan bertujuan membuatkan bayi berasa tenang, selesa dan mudah mengantuk apabila rutin itu perlu dipraktikkan setiap hari sehinggalah masa tidur bayi menjadi teratur dan tepat pada waktunya.

“Ramai ibu bapa yang berasa sangat tertekan dengan keadaan ini namun perlu diingatkan, tekanan yang dirasai itu bukan hanya berlaku pada diri anda sendiri malah juga kepada anak yang lain terutama yang masih bersekolah.

“Masalah ini terjadi apabila ibu bapa tidur sebilik dengan semua anak. Masih ramai yang mengamalkan konsep tidur sebilik dengan anak kerana berasa tidak sampai hati membiarkan mereka tidur di bilik sendiri. Bunyi bayi menangis dan meragam itu tentu saja mengganggu tidur kakak atau abangnya yang turut memerlukan waktu tidur yang berkualiti khususnya yang bersekolah,” ujarnya.

Atas faktor itu juga, menurutnya, masalah itu perlu ditangani secepat yang mungkin bagi memastikan keharmonian hidup sekeluarga.

SETIAP BAYI BERBEZA TEKNIK

Menurutnya, sesetengah ibu bapa berpendapat corak tidur anak mereka akan berubah menjadi lebih teratur seiring peningkatan usia, namun sebenarnya ia adalah anggapan yang salah kerana corak tidur ketika kecil boleh berterusan dan mempengaruhi pertumbuhan fizikal dan mental.

Katanya, buku berkaitan teknik menidurkan bayi memang banyak dijual di pasaran selain boleh dicari di Internet, namun ia ditulis secara umum dan tidak khusus kepada setiap keadaan bayi itu sendiri.

“Setiap bayi yang bermasalah tidur memerlukan teknik berbeza dan ia juga bergantung kepada cara layanan dan aturan yang sudah ditentukan oleh ibu bapanya,” katanya.

Menurutnya, teknik menidurkan bayi dan kanak-kanak banyak bergantung kepada suasana sekeliling bayi berkenaan. Ini termasuk faktor sama ada si ibu bekerja atau tidak serta usia bayi atau kanak-kanak itu sendiri.

“Bayi yang lebih kecil tidur lebih banyak dan sekitar jam 10 malam mereka sepatutnya sudah melelapkan mata, tetapi ada bayi yang berjaga sekitar tengah malam dan enggan tidur.

“Bayi hanya akan tidur jika ia berhadapan dengan keadaan yang rutin, misalnya jika ia sudah biasa dibuai atau didodoi, jadi ibu bapa perlu melakukan perkara itu untuk memastikan bayi berasa selesa dan mudah tidur. Namun ada ibu bapa mahu anak mereka tidur sebilik di dalam katil bayi, ada pula yang mahu anak tidur asing di bilik sendiri. Itu tidak menjadi masalah asalkan anak dapat tidur dengan selesa, begitu juga mereka,” katanya.

Katanya, bagi memastikan corak tidur bayi berubah dan tidur pada masanya, ibu bapa perlu bersabar dan bertahan de­ngan perubahan rutin untuk beberapa hari

atau minggu bagi menyesuaikan rutin itu dengan bayi mereka.

Katanya, peratusan kejayaan bergantung kepada kesanggupan dan kesabaran ibu bapa mengikut teknik dan rutin yang diubah. Sekiranya mereka hanya mengikutnya separuh jalan, usaha membantu anak tidur mengikut jadual akan menemui jalan buntu.

“Bagi saya, lebih baik bayi dilatih untuk tidur sendiri tanpa memerlukan sebarang ‘bantuan’ misalnya puting. Selalunya bayi berusia enam bulan ke atas boleh dilatih dan dibiarkan tidur dengan sendirinya.

“Jika ibu bapa mengikut rutin yang disarankan kepada bayi mereka, perubahan corak tidur boleh dilihat hanya dalam tempoh antara tiga hingga empat hari. Jika selalunya bayi terjaga setiap dua jam dan menangis, mereka boleh tidur lebih lama dan sepanjang malam,” katanya.

Menurutnya, komitmen ibu bapa dalam membantu bayi mereka untuk tidur secara teratur sememangnya penting untuk kesan yang berpanjangan dan tidak mengamalkan teknik yang dicuba separuh jalan.

“Perubahan teknik itu boleh dipilih sama ada ibu bapa mahu mencuba sendiri atau bertemu dengan pakar bagi mendapatkan bantuan dan pandangan.

“Amat penting untuk bayi mendapatkan tidur yang cukup, bukannya bangun menangis setiap beberapa jam di tengah malam kerana perkembangan otak berlaku ketika tidur. Sekiranya bayi atau kanak-kanak kecil tidak mendapat tidur yang cukup, tumpuan belajar dan perkembangan intelektual mereka boleh terganggu terutama bagi yang sudah mula menghadiri kelas prasekolah,” ujarnya.

Menurut Dr Chan, selain emosi anak akan berubah dan gemar meragam serta merengek, berat badan mereka juga boleh terganggu sekiranya dibiarkan berlarutan lama akibat metabolisme yang tidak seimbang kerana tidak cukup rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:00 AM