RAWATAN muka dan kuku turut disediakan.
MEREKA dilatih membuat terapi kecantikan di spa dan salun di Penjara Wanita Kajang, Sungai Jelok. FOTO: Azhar Ramli
Siti Zarinah Sahib


JARI-JEMARI runcing dua juruterapi ini memicit lembut jari dan wajah pelanggan. Gaya Lydia Amah, 30 (kiri) dan Salina Zaini, 29 (kedua-duanya bukan nama sebenar) yang tenang mengusap pantas ke bahagian dahi, hidung, pipi dan dagu sehingga selesai sesi 30 minit tidak ubah seperti juruterapi lain, menjalankan pelbagai perkhidmatan di pusat rawatan dan kecantikan.

Apa saja rawatan kecantikan yang diminta, mereka boleh lakukan termasuk urutan, rawatan wajah, merias kuku tangan dan kaki serta rambut. Namun apa yang membezakan mereka dengan juruterapi kecantikan lain hanyalah lokasi kerana dua wanita ini berada di Spa Penjara Wanita Kajang, yang sering diberikan stigma negatif oleh masyarakat.


SALINA (kiri) dan Lydia tekun memberikan perkhidmatan rawatan wajah kepada pelanggan.

Walaupun gelaran banduan yang diberikan kepada dua pesalah ini membuatkan mereka tidak diterima masyarakat, menerusi latihan kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan kerjasama sebuah pusat rawatan kecantikan, ia memberikan sinar baru kepada pesalah untuk meneruskan kehidupan sebaik sahaja menamatkan tempoh hukuman.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Inspektor Penjara Wanita Kajang, Ummi Aiman Tajidin berkata, bagi membolehkan banduan mengikuti kemahiran sekali gus menerima sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) mereka perlu melalui fasa pemilihan.

“Banduan yang berada di sini perlu mengikuti beberapa fasa atau program pemulihan terlebih dulu. Ia membabitkan orientasi dan pengukuhan sahsiah sebelum diserap ke bahagian program kemahiran. Antara lain pemilihan juga bergantung kepada baki hukuman yang perlu dihabiskan, halakah dan moral mereka,” katanya.

Untuk peringkat pertama bermula 1 Mei 2018, 21 banduan warganegara diberikan latihan untuk spa dan salun.

Peserta perlu melalui fasa teori dan praktikal selama 18 bulan. Untuk kelas pembelajaran, ada ujian yang perlu dilalui dan setiap banduan perlu lulus bagi membolehkan mereka ke fasa seterusnya.

“Menerusi SLDN ini, setiap pesalah akan melalui proses yang sama dan ketat seperti individu lain yang ingin menjadi juruterapi kecantikan. Oleh itu mereka akan diuji menerusi kefahaman secara bertulis dan selepas lulus barulah akan diserapkan sebagai juruterapi di spa ini selama 12 bulan.

“Jika sebelum ini mereka menjalani rawatan bersama rakan banduan tetapi selepas berada di spa, inilah dunia sebenar mereka,” katanya.

Jelasnya, latihan yang diberikan ini sangat bermanfaat kepada banduan, kerana membolehkan mereka menerima pelbagai kemahiran bergantung kepada minat masing-masing.

Bukan saja dalam bidang spa dan salun, Penjara Kajang turut menyediakan kemahiran jahitan, bakeri dan pastri, pertukangan, makanan sejuk beku dan mencanting batik bagi membolehkan setiap banduan mampu membina kerjaya sendiri serta tidak malu berhadapan masyarakat di luar.

“Selepas dibebaskan pesalah boleh bekerja dalam bidang kemahiran yang mereka pelajari. Sebagai contoh dalam bidang spa dan salun, mereka boleh menjadi juruterapi di kebanyakan pusat rawatan kecantikan atau boleh menjalankan perkhidmatan spa bergerak sendiri.

“Menerusi kemahiran ini ia membantu pesalah tampil di hadapan khalayak tanpa rasa rendah diri seterusnya membina kehidupan mereka sendiri. Apa yang penting mereka perlu ada kemahuan dan keyakinan.

“Berdasarkan statistik, sudah ramai banduan dapat mengembangkan kerjaya mereka selepas mengikuti latihan dalam penjara. Ada yang mampu membuka kedai jahit, spa sendiri seterusnya bergelar usahawan berjaya,” katanya.

Jika dulu spa Penjara Wanita Kajang membenarkan pelatih terdiri daripada bukan warganegara mengikuti program ini tetapi sejak Mei 2018 hanya banduan warga Malaysia dipilih menyertainya. Ia adalah peluang yang cukup bermakna kepada banduan bagi mempunyai kehidupan baru dan membina masa depan apabila dibebaskan kelak.

LYDIA MAHU BUKA SPA BERGERAK

“Sebelum ini saya langsung tiada kemahiran mengurut dan melakukan rawatan wajah. Tetapi selepas mengikuti SLDN sejak Mei tahun lalu dan ditempatkan di spa Penjara Wanita Kajang saya sudah mampu ‘melayan’ kehendak pelanggan yang kebanyakan mendapatkan perkhidmatan urutan serta rambut,” kata Lydia.

Dia yang menunggu tarikh pembebasan pada 3 Disember 2019 mengakui sangat gembira kerana terpilih mengikuti kursus kemahiran dalam bidang kecantikan. Mulanya dia berasa berat hati memandangkan tidak pernah terbabit dalam bidang ini tetapi selepas mengikut kursus teori minat mulai datang secara perlahan-lahan.

Menurut Lydia, ketika latihan amali dia melakukan urutan ke atas banduan tetapi selepas berhadapan dengan pelanggan sebenar ia memberikan cabaran berbeza. Ini kerana kebanyakan pelanggan adalah kakitangan penjara dan selebihnya masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar.

“Kebanyakan pelanggan tidak memandang serong kepada kami ketika mendapatkan rawatan. Malah ramai terkejut kerana semua juruterapi terdiri daripada banduan yang mendapat kemahiran di penjara. Stigma negatif langsung tiada. Ini membuatkan kami lebih bersemangat bekerja,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Meminati rawatan wajah namun dia lebih dikenali dalam kalangan pelanggan sebagai tukang urut terbaik kerana mampu memberikan urutan yang digemari pelanggan.

“Saya belajar semua jenis urutan dari Bali, Sweden, Jepun dan tradisional tetapi pelanggan lebih meminati teknik tradisional disebabkan urutan yang ‘cukup terasa’ dan kuat,” katanya.

Lydia yang ditangkap atas kesalahan pecah amanah wang syarikat bernilai RM10,000 disabitkan kesalahan penjara tiga tahun empat bulan. Dia yang bekerja di syarikat swasta mengakui semuanya bermula selepas dia diajar seorang rakan bagaimana mendapat duit tambahan.

“Ini adalah kali pertama saya mengambil wang syarikat. Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana tertangkap sedangkan kawan-kawan lain terlepas,” katanya sayu.

Katanya, dia bukanlah terdesak memperoleh wang segera kerana gaji yang diperoleh setiap bulan sudah mencukupi. Tetapi ia disebabkan pujukan nafsu dan ajakan rakan menyebabkan Lydia terpengaruh.

“Mulanya keluarga sangat marah kerana saya menjatuhkan maruah tetapi lama-kelamaan selepas saya dijatuhkan hukuman mereka mula menerima dan memberikan sokongan sepenuhnya. Sebulan sekali keluarga akan datang melawat saya di sini. Saya juga dibenarkan menelefon ibu pada setiap minggu,” katanya.

Menurut Lydia, selepas dibebaskan nanti dia ingin bekerja dalam bidang kecantikan dengan menjalankan perkhidmatan spa bergerak.

“Perkhidmatan secara mobil ini membolehkan saya melindungi identiti sebagai banduan. Malah ia tidak memerlukan kos yang banyak,” katanya.

PENJARA TEMPAT MENUNTUT ILMU

Bagi Salina, ditempatkan di Spa Penjara Wanita Kajang sejak November tahun lalu memberikan pengajaran bernilai dan cukup bermakna baginya.

Ini kerana jika sebelum ini dia langsung tiada kemahiran dalam urutan atau salun tetapi selepas lima bulan menjadi penghuni penjara dia sudah mampu mengurut, membuat rawatan wajah, kuku tangan dan kaki kepada pelanggan.

“Mulanya saya kurang berminat kerana tidak yakin dapat melayan pelanggan dengan baik dan memenuhi kehendak mereka tetapi selepas belajar dan mencuba sendiri, timbul minat dalam bidang ini,” katanya.


KAJANG 20 FEBRUARI 2019. Terapi kecantikan banduan di Spa dan salun di Penjara Wanita Kajang, Sungai Jelok. NSTP/AZHAR RAMLI

Dia sangat bersyukur kerana sepanjang tiga tahun menjalani hukuman, penjara diibaratkan sekolah tempat menuntut ilmu. Bukan sahaja kemahiran diperoleh tetapi ilmu dalam bidang agama, sahsiah dan juga moral kini menjadi pegangannya.

Akuinya dulu dia langsung tidak diendahkan mengenai solat. Seingatnya solat dilakukan ketika di sekolah rendah pulang ke rumah ibu ayah langsung tidak bertanya sama ada dia bersolat atau tidak.

“Lama-kelamaan saya semakin menjauh dan langsung tidak mengingati solat. Sehinggalah saya ditangkap kerana kes pecah amanah wang syarikat bernilai RM130,000,” katanya.

Dia yang mengambil wang itu kerana ingin membayarkan wang pendahuluan rumah untuk ibu bapanya langsung tidak memikirkan kesan jangka panjang sehinggalah wang itu habis digunakan. Benarlah kata pepatah, ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’ akhirnya laporan polis dibuat dan Salina ditangkap pada sekitar April 2017.

“Selepas dijatuhkan hukuman saya ditempatkan di Penjara Wanita Kajang selama tiga tahun enam bulan. Saya yang asalnya seorang yang sosial sangat sukar menerimanya. Apatah lagi banyak kelas yang perlu saya ikuti. Tetapi selepas mengikuti kelas agama hati saya terdetik sampai bila mahu jadi begini. Jika bukan saya yang ubah diri sendiri siapa lagi.

“Akhirnya saya mula solat, puasa dan belajar mengaji al-Quran. Saya terlalu sedih kerana sebelum ini langsung tidak pernah melakukannya. Saya tidak kenal sejadah dan tak pernah menyentuh al-Quran. Alangkah jahilnya saya,” katanya.

Tutur wanita ini lagi, dia percaya di sebalik kesedihan dan musibah ada sesuatu yang Allah ingin sampaikan kepadanya. Jika tidak ditangkap dan dipenjarakan mungkin dia masih tidak bersolat. Lantas rasa syukur dilafazkan kerana Allah menjentik hatinya untuk berubah dan mengikuti kelas agama pada usia yang muda.

Mengenai kemahiran dalam bidang kecantikan pula, Salina mempunyai misi tersendiri bagaimana mengembangkan kerjaya dalam bidang ini. Kebanyakan banduan sukar mendapat kerja selepas dibebaskan jadi dengan meneroka dan menjalankan perkhidmatan spa bergerak ia dapat membantu banduan wanita membina perniagaan tanpa diketahui identiti mereka.

“Jika bekerja di salun mungkin staf lain akan tahu latar belakang kita, berbeza apabila menjalankan perkhidmatan dari rumah ke rumah terapi dapat melakukan kerja tanpa memberitahu sejarah silam kita,” katanya yang semakin bersemangat membina kehidupan yang lebih baik selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 5:30 AM