BAJU Capelectic direka menutupi bahagian dada.
Siti Zarinah Sahib

BERLARI pantas, berjoging dan beriadah menjadi kemestian warga kota khususnya remaja pada hujung minggu. Namun dalam keadaan cuaca panas melampau individu yang aktif bersukan memerlukan padanan yang bukan saja selesa namun mampu menyerap peluh dengan baik.

Bagi remaja pula aktiviti lasak seperti mendaki gunung, zumba dan maraton tetap diteruskan biarpun dibebani tugasan sebagai pelajar. Ini kerana bersukan mampu meredakan tekanan dan memberikan ruang minda berehat seketika daripada memikirkan pelbagai masalah.


BERIADAH aurat tetap terjaga.

Memahami keinginan wanita Muslimah yang aktif bersukan, Natasha.com jenama pakaian sukan tempatan menampilkan baju dan tudung sukan dengan konsep dwifungsi iaitu selesa serta praktikal.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Eliza Noordin, dewasa ini wanita cenderung melakukan aktiviti lasak seperti spartan dan triathlon sekali gus memerlukan pakaian sukan untuk aktiviti basah dan kering.

“Koleksi Capelectic direka untuk pelbagai aktiviti sukan, termasuk sukan air bukan profesional. Baju Capelecti menampilkan konsep Muslimah yang berfungsi menutup dada. Sebagai jenama pertama menggunakan konsep ini ia sudah tentu diterima ramai terutama wanita bertudung,” katanya.

Begitu juga dengan pakaian bertopi Hoodie Gen yang boleh digunakan untuk aktiviti sukan ringan dan percutian.

“Kedua-duanya menggunakan fabrik polyester microfiber dan spandex ringan serta mudah kering. Ia juga menyerap peluh selain memberikan keselesaan ketika bersukan pada waktu petang,” jelasnya.

Sebagai menerajui fesyen sukan yang mempunyai daya inovasi tinggi, jenama ini turut mengeluarkan tiga lagi rekaan iaitu Hooda Racerback, Hooda Ellipse dan Hooda Long daripada konsep yang sama untuk penggunaan sukan berbeza-beza.


REMAJA kota menghabiskan masa hujung minggu dengan bersukan.

“Kami juga berani menggunakan kombinasi kain berlainan bagi memberi keselesaan dan fungsi yang terbaik untuk pelanggan. Produk terbaharu Crop Toplectic adalah baju sukan pendek dan tudung sukan yang digabungkan untuk dipakai dalam acara berlengan pendek atau tiada lengan.

“Dengan ini, Muslimah hanya perlu memakai ‘crop top’ dan baju acara saja. Selalunya, sebelum ini Muslimah memakai baju lengan panjang atau sarung tangan dan tudung berasingan apabila ingin memakaikan baju acara sukan,” kata Eliza yang menjual pada harga RM129 untuk Capelectic dan Hoodie Gen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 4:30 AM