IYLIA mendukung Julian Rafail penuh kasih sayang sambil diperhatikan Shafiqah. FOTO: Saddam Yusoff
IYLIA mendukung Julian Rafail penuh kasih sayang sambil diperhatikan Shafiqah. FOTO: Saddam Yusoff
Siti Zarinah Sahib

SIAPA yang tidak gembira dikurniakan cahaya mata pertama selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga? Walaupun membuat pelbagai persediaan seperti mengambil kelas antenatal, bertanya doktor setiap kali menjalani pemeriksaan dan meluaskan pembacaan sama ada menerusi buku atau Internet sebenarnya persediaan ini hanyalah asas teori.

Hakikatnya sebaik melahirkan cahaya mata, pasangan ibu bapa akan berhadapan asalah dan cabaran sebenar. Ada kala apa yang dilalui tidak pernah dibaca dan diceritakan sebelum ini.

Untuk itu pentingnya sokongan keluarga terutama suami supaya pasangan berasa dihargai dan mampu menjalani tempoh berpantang dengan indah.

Perkara ini turut diakui Nurul Shafiqah Shafie, 28, apabila dia dan suami, Md Iylia Fahmi Azmi, 30, mula membuat pelbagai persediaan sebaik dia atau mesra disapa Shafiqah disahkan hamil.

“Kami mula mencari maklumat di Internet mengenai pemakanan, kemudian mengambil kelas antenatal dan persediaan untuk kelahiran bayi. Iylia pula mendapatkan maklumat mengenai cara menukar lampin pakai buang dan memandikan bayi. Pendek kata semua hal berkaitan bayi kami cari dan gali supaya ilmu ini dapat diamalkan sebaik kelahiran si comel yang amat dinanti-nantikan ini,” kata Shafiqah yang mengakui walaupun berdepan kesakitan, baginya proses kelahiran adalah kenangan yang cukup indah dan sukar dilupakan.

Namun selepas dua minggu Julian Rafail dilahirkan keadaan mula berubah. Dia yang mudah dijaga dan tidak banyak ragam, mula menangis pada setiap malam dalam tempoh yang lama. Mulanya pasangan ini menyangka mungkin disebabkan kembung, lampin basah atau lapar. Namun selepas diberikan kedua-duanya Julian masih menangis.

“Memang saya panik kerana kami berdua tidak pernah membaca mengenai sawan tangis atau kolik. Apabila berlaku pada anak sendiri ia benar-benar menguji kesabaran,” katanya.

Ujar Shafiqah, tangisan Julian bermula pada jam 11 malam dan akan menangis dengan kuat tanpa henti selama tiga hingga empat jam. Dalam tempoh ini Shafiqah dan suami terpaksa berjaga bergilir-gilir bagi mengelak rasa penat. Julian turut dibawa ke hospital tetapi doktor memberitahu kesihatannya dalam keadaan baik.

Lebih memburukkan keadaan apabila Shafiqah mula berhadapan simptom kemurungan selepas bersalin atau meroyan. Dia kerap menangis, tidak boleh ditinggalkan bersendirian, sedih dan cepat marah.

“Menyedari akan hal ini, saya mula menjauhkan diri daripada memegang bayi. Apabila ada rasa sedih, tertekan atau marah, saya berikan Julian kepada suami untuk diuruskan manakala saya meredakan perasaan itu. Saya bimbang jika berlaku sesuatu yang buruk ketika memegang Julian.

“Saya beranggapan keadaan ini disebabkan kepenatan, kurang tidur dan tidak cukup rehat ketika dalam pantang. Malah saya akui tidak mengamalkan pantang yang ketat disebabkan tertekan dan kerisauan melampau,” katanya.

Bagi menguruskan Julian, Shafiqah dan Iylia terpaksa mengambil jururawat peribadi bagi menjaga si kecil sepenuhnya. Namun dia yang kerap memuat naik di laman Instagram mengenai perkembangan Julia sering dikecam netizen kerana dikatakan tidak sayangkan anak dan tidak mampu menjaga anak.

“Memang benar ramai yang mengecam saya disebabkan tindakan kami mengupah jururawat peribadi. Saya tidak tersentuh dengan kritikan ini kerana kami yang melaluinya. Bukan soal tidak sayangkan atau tidak mampu menjaga anak tetapi kami ingin memberikan yang terbaik kepada Julian ketika dia mengalami sawan tangis.

“Mungkin yang berkata demikian tidak tahu bagaimana sawan tangis ini kerana tak berlaku kepada anak mereka. Jadi daripada kami terus tertekan atau murung lebih baik meminta bantuan orang lain,” katanya.

TANGISAN Julian bermula pada jam 11 malam dan akan menangis dengan kuat tanpa henti selama tiga hingga empat jam.
TANGISAN Julian bermula pada jam 11 malam dan akan menangis dengan kuat tanpa henti selama tiga hingga empat jam.

TIDAK BERI ANAK SUSU BADAN

Syafiqah juga sama seperti ibu lain yang mahu memberikan yang terbaik kepada si kecil. Ketika hamil memang dia tekad untuk menyusukan Julian sepenuhnya tetapi selepas dua minggu, tekanan dan kemurungan menyebabkan dia mengambil keputusan memberikan Julian susu formula.

“Berikutan tindakan saya ini sekali lagi saya dikecam netizen disebabkan tidak memberikan susu badan. Namun saya turut menerima maklum balas positif daripada ibu-ibu yang turut mengalami masalah sama. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berani memperkatakan kebenaran. Sebenarnya penyusuan badan memerlukan komitmen, ada ibu berjaya dan tidak berjaya disebabkan beberapa halangan.

“Jangan kecam ibu yang memberi susu formula kepada anak kerana mereka juga mahukan yang untuk anak masing-masing tetapi tidak berupaya disebabkan kurang ilmu, tertekan atau masalah bayi seperti sawan tangis. Terimalah seadanya pendapat dan keupayaan masing-masing bagi mewujudkan keharmonian,” nasihatnya.

Shafiqah dan Iylia yang juga pengusaha Pinkboxcereal mengakui ketika berhadapan kemurungan perniagaannya sedikit merudum namun mereka tidak terlalu tertekan kerana apa yang penting adalah memastikan kesihatan Shafiqah dan Julian dalam keadaan baik.

Bagi Iylia pula, sejak mengetahui Shafiqah hamil dia sudah membuat persediaan dengan melayari Internet mengenai penjagaan bayi. Antaranya bagaimana mengangkat, memandikan, menukar baju dan menidurkan bayi.

“Sebaik bayi lahir seboleh-bolehnya saya cuba meringan beban Shafiqah. Saya tahu dia banyak berkorban mengandung, merasai kesakitan ketika kelahiran dan kemudian berpantang. Jadi sudah tentu Shafiqah memerlukan saya di sisi bukan setakat peneman tetapi turut menjaga bayi.

“Alhamdulillah sepanjang dalam pantang saya mengambil cuti dua minggu untuk menjaga isteri dan anak. Jika ada rasa kekok atau kurang faham saya akan bertanya ibu atau melayari Internet untuk maklumat lanjut,” katanya.

Kini Julian sudah menjangkau usia lima bulan dan perkembangannya semakin aktif sama seperti bayi yang lain. Sawan tangisnya juga berhenti selepas memasuki usia dua bulan dan pasangan suami isteri ini sudah boleh mengatur masa bersama bayi mereka.

Baik Iylia mahupun Shafiqah, mereka menjelaskan pengalaman menguruskan anak pertama bukanlah berdasarkan apa yang dibaca semata-semata sebaliknya lebih bergantung kepada keupayaan serta kekuatan mental dan fizikal pada ketika itu.

“Jika rasa penat minta tolong dengan orang sekeliling untuk menjaga sekejap. Ini kerana hanya kita yang tahu sejauh mana kekuatan badan, tahap emosi dan juga tekanan. Jangan hanya kerana ingin memuaskan hati orang sekeliling, kita sanggup mengorbankan perasaan sendiri atau memberi masalah kepada bayi. Kemurungan ketika dalam pantang jika tidak diurus dengan baik boleh menjadi penyebab kepada tekanan berterusan atau rasa trauma yang keterlaluan,” katanya.

BAIK Iylia mahupun Shafiqah, mereka menjelaskan pengalaman menguruskan anak pertama bukanlah berdasarkan apa yang dibaca semata-semata.
BAIK Iylia mahupun Shafiqah, mereka menjelaskan pengalaman menguruskan anak pertama bukanlah berdasarkan apa yang dibaca semata-semata.

TANDA KEMURUNGAN KETIKA BERPANTANG

1. Berasa badan terlalu penat dan lesu.

2. Tidak boleh menumpukan perhatian ketika menguruskan bayi atau melakukan kerja rumah.

3. Kurang selera makan.

4. Sedih dan menangis secara tiba-tiba.

5. Marah atau benci kepada ahli keluarga atau suami untuk perkara yang remeh.

6. Mengalami insomnia yang teruk.

7. Benci atau rasa menyampah kepada anak sehingga tidak mahu menyusukan.

8. Sentiasa mempunyai perasaan negatif terhadap diri sendiri atau anak.

9. Tidak mempedulikan anak.

CARA ATASI KEMURUNGAN

1. Banyakkan berehat

Cari waktu rehat ketika tempoh berpantang sebaik-baiknya ketika bayi anda sedang tidur. Ini kerana rehat adalah tempoh pemulihan yang sangat penting. Sekiranya berpantang sendiri abaikan semua kerja rumah sehingga anda betul-betul sihat dan bertenaga untuk melakukannya.

2. Dapatkan sokongan suami dan keluarga

Suarakan apa yang anda rasakan. Jika penat beritahu suami anda ingin berehat dan biar suami mengambil alih tugasan anda. Dapatkan juga bantuan keluarga sekiranya anda benar-benar memerlukan.

3. Makan makanan sihat

Ketika kemurungan jangan sesekali abaikan waktu makan. Makan makanan berkhasiat dan minum banyak air suam.

4. Jangan abaikan bertungku dan berurut

Pastikan anda berpantang dengan betul. Jangan abaikan bertungku dan berurut kerana urutan mampu meredakan ketegangan dan tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 5:30 AM