PENGGUNAAN salad salsa tambah keenakan hidangan, beri keseimbangan nutrisi.
Yusliza Yakimir Abd Talib

AYAM menjadi pilihan utama dalam penyediaan hidangan di rumah. Selain mudah disediakan, ia memenuhi cita rasa anak yang biasanya ‘termenung panjang’ di meja makan apabila disajikan hidangan berasaskan ikan. Jadi sebagai penggalak selera anak, si ibu beralah dengan memasak hidangan yang mudah disediakan seperti sup, tomyam, gulai dan sambal sebagai pengganti ayam goreng.

Namun, ayam goreng tetap menjadi pilihan nombor satu dan mampu memenuhi cita rasa pada bila-bila masa pun ia dihidangkan khususnya bagi anak kecil. Menu ayam goreng memang mudah disediakan dan jika mahukan aroma berbeza boleh ditambah daun kari atau bawang ketika menggorengnya. Aromanya mampu membuka selera sesiapa saja. Hidangan itu akan menjadi lengkap jika dinikmati bersama nasi panas dan sayur kegemaran.

Namun, ada kalanya pasti suri rumah teringin menghidangkan juadah berbeza untuk keluarga namun apakah menu paling mudah boleh disediakan?

Makanan Barat seperti ayam chop (sering disebut chicken chop), dengan aroma lada hitam membaluti daging ayam dan dipanggang pula bersama mentega memang menyelerakan terutama bagi mereka yang sesekali mahu mengubah selera daripada nasi dan lauk-pauk.

Pengasas Casablanca Western Cuisine Noorhasyima Hasan berbesar hati berkongsi resipi turun-temurun iaitu ayam Casablanca yang menjadi kegemaran keluarga dan pelanggan warungnya di Restoran Saggaf Corner, Bukit Antarabangsa.

Menurutnya, mungkin ada yang menganggap bahan menyediakan hidangan Barat seperti ini mahal, tetapi ia hanya menggunakan bahan asas yang mudah didapati di pasaran.

Katanya, untuk hidangan ayam ini, dia memberi kelainan dengan menambah salad salsa bagi menambah keenakan hidangan dan memberi keseimbangan nutrisi.

“Berbeza dengan resipi ayam chop lain, saya menambah salsa untuk memberi kelainan. Percubaan ini diterima baik oleh pelanggan saya,” katanya.

Masa untuk memasak­nya juga singkat namun perlu memastikan setiap bahan yang ingin digunakan disediakan terlebih dulu. Berkongsi resipi de­ngan pembaca Harian Metro, Noorhasyima menunjukkan cara menyediakan ayam Casablanca.

Bahannya:

1. Sekeping bahagian penuh paha ayam (dibuang tulang)

2. Tepung gandum

3. Sebiji telur (dipukul)

4. 2 sudu besar sos cili

5. 3 sudu besar sos lada hitam

6. Sedikit mentega (untuk memanggang)

Bahan untuk salsa segar:

1. Timun

2. Tomato

3. Bawang Holland

4. Sedikit perahan limau

Cara membuatnya:

1. Timun, tomato dan bawang dipotong dadu.

2. Campur perahan limau dan gaul rata semua bahan.

BAHAN-BAHAN membuat ayam Casablanca.

GAMBAR kiri, mula-mula ayam bersama tepung gandum. Kemudian celup ayam dengan telur yang sudah dipukul.

GAMBAR kiri, panaskan kuali dengan mentega dan panggang ayam. Balik-balikkannya hingga masak. Kemudian, angkat ayam dan diletak di atas pinggan. Sapukan ayam dengan sos cili.

TABURKAN salsa segar di atas ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:30 AM