PERHATIKAN anak yang kerap meminta susu. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin


SUSAHNYA apabila disuruh makan, pelbagai cara dicuba namun si anak tetap berdegil tidak mahu makan. Puas dipujuk dengan bermacam-macam menu lazat namun si anak masih tidak mahu menjamah makanan.

Apa yang dimahukan si kecil hanyalah susu dan susu sepanjang masa. Lebih membimbangkan apabila dia berterusan meminta susu terutama apabila perutnya mula berasa lapar.

Ada ibu bapa menganggap ia satu perkara tidak serius dan tak perlu dibimbangkan kerana anak tetap mahu menyusu namun hakikatnya situasi itu menunjukkan satu keadaan serius membabitkan kekurangan zat makanan.

Kanak-kanak memerlukan pelbagai zat daripada makanan untuk menyokong pertumbuhannya dan salah satu gizi yang cukup penting adalah zat besi.

Selain berfungsi untuk oksigen dalam tubuh, zat besi juga diperlukan kanak-kanak kerana proses pertumbuhan sangat cepat, terutama ketika usia bayi dan remaja.

Mengupas berkenaan kekurangan zat besi doktor perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, kekurangan zat besi dalam tubuh dapat menjejaskan kemampuan dan fungsi tubuh kanak-kanak.

“Mungkin ada dalam kalangan ibu dan ayah tidak perasan simptom kekurangan zat besi hinggalah anak mereka mengalami anemia atau menunjukkan tanda-tanda kesihatan membimbangkan.

“Ramai ibu bapa yang bersikap acuh tidak acuh apabila anak bersikap tidak suka makan apatah lagi sekiranya dia masih meminta susu dengan kerap. Hakikatnya susu saja tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan zat kepada seorang kanak-kanak dan meminta susu dengan terlalu kerap juga menunjukkan tanda bahaya,” katanya.

Menurutnya, ibu, ayah dan penjaga perlu memantau dengan kerap serta pastikan si anak mengambil makanan berkhasiat.


DR Nurzarina ketika menyampaikan ceramah.

Dr Mohd Hanafi berkongsi beberapa gejala dan tanda kurang zat besi pada kanak-kanak yang boleh dikesan sendiri ibu bapa antaranya:

1. CEPAT LETIH

Pada peringkat awal, anak akan kelihatan kurang aktif, tidak lincah dan cepat letih berbanding biasa. Apabila tidak dikesan, keletihan berpanjangan ini mungkin boleh meng­ganggu pernafasan yang menyebabkan anak mungkin berasa lemas, sesak nafas, manakala degupan jantung juga akan menjadi cepat.

2. MERAGAM / MUDAH MARAH

Disebabkan keadaan yang letih, anak yang mengalami kurang zat besi juga tidak suka bermain kerana mereka mudah penat. Si kecil yang tidak pandai bercakap mungkin akan kerap meragam.

3. SUKAR MENUMPUKAN PERHATIAN

Selain keletihan, kekurangan zat besi pada anak boleh menyebabkan mereka sukar menumpukan perhatian. Kanak-kanak yang lebih besar mungkin akan mengadu berasa pening kepala, contoh­nya apabila berdiri daripada posisi duduk.

4. PUCAT

Dari segi fizikal, kanak-kanak yang kekurangan zat besi mempunyai kulit yang kelihatan pucat.

Dalam sesetengah kes, mata putih juga boleh kelihatan kebiruan.

5. MENGIDAM BENDA PELIK

Keinginan untuk makan benda pelik seperti plastik, rambut, ais atau benda yang ‘bukan makanan’ dalam tempoh sebulan atau lebih.

6. KUKU RAPUH

Kurang zat besi pada anak turut membuatkan kuku menjadi rapuh dan senang patah.

7. LEWAT PERKEMBANGAN

Menurut kajian, anak-anak yang mengalami kekurangan zat besi mempunyai kemahiran motorik yang lemah berbanding normal. Selain gangguan pertumbuhan fizikal dan perkembangan, tingkah laku anak yang bermasalah turut dikaitkan dengan masalah ini.


SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian. FOTO: Salhani Ibrahim

BAGAIMANA ANAK BOLEH KEKURANGAN ZAT BESI?

Menurut Dr Mohd Hanafi, bayi dan kanak- kanak yang berisiko tinggi kekurangan zat besi adalah dalam kalangan kumpulan bayi yang dilahirkan pramatang (awal tiga minggu daripada tarikh dijangka bersalin) dan bayi yang kurang berat badan iaitu kurang daripada 2.5 kilogram (kg).

“Turut berisiko adalah bayi yang minum susu lembu sebelum berumur setahun, bayi yang me­nyusu badan dan tidak diberi makanan yang kaya dengan zat besi apabila mencapai usia enam bulan.

“Selain itu, turut berisiko adalah bayi yang minum susu formula yang tidak diperkaya dengan zat besi, kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun yang minum susu formula, susu lembu, susu kambing atau susu soya lebih dari 24 aun sehari,” katanya.

Katanya, kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan kronik ataupun rejim pemakanan yang ketat.

“Kanak-kanak yang mempunyai masalah cacing manakala remaja perempuan juga lebih berisiko tinggi untuk kekurangan zat besi kerana mereka kehilangan zat besi semasa haid.

“Anak mungkin akan menolak untuk makan makanan apabila mereka terlalu kenyang dengan susu. Malah, pengambilan susu yang berlebihan akan menyebabkan tiada ruang untuk makanan yang kaya dengan zat besi,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan menggalakkan pengambilan makanan seimbang sejak usia bayi.

“Apabila bayi berumur enam bulan, pastikan mereka diperkenalkan dengan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, daging, sayuran hijau, kekacang dan bijirin penuh.

“Selain itu digalakkan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C seperti buah-buahan dan sayuran kerana vitamin C dapat membantu badan menyerap zat besi dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:00 AM